Rumah terbakar sebelum majlis pertunangan

March 29, 2021 | News | No Comments

Sebuah rumah musnah terbakar kira-kira sejam sebelum majlis pertunangan berlangsung di Kampung Parit Mustaffa Darat, Parit Sulong di sini pada Ahad.

Saksi kejadian yang juga jurugambar majlis berkenaan, Izzat Syafaat Ismail, 29, berkata, kebakaran berlaku kira-kira 1.20 petang manakala majlis pertunangan berkenaan sepatutnya berlangsung pada 2.30 petang.

Katanya, ketika itu, dia sedang bersiap untuk melakukan tugasan mengambil gambar tetapi dikejutkan dengan api marak yang membakar rumah tersebut.

“Keadaan menjadi kelam-kabut sehinggakan ahli keluarga pasangan itu tidak sempat menyelamatkan barang-barang hantaran pertunangan termasuk pakaian, peralatan elektrik serta dokumen-dokumen penting di dalam rumah.

“Ada antara ahli keluarga yang pengsan dan cedera melecur kerana nekad mahu menyelamatkan kenderaan yang berhampiran selain cedera kerana terpijak kaca,” katanya ketika dihubungi di sini pada Ahad.

Menurut Izzat, kebakaran dipercayai akibat litar pintas di bahagian dalam rumah tersebut, menyebabkan api merebak pantas berikutan struktur rumah diperbuat daripada separa batu dan kayu.

Katanya, ketika kejadian, dianggarkan 100 tetamu berada di rumah berkenaan namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana kesemua mangsa sempat menyelamatkan diri.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Pahat, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Fauzi Mohd Nor berkata, kebakaran memusnahkan hampir 80 peratus rumah tersebut serta sebuah motosikal.

“Sebanyak 22 anggota bomba berserta tiga jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah jentera Emergency Medical Rescue Services (EMRS) digegaskan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada 1.18 petang.

“Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan dan operasi ditamatkan pada 3.34 petang,” katanya.

-sinarharian

, , ,

About Author

Leave a Reply

//couptoug.net/4/2458908