Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menggesa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberikan penjelasan berhubung wujudnya cubaan membunuh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan barisan Kabinetnya pada Januari tahun lalu.

Dalam satu kenyataan bersama, mereka kesal dengan sikap Muhyiddin yang ketika itu merupakan Menteri Dalam Negeri kerana gagal memaklumkan perkara tersebut kepada pimpinan PH serta rakyat Malaysia.

“Kegagalan tersebut menimbulkan persoalan motif sebenar perkara ini disembunyikan daripada pengetahuan pemimpin berkenaan dan kerajaan PH,” kata mereka.

Kenyataan Majlis Presiden PH itu dikeluarkan oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Penolong Pengarah Cawangan Khas Antipengganas (E8), Azman Omar dilaporkan berkata, ada cubaan untuk membunuh beberapa jemaah menteri termasuk Dr Mahathir.

Menteri-menteri lain ialah bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng; bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

Azman turut berkata, individu berkenaan telah ditahan pada bulan Januari tahun lalu yang turut mengakui membuat perancangan tersebut.

Suspek dipercayai terlibat dengan kegiatan pengganas dan merancang serangan tersebut sebagai usaha menunjukkan sokongan terhadap kumpulan militan Daesh.

Majlis Presiden PH turut merakamkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas tindakan tegas dalam menggagalkan cubaan tersebut.

-SH

, , , ,

About Author

Leave a Reply

//oackoubs.com/4/2458908