Majikan masih degil

March 9, 2021 | News | No Comments

Hanya 12 daripada 1,007 majikan yang menggaji pekerja asing di sini, membuat permohonan perakuan penginapan mengikut Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Perak, Muhammad Fauzi Abd Ghani berkata, hasil semakan pihaknya mendapati semua majikan itu menyediakan penginapan kepada 6,912 pekerja asing di sekitar kawasan tanah tinggi itu.

Menurutnya, jumlah itu menunjukkan kesedaran majikan untuk menyediakan kemudahan penginapan yang lengkap dan selesa untuk pekerja masih rendah.

“Di kawasan Cameron Highlands terdapat lebih kurang 1,007 majikan yang dalam senarai kita mempunyai penginapan pekerja.

“Daripada jumlah itu hanya ada 12 majikan saja yang baru memohon perakuan penginapan dari Ketua Pengarah JTK Semenanjung Malaysia,” katanya selepas melakukan operasi di sebuah pusat pengumpulan sayur di Blue Valley di sini, semalam.

Muhammad Fauzi berkata, kegagalan majikan memohon perakuan itu melanggar Akta 446 dan mereka boleh dikenakan tindakan iaitu denda sehingga RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

“Akta 446 ini sudah diwartakan pada tahun lalu dan tidak sepatutnya majikan tidak tahu. “Jadi, kita menyeru semua majikan hadir ke pejabat JTK untuk mendapatkan perakuan penginapan,” katanya.

Beliau berkata, operasi yang dilakukan hari ini, mendapati persekitaran kotor dan tidak kondusif dengan penginapan pekerja yang sesak serta ada kebocoran pada siling sekali gus tidak mengikut spesifikasi Akta 446.

Tinjauan mendapati, terdapat 24 bilik disediakan untuk menempatkan lebih 80 pekerja asing yang dilihat agak sesak tanpa ada tilam di beberapa bilik itu.

“Kita mendapati bilik itu muat untuk dua orang saja tetapi majikan letakkan lebih tiga orang di satu bilik dan kemudahan asas yang tidak boleh dikongsi seperti katil, tilam, bantal dan cadar juga tidak teratur kerana ikut peraturan ia adalah satu kesalahan.

“Selain itu, pendawaian elektrik di penginapan itu juga tidak tersusun selain tidak menyediakan almari berkunci untuk menyimpan dokumen.

“Pemeriksaan turut mendapati mereka tidak mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.

Menurutnya, pihaknya akan melakukan siasatan lanjut mengenai perkara itu dan jika majikan didapati gagal mematuhi syarat dikenakan, kertas siasatan akan dibuka untuk tindakan lanjut.

Katanya, Pejabat Kesihatan Daerah Cameron Highlands turut mengeluarkan kompaun RM1,000 kepada syarikat kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

HM

,

About Author

Leave a Reply

//zikroarg.com/4/2458908