Sebuah khemah besar dicadang dipasang buat sementara di tapak deretan gerai di Pasar Dato Keramat yang terbakar pada Rabu lalu, bagi membolehkan peniaga yang terkesan dan berminat meneruskan perniagaan mereka sepanjang Ramadan ini.

Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berkata, bagi tujuan itu kawasan tapak gerai berkenaan akan mula dibersihkan oleh kontraktor bermula Jumaat ini bagi membolehkan kerja menyediakan tapak khemah dilakukan.

“Kita mahu bersihkan semua sekali termasuk gerai separa terbakar dan yang tidak terbakar kerana kawasan ini diisytiharkan tidak lagi sesuai untuk diduduki dan proses ini dijangka mengambil masa dua minggu untuk diselesaikan.

“Saya dapat maklum ada 24 daripada 49 peniaga yang terbabit bercadang berniaga sepanjang Ramadan ini. Khemah yang besar akan dipasang dan di bawahnya diberikan tapak-tapak kecil yang berkeluasan 100 kaki persegi (9.3 meter persegi), tapi mungkin ada ruang lagi untuk orang lain berniaga,” katanya.

Annuar berkata demikian pada sesi perjumpaan bersama penjaja dan peniaga kedai yang terbakar di Pasar Dato Keramat yang disiarkan secara langsung melalui Facebook Kementerian Wilayah Persekutuan, semalam.

Dalam kejadian 17 Mac lalu, lebih 40 gerai di Pasar Dato Keramat, di sini, terbakar namun tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa.

Annuar bagaimanapun berkata, operasi perniagaan di bawah khemah itu hanya dibenarkan selama sebulan sehingga Aidilfitri bagi membolehkan kontraktor memulakan pembinaan 50 petak gerai separuh kekal di tapak berkenaan.

“Kita bagi masa kepada pemaju tidak lebih dari empat bulan dan apabila ia siap peniaga yang boleh masuk berniaga semula.

“Bagi empat bulan itu sekiranya ada tapak berniaga di tempat lain atau mana-mana tempat yang tidak mengganggu orang, trafik dan peniaga mahu berniaga, kita akan timbang mengikut kes dan berikan keutamaan untuk mereka berniaga sementara,” katanya.

HM

, ,

About Author

Leave a Reply

//soaheeme.net/4/2458908