Seorang lelaki sanggup mencuri wang tunai milik bapa dan barang kemas kakaknya dalam kejadian di Rumah Awam Bukit Lintang, di sini Rabu lalu untuk melunaskan hutangnya.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, Bahagian Risikan Jenayah (D4) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah menahan suspek berusia 33 tahun di rumah sama pada 2 petang Sabtu.

Katanya, turut ditahan, kekasih suspek berusia 44 tahun di sebuah rumah di Seri Duyong selepas polis menerima laporan daripada adik suspek berusia 28 tahun yang memaklumkan beberapa laci simpanan wang tunai dan barang kemas bapanya dipecahkan.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut dilakukan bapa pengadu mendapati sejumlah wang tunai dan barang kemas yang keseluruhannya dianggarkan RM20,000 dicuri suspek.

“Suspek mengaku kepada pengadu bahawa dia mengambil barang kemas dan wang itu untuk membayar hutang.

“Dalam masa sama pengadu juga mendapati kad kredit miliknya hilang dan suspek mengaku memberikannya kepada teman wanitanya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, polis turut menemukan barang kemas yang dicuri di rumah wanita berkenaan di Taman Seri Duyong.

“Polis menemui empat resit invois kedai emas, empat resit pembayaran kad kredit, empat cincin emas, seutas gelang tangan, dua loket rantai dan dua utas rantai disorokkan di rumah berkenaan. Kita juga rampas kad kredit dan pemotong dipercayai digunakan untuk memotong mangga laci,” katanya.

Afzanizar berkata, lelaki itu direman tiga hari bermula semalam hingga Selasa ini bagi membantu siasatan sementara suspek wanita berkenaan dibebaskan dengan jaminan polis.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

-hmetro

, ,

About Author

Leave a Reply

//oackoubs.com/4/2458908