Akibat kerugian besar dalam pelaburan tukaran mata wang asing atau forex, seorang jurujual wanita bertindak mencuri barang kemas di tempat kerjanya sejak dua tahun lalu.

Suspek yang berusia 42 tahun itu akan mengambil seutas emas dan mengikat di pahanya ketika tamat waktu bekerja.

Bagaimanapun, tindakan wanita itu terbongkar apabila premis terbabit membuat laporan polis akibat mengalami kerugian bernilai RM2 juta.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, siasatan polis mendapati kerugian premis terbabit berpunca dari kehilangan emas di premis itu.

“Susulan itu, polis menahan pekerja di premis terbabit yang akhirnya membongkar kegiatan yang dilakukan sejak dua tahun lalu.

“Polis turut menahan dua wanita dan seorang lelaki berusia 27 hingga 36 tahun dalam serbuan di tiga kedai pajak di Sungai Way,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, hari ini.

Menurutnya, susulan penahanan semua suspek polis merampas pelbagai barang kemas yang dianggarkan RM138,000.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Nik Ezanee memaklumkan pihaknya menahan lelaki berusia 30 tahun yang disyaki terbabit dengan kes pecah kereta kelmarin.

“Polis menemui beberapa barangan yang disyaki hasil curi termasuk android player dalam sebuah kereta.

“Hasil pemeriksaan, suspek disyaki terbabit dengan 11 kes pecah kereta. Kita masih mengesan seorang lelaki yang dikenali sebagai Ruben berusia 24 tahun bagi membantu siasatan berhubung kes itu,” katanya.

HM

,

About Author

Leave a Reply

//nessainy.net/4/2458908