Proses mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit dalam insiden di tapak pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) di Cheras, masih diteruskan hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Nordin Pauzi berkata, pihaknya sedang menunggu pihak kontraktor untuk menstabilkan struktur binaan yang dijangka mengambil masa tujuh hingga sembilan jam.

“Kita sedang tunggu pihak kontraktor menjalankan kerja mereka sebelum proses mengeluarkan mayat mangsa dilakukan kerana rasuk binaan itu berat,” katanya kepada Bernama hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras Asisnten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, anggotanya masih ditugaskan di tempat kejadian bagi tujuan memantau keselamatan.

“Pihak kami juga menempatkan balai bergerak bagi memudahkan anggota membuat pemantauan dan kawalan,” katanya.

Semalam, tiga pekerja warga China maut manakala seorang pemandu cedera parah susulan insiden satu daripada komponen kren gantri terjatuh di tapak pembinaan Lebuhraya Bertingkat SUKE berhampiran Puncak Banyan, Persiaran Alam Damai, Cheras, di sini.

Tiga pekerja projek pembinaan berkenaan yang berasal dari China dikenali sebagai Ding Kunfu, Jiang Jinboa dan Mu Tong Zheng mati terhimpit, dan usaha mengeluarkan mayat Mu masih dilakukan susulan keadaannya yang terhimpit di atas rangka struktur.

Sementara itu, seorang lelaki tempatan yang memandu kereta Perodua Bezza dilapor cedera parah akibat dihempap struktur kren berkenaan semasa melalui kawasan tersebut dan dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz untuk rawatan lanjut.

Pihak Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) dalam kenyataan turut memaklumkan lencongan dibuka manakala jalan di Persiaran Alam Damai ditutup susulan kejadian itu bagi membolehkan kerja pembersihan dilakukan di lokasi kemalangan mulai semalam sehingga Ahad.

-hmetro

,

About Author

Leave a Reply

//ugroocuw.net/4/2458908