Bau: Usaha untuk mengeluarkan mangsa runtuhan terowong di dalam gua di Gunung Tabai, di sini menghadapi kesukaran berikutan kedudukan mayat berada di bawah tanah dan dihempap batu besar

Ketua Polis Daerah Bau, Deputi Superintendan Poge Nyaon berkata, lebih menyukarkan lagi usaha untuk mengeluarkan mayat Mat Tapa, 25, kerana runtuhan itu berada di ruang yang sempit selain struktur terowong itu yang sedalam kira-kira 80 meter tidak stabil.

Beliau berkata, pasukan penyelamat yang memulakan operasi pada hari kedua hari ini sejak 10.30 pagi tadi, berusaha mengalih runtuhan batu itu secara manual berikutan kesukaran untuk membawa masuk mesin ke dalam terowong yang sempit itu.


“Sehingga 5 petang ini, pasukan penyelamat masih berusaha bertungkus lumus untuk mengeluarkan mayat mangsa.
“Namun usaha itu terlalu sukar berikutan kedudukan mayat yang dihempap batu besar selain struktur terowong yang tidak stabil yang membahayakan pasukan penyelamat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Poge berkata, pihaknya akan meneruskan operasi untuk mengeluarkan mayat sehingga esok atas permintaan keluarga mangsa.
“Bagaimanapun, jika usaha itu tidak berhasil berikutan keadaan terowong yang berbahaya, kami akan berbincang dengan keluarganya untuk menamatkan operasi itu,” katanya.
Kedudukan mayat mangsa berjaya dikesan anggota pasukan penyelamat yang memasuki terowong itu kira-kira 4.30 petang semalam.
Mangsa dikatakan memasuki terowong di dalam gua di kaki gunung itu bersama dua lagi rakannya untuk melombong emas pada awal pagi semalam.
Tidak lama selepas memasuki terowong itu, runtuhan berlaku menyebabkan mangsa tertimbus manakala dua rakannya berjaya menyelamatkan diri dan memaklumkan kejadian itu kepada keluarga mangsa kira-kira 5 pagi, semalam.
Laporan polis dibuat keluarga mangsa pagi semalam sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan pada 11 pagi semalam.
Kejadian itu adalah yang ketiga meragut nyawa pelombong emas di dalam gua di gunung berkenaan dengan kejadian pertama yang berlaku pada 2011 mengorbankan seorang remaja lelaki berusia 19 tahun.
Kejadian kedua pada 2012 pula mengorbankan seorang lagi lelaki berusia 30-an yang mayatnya bersemadi di dalam terowong itu sehingga kini, selepas usaha mengeluarkannya menghadapi kesukaran apabila mangsa dihempap batu besar.

hmetro

, ,

About Author

Leave a Reply

//benoopto.com/4/2458908