Harga jatuh sindiket ‘gelojoh’

March 26, 2021 | News | No Comments

Kuala Lumpur: Kejatuhan mendadak harga dadah di segi tiga emas Asia Tenggara susulan pandemik Covid-19 menyebabkan berlaku lambakan dadah, sekali gus menarik perhatian banyak kartel dadah tempatan.


Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain berkata, laporan risikan pihaknya mendapati stok dadah berlebihan di Golden Triangle (terletak di timur laut Myanmar, utara Thailand dan barat daya Laos) serta harga menjunam diambil kesempatan sindiket tempatan untuk membelinya pada harga murah.

Beliau berkata, pihaknya mendapati sindiket dadah Malaysia mengambil peluang ini menyeludup masuk dadah sintetik atau heroin melalui sempadan negara jiran utara tanah air.


“Sebagai contoh dadah syabu boleh dibeli kini pada harga jauh lebih rendah sekitar RM30,000 berbanding dua kali ganda sebelum pandemik Covid-19 melanda dunia awal tahun lalu.
“Sindiket akan menyeludup masuk dadah ini dengan menjadikan Malaysia sebagai ‘transit’ atau persinggahan sementara sebelum dadah itu dihantar ke negara ketiga. Antara destinasi ‘popular’ adalah New Zealand, Australia, Korea Selatan, Indonesia, Hong Kong, Taiwan, Filipina dan beberapa negara lain,” katanya kepada wartawan Harian Metro.
Menurutnya, kegiatan penyeludupan dadah ini menguntungkan sindiket dadah tempatan susulan pertukaran mata wang asing berbanding ringgit Malaysia.
“Dadah diseludup dari Malaysia tadi boleh dijual dan mencapai keuntungan mencecah 20 kali ganda modal awal. Bayangkan berapa besar keuntungan diperolehi hingga mereka sanggup menggadai nyawa untuk kaya segera,” katanya.
Ditanya berhubung peningkatan jumlah kes dan rampasan dadah sejak awal Mac lalu, beliau memaklumkan ia hasil tindakan agresif anggota JSJN dalam mengesan sindiket dan kartel dadah tempatan secara konsisten.
“Anggota JSJN serius dalam usaha memutuskan bekalan dadah serta memastikan Malaysia tidak dijadikan transit sindiket dadah antarabangsa.
“Yang pasti dadah dirampas ini bukan untuk kegunaan penagih dalam negara semata-mata. Tidak logik semua dadah seberat lebih 1 tan dirampas digunakan penagih tempatan…mungkin hanya sebahagian kecil untuk pasaran tempatan berikutan hanya ada 142,199 penagih di negara ini (pada 2019),” katanya.
Beliau berkata, kejayaan rampasan dadah terbesar Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) membabitkan pil amphetamine bernilai RM5.2 bilion di Pelabuhan Klang, Selangor pada 15 Mac lalu turut dibantu kepakaran anggota polis JSJN.
“Anggota polis menggunakan alat scanner khas bagi mengesan bahan terlarang itu yang disembunyikan di dalam roda troli (castor) di dalam kontena. Siasatan mendapati dadah itu hanya singgah sementara selama tiga hari sebelum ia dihantar semula ke sebuah negara di Timur Tengah,
“Ia ibarat u-turn ( pusing u) apabila dadah berasal dari Timur Tengah itu dihantar ke Malaysia sebelum dibawa ke sebuah negara di Asia Timur.
“Ini taktik sindiket mengalihkan tumpuan atau mengelak dihidu pergerakan. Namun kita sentiasa berwaspada dan berusaha menambah alat scanner. JSJN bercadang menambah penggunaan alat ini bagi kegunaan kontinjen Johor, Kelantan, Sabah dan Sarawak,” katanya.
Beliau menegaskan pihak polis akan terus ‘menggasak’ kartel dan sindiket dadah tempatan walaupun menyedari ancaman dan pelbagai taktik licik digunakan penjenayah.
“Rampasan besar dilakukan JSJN sejak awal tahun ini membuktikan kerja keras dilakukan polis dalam memastikan dalang sindiket ini dapat ditumpaskan,” katanya.
Razarudin sebelum ini mendedahkan aktiviti tiga individu bergelar ‘Tan Sri’ dan ‘Datuk’ yang disyaki dalang utama kartel dadah di negara ini dengan berselindung di sebalik perniagaan seperti perhotelan, perkapalan, pengangkutan dan besi.

PIL captagon didakwa meningkatkan adrenalin dan metabolisme selain merangsang jantung serta saraf pusat.

Captagon ‘pil hiburan’ orang kaya Timur Tengah
Dadah sintetik captagon atau nama saintifiknya amphetamine didakwa amat laris bagi pasaran Timur Tengah terutama digunakan golongan berstatus, muda dan berharta.
Pil sintetik ini yang mula diperkenalkan sebagai ubat pada 1920 digunakan untuk melegakan hidung tersumbat dan resdung (rhinitis) sebelum ia disalah guna untuk tujuan penagihan.
Sumber polis berkata, rampasan 16 tan pil captagon dianggarkan bernilai RM5.2 bilion di Pelabuhan Klang, Selangor oleh Kastam Diraja Malaysia minggu lalu mendapati pil itu dihasilkan secara besar-besaran oleh makmal dadah di sebuah negara Timur Tengah untuk pasaran rantau berkenaan.
Menurutnya, pil dadah ini berkait secara kimia dalam meningkatkan adrenalin dan kadar metabolisme selain merangsang jantung serta saraf pusat.
“Ia memberi kesan tenaga pada fizikal hingga menyebabkan penagih pil ini mempunyai keberanian luar biasa hingga melakukan perkara di luar pertimbangan akal.
“Penggunaan dadah ini untuk jangka masa panjang menyebabkan kesan sampingan buruk seperti kemurungan melampau, masalah psikologi, kurang tidur, kerosakan jantung dan saluran darah hingga membawa kematian,” katanya.
Menurutnya, Pejabat PBB bagi Dadah dan Jenayah (UNODC) mendedahkan dadah sintetik ini kerap dirampas pihak berkuasa di Arab Saudi, Jordan dan Syria.
“Malah golongan penentang di Syria didakwa menggunakan captagon untuk bertahan lama dalam pertempuran bersenjata.
“Selain itu dadah ini popular dalam kalangan orang muda ‘kaya’ di Timur Tengah untuk berhibur manakala wanita menggunakannya untuk menurunkan berat badan,” katanya.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain berkata, penagih dadah sintetik ini menunjukkan tanda-tanda menyerupai skizofrenia paranoid, menjadi ganas, sakit jantung dan kerosakan otak kekal.
Menurutnya, harga pil ini mencecah RM54 sebiji boleh meningkat beberapa kali ganda apabila dijual ke negara luar.

hmetro

, ,

About Author

Leave a Reply

//dopansearor.com/4/2458908