Risikan selama lebih sebulan

March 12, 2021 | News | No Comments

Rampasan 70 juta batang rokok bernilai RM52 juta yang cuba diseludup kartel rokok antarabangsa ke negara ini menggunakan kapal kargo di perairan Pulau Kukup, Pontian, Isnin lalu adalah hasil risikan lebih sebulan.

Pegawai dan anggota Pasukan Polis Marin (PPM) yang terbabit sebaik mendapat maklumat kegiatan itu terpaksa berpanas, bermalam dan ‘berkampung’ sekitar perairan negara bagi menjayakan operasi.

Ini disaksikan sendiri wartawan yang melihat komitmen jitu, perancangan rapi dan atur gerak PPM demi memastikan perairan negara tidak dibolosi selain bertujuan memastikan hasil cukai negara tidak ‘dilarikan’ kartel rokok antarabangsa itu.

Kejayaan terbesar dalam sejarah Polis Diraja Malaysia (PDRM) mahupun mana-mana agensi penguatkuasaan lain berkaitan di Malaysia membabitkan rampasan rokok seludup itu nyata membuka mata ramai pihak.

Malah, rampasan itu pasti ‘menggoncangkan’ kartel penyeludupan yang kini kepanasan akibat kejayaan PPM itu.

Berkongsi kisah kejayaan itu, Komander PPM Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Mohd Yusoff Mamat berkata, rampasan dilakukan hasil perancangan rapi pegawai, anggota PPM yang berkerja keras lebih sebulan untuk mengumpul maklumat risikan dan memantau pergerakan sindiket.

“Kita ada cabaran tersendiri apabila sindiket menggunakan kapal kargo yang berada di perairan antarabangsa sebelum barangan haram iaitu rokok seludup dipercayai dari Batam, Indonesia dan Vietnam itu diangkut menggunakan bot nelayan.

“Kita (PPM) tidak boleh buat tangkapan atau tahan kapal kargo di luar perairan Malaysia. Hendak pantau pergerakan kapal kargo ini yang sentiasa bergerak di kawasan ini (perairan antarabangsa) adalah cabaran utama,” katanya kepada Harian Metro, semalam.

Menurutnya, pihaknya berjaya memintas kapal didaftarkan di Mongolia itu 2.9 batu nautika barat data Pulau Kukup, Pontian.

“Sebaik memastikan kapal kargo ini memasuki perairan negara, kita terus serbu dan tahan kru kapal,” katanya.

Mohd Yusoff berkata, siasatan lanjut mendapati kartel penyeludupan rokok antarabangsa ini mengubah suai kargo kapal tangki itu bagi mengisi atau menyembunyikan pelbagai rokok putih dan kretek.

“Ubah suai kapal kargo itu dipercayai bagi mengaburi mata pihak berkuasa. Keretek dipercayai dibawa dari Batam, Indonesia manakala rokok putih jenama U2 dipercayai diseludup dari Vietnam,” katanya menjelaskan, dua pegawai, 19 anggota dan tiga bot ronda PPM terbabit dalam Op Kontraband-Benteng Covid-19 itu.

Katanya, semua kru kapal kargo kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.

HM

, ,

About Author

Leave a Reply

//mauchopt.net/4/2458908