Kuantan: Lebih 300 hektar hutan termasuk di kawasan tanah gambut terbakar di tiga daerah iaitu Kuantan, Pekan dan Rompin berikutan cuaca panas dan kering sejak awal bulan ini.


Rompin merekodkan kebakaran seluas 300 hektar di Muadzam Shah dan Leban Chondong pula berkeluasan dua hektar.

Di Pekan pula membabitkan kawasan di Kampung Cenderawasih, Sungai Miang dengan keluasan dua hektar, manakala Kampung Alur Beruang berhampiran Penjara Penor di sini membabitkan kebakaran di kawasan seluas tiga hektar.


Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata, cuaca panas dan kering yang berpanjangan menyebabkan berlaku kebakaran hutan.
Menurutnya, jabatannya mengambil tindakan pencegahan dan operasi pemadaman untuk memastikan kebakaran itu tidak merebak.
“Antara langkah awal untuk memadam kebakaran itu ialah menggunakan teknik pengeboman air oleh pesawat Unit Udara Bomba di kawasan terbabit.
“Selain itu, anggota bomba dan penyelamat melakukan pemadaman dengan memasuki kawasan itu melalui jalan darat dan membuat `fire break’ dengan turut membabitkan operasi bersama Jabatan Perhutanan bagi mengawal api daripada terus merebak,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau kebakaran hutan di Kampung Alur Beruang berhampiran Penjara Penor, hari ini.
Menurutnya, pemantauan akan dilakukan secara berkala dengan mengenal pasti kawasan yang sudah dipadamkan kembali terbakar dan kawasan baharu.
“Anggota bomba dan penyelamat di Kuantan, Pekan dan Rompin sentiasa bersiap sedia melakukan operasi pemadaman,” katanya.
Sementara itu, menurut Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), Rompin mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat, hari ini.
Bacaan IPU tidak sihat di Rompin direkodkan 109 pada 3 petang dan rekod tertinggi iaitu 166 pada 6 pagi hari ini.
Bagaimanapun, tiga stesen lain di Pahang iaitu Temerloh, Jerantut dan Balok Baru di sini, merekodkan bacaan IPU sederhana, manakala Indera Mahkota IPU pada paras baik.

hmetro

, ,

About Author

Leave a Reply

//nessainy.net/4/2458908