Kuala Lumpur: “Cabaran paling susah buat konten video ini apabila saya perlu pastikan kedudukan dan gerakan sentiasa sama daripada baju pertama hingga terakhir untuk menghasilkan video lebih kemas,” demikian kata Noor Suhaili Mohamed Amin.

Noor Suhaili, 43, menghasilkan video trend tukar-tukar pakaian sekelip mata hingga meraih lebih setengah juta tontonan di aplikasi TikTok.

Menariknya, pencahayaan dinding yang menjadi latar belakang video terbabit turut bertukar seiring dengan warna tema pakaian dipakai wanita itu.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu berkata, dia menggunakan sembilan pasang busana kurung moden dan kebaya songket dalam pelbagai warna.

“Saya mula membuat persiapan sejak empat hari lalu termasuk memilih dan menggosok baju serta tudung.

“Dalam video itu, saya menggayakan sembilan pasang baju kurung moden, kebaya songket dalam warna merah, biru, kuning, ungu, hijau, merah jambu, hitam dan putih.

“Pada minit-minit terakhir, saya sempat selitkan momen meniup lilin kek sempena hari jadi saya ke-43 tahun semalam untuk dijadikan kenangan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurutnya, dia mengambil masa empat jam bagi menyiapkan rakaman serta menyunting video sebelum memuat naik di platform TikTok, malam tadi.

“Rakaman itu saya buat petang semalam dengan dibantu anak sulung sebagai pengarah sebelum saya sunting sendiri menggunakan aplikasi CapCut.

“Lampu latar bertukar mengikut tema warna baju itu pula saya gunakan ‘spotlight’ pelamin,” katanya yang mengusahakan butik pengantin Sanggar DF Astarina milik keluarganya di Gombak.

Noor Suhaili berkata, dia tidak menyangka idea kreatifnya itu diterima dan menceriakan 82,000 pengikutnya di TikTok.

Menurutnya, dia digelar pengikutnya sebagai auntie tukar-tukar baju kerana sejak Mei lalu, dia rajin membuat konten trend tukar-tukar baju.

“Saya menggunakan cara itu untuk menghiburkan hati sendiri dan menghilangkan tekanan kerana tidak dapat membuka operasi perniagaan akibat Covid-19.

“Tidak sangka, usaha kecil saya itu membuatkan orang lain pun terhibur,” katanya.

Harian Metro

,

About Author

Leave a Reply

//zikroarg.com/4/2458908