Dituduh jolok anjing dengan buluh

March 11, 2021 | News, Viral | No Comments

Warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, terhadap pertuduhan menjolok seekor anjing betina jalanan dengan sebatang buluh hingga menyebabkan kecederaan pada haiwan itu pada Oktober lalu.

Tertuduh, Ng Ah Leak, 75, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam Bahasa Mandarin di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.

Mengikut pertuduhan, warga emas terbabit didakwa secara tidak munasabah menjolok seekor anjing betina dengan buluh sepanjang 2.4 meter hingga cedera pada bawah mata kiri haiwan itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di dalam longkang belakang rumah di Jalan Tanjung Indah, Taman Tanjung Indah, Raja Uda dekat sini, jam 10.30 malam pada 24 Oktober lalu.

Warga emas itu didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 29(1)(c) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 29(1) akta yang sama.

Jika disabit kesalahan boleh didenda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak lebih daripada RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak lebih daripada tiga tahun atau kedua-duanya.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pulau Pinang, Roziman Awang Tahrin manakala tertuduh diwakili peguam, Lim Jin Hong.

Hakim kemudian menetapkan 13 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sementara itu, anjing serta barang kes turut dibawa ke mahkamah ketika prosiding berlangsung hari ini.

-hmetro

, ,

About Author

Leave a Reply

//ugroocuw.net/4/2458908