PPAPP perkenal Perpustakaan Bergerak Hobi

March 17, 2021 | News | No Comments

 Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang (PPAPP) menyokong minat dan kegemaran masyarakat dengan memperkenalkan Perpustakaan Bergerak Hobi (MOBBY).

MOBBY adalah projek rintis yang diperkenalkan PBAPP dalam usaha memberi peluang kepada masyarakat berkongsi hobi dan minat masing-masing menggunakan platform yang disediakan.

Pengarah PPAPP Sharimah Salleh berkata, kebiasaannya masyarakat hanya didedahkan dengan perpustakaan bergerak yang menyediakan bahan bacaan buku semata-mata yang menyebabkan kebanyakannya sudah muak dan bosan.

Berikutan itu, katanya, pihaknya mahu memperkukuhkan perkhidmatan dengan melakukan transformasi perpustakaan konvensional kepada MOBBY yang bukan sahaja sekadar hobi tetapi turut berupaya membantu masyarakat untuk menjana pendapatan sampingan dengan memasarkan produk dihasilkan.

“Kewujudan perpustakaan itu bertujuan menyokong minat masyarakat untuk mendapatkan maklumat tambahan berkaitan hobi atau kegemaran masing-masing di bawah satu pusat sehenti iaitu perpustakaan bergerak.

“Berbanding dengan aktiviti kelaziman sebuah perpustakaan iaitu membaca buku, MOBBY menawarkan pelbagai aktiviti lain kepada komuniti antaranya memasak, menggubah (bunga), menjahit, bertukang, menternak ikan laga serta mengumpul model kereta yang sentiasa mendapat sambutan daripada daripada masyarakat,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran MOBBY di sini, semalam.

Majlis pelancaran itu disempurnakan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang merangkap Pengerusi PPAPP Prof Dr P Ramasamy.

Menurutnya, perkhidmatan MOBBY terbuka kepada semua golongan masyarakat dan tahap umur.

Sharimah berkata, perkhidmatan itu akan beroperasi di 18 lokasi dalam daerah Seberang Perai Tengah (SPT) dengan menggunakan sebuah bas sahaja untuk permulaan.

“Kami juga sedang menjalankan penyelidikan lanjut untuk mendapatkan pandangan komuniti mengenai perkhidmatan ini sebelum beberapa penambahbaikan dibuat selepas itu.

“Untuk jangka masa yang panjang pula, MOBBY mungkin mengadakan kolaborasi dengan agensi lain bagi memantap serta memperhebatkan lagi perkhidmatan ini,” katanya.

Menurutnya, MOBBY juga tidak menggunakan kos yang tinggi kerana PPAPP hanya mengubah suai perpustakaan bergerak sedia ada dan menambah baik susun atur agar bersesuaian dengan konsep yang diinginkan.

HM

,

About Author

Leave a Reply

//cdrvrs.com/4/2458908