Month: October 2021

“Anggota menyangka tiga beranak di bawah Jambatan Pulau Pinang adalah nelayan dan ketika mahu bertanya mengenai laporan kes, baru tahu mereka bergelandangan di situ sejak dua bulan lalu.” kata Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong.

Menurutnya, simpati dengan keluarga berkenaan, polis membawa mereka tinggal sementara di sebuah unit rumah kosong di Balai Polis Sungai Nibong, di sini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai tiga sekeluarga yang ditemukan di bawah jambatan ketika sedang menyiasat laporan kes pada 20 Oktober lalu.

Soffian berkata, terdahulu polis menerima laporan berhubung kes kenderaan yang dipandu pengguna jalan raya dibaling dengan batu ketika melalui kawasan itu.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi bagi menyiasat laporan itu, anggota polis bertanya kepada beberapa orang awam termasuk bapa bersama dua anaknya.

“Lelaki berkenaan mengakui menjadikan kawasan jambatan itu sebagai tempat berteduh dan tidak mampu menyewa tempat tinggal.

“Nasib malang itu bermula selepas rumahnya terbakar tahun lalu sebelum terkesan dengan pandemik Covid-19,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Soffian berkata, simpati dengan keluarga berkenaan, anggota polis membawa mereka ke Balai Polis Sungai Nibong dan menempatkan sementara di sebuah unit rumah kosong berhampiran.

“Mereka tinggal di situ selama dua hari sebelum ditempatkan di rumah teduhan Anjung Singgah, Lebuh Chulia, di sini.

“Perkara ini adalah biasa bagi semua dan kita perlu saling membantu terutama golongan yang tidak bernasib baik,” katanya.

Sementara itu, bapa malang berkenaan, Mohd Effendee Md Yusoff, 42, berkata, ketika ditemukan polis pada hari itu, dia tidak bimbang dan memberi maklumat sepenuhnya kepada anggota berkenaan.

Katanya, dia bersama dua anak, Muhammad Alif Maulana, 10, dan Muhammad Arif Maulana, 11, sebelum ini tinggal di sebuah rumah di Jelutong sebelum berlaku kebakaran pada 2020.

Berikutan isterinya pulang ke Indonesia, dia bekerja sebagai buruh kontrak di Johor, Klang, Selangor dan Ipoh, Perak dengan membawa bersama dua anak.

“Sehinggalah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, saya tidak dapat bekerja dan hanya gunakan wang simpanan yang ada.

“Dua bulan lalu saya ambil keputusan pulang ke Pulau Pinang dan kerana tidak mampu menyewa rumah, kami jadikan bawah jambatan sebagai ‘rumah’.

“Setiap malam saya sukar tidur kerana bimbang dengan keselamatan anak dan serangan ular berbisa,” katanya di sini, hari ini.

Tidak mahu mengalah dengan hidup, Mohd Effendee kini bekerja sebagai nelayan dengan menangkap ikan di sekitar Batu Uban, di sini.

Katanya, rutinnya akan pulang ke Anjung Singgah selepas menangkap ikan dan sedang mengumpul wang bagi menyewa rumah.

“Pendapatan sebagai nelayan sekitar RM500 sebulan, cukuplah bagi kegunaan kami bertiga namun saya juga mahu keluar daripada keadaan ini dan mahu menjalani kehidupan baharu.

“Harapan saya mahu menghantar anak ke sekolah tahfiz supaya mereka dapat mengubah nasib keluarga dan tidak mahu mereka hidup begini,” katanya.

Harian Metro

Asalnya dia mengambil keputusan menjual mi rebus pada harga RM2 kerana tidak mahu membebani pelanggan yang kebanyakannya ketika itu terdiri daripada pelajar sekolah.

Selepas 22 tahun, harga mi rebus yang dijual di Gerai Kak Dah milik Hamidah Abdul Halim, 58, di sini masih lagi kekal sama, malah bahan dan kuah hasil air tangan ibu kepada tujuh anak itu juga diakui pelanggannya masih tidak berubah.

Hanya berubah lokasi gerai yang dahulunya berhampiran Arked Mara Gurun selepas mula berniaga pada 1999, kini sudah berpindah di hadapan rumahnya di Kampung Sungai Badak di sini, sejak sembilan tahun lalu.

Walaupun sudah berpindah, gerai itu masih menjadi tumpuan apabila ramai pelanggannya tetap mencari kerana mahu menikmati mi rebus yang dijual wanita terbabit berikutan rasanya yang tidak berubah.

Menurut Hamidah, dia masih mengekalkan harga mi rebus dan tidak sesekali mengurangkan kandungan yang ada dalam hidangan yang dijual kepada pelanggan sejak dahulu lagi.

Katanya, hasil perniagaan kecil-kecilan itu juga dia dapat membesarkan tujuh anak dan dua daripada mereka sedang menuntut di universiti.

“Anak-anak pernah menyuruh menaikkan harga mi rebus ini kerana mendakwa ia tidak sesuai dengan keadaan sekarang, namun saya enggan dan memberitahu mereka perniagaan ini dilakukan sambil bersedekah.

“Saya juga menerangkan kepada mereka supaya menganggap apa yang dilakukan ini sebagai kenduri untuk pelanggan kerana selain majlis perkahwinan memang tak pernah ada kenduri lain dibuat di rumah kami ini berikutan kekangan masa dan kewangan,” katanya.

Ketika ditanya sama ada masih memperoleh untung, Hamidah berkata, dia bersyukur kerana setakat ini tidak pernah mengalami kerugian walaupun harga bahan mentah semakin naik.

“Sejak berniaga, saya hanya membeli barang keperluan di kedai sama dan memang penjual sekitar pekan ini kenal dengan saya, sekali gus memudahkan urusan harian termasuk mendapatkan harga rendah.

“Lagipun, saya tidak tergamak menaikkan harga kerana selagi masih mendapat untung, walaupun sedikit saya akan cuba kekalkan harga mi rebus yang sama,” katanya.

Berkongsi kisah hidupnya, ibu kepada empat anak lelaki dan tiga perempuan berusia antara 22 hingga 33 tahun itu berkata, dia mula berniaga selepas suami, Alzikri Ahmad, 59, hilang punca pendapatan kerana perniagaan diusahakan keluarga mentua mengalami masalah pada 1999.

“Ketika itu juga saya baru melahirkan anak bongsu dan dengan semangat yang ada untuk membantu suami, saya membuka kedai menjual makanan serta minuman di Gurun.

“Dengan bantuan suami dan anak-anak, kedai diusahakan itu menjadi sumber pendapatan utama untuk menyara kami sekeluarga dan saya bersyukur dengan rezeki dikurniakan tuhan walaupun hidup tidak mewah seperti orang lain,” katanya.

Menurutnya, mereka sekeluarga diuji sekali lagi apabila suaminya diserang angin ahmar tujuh tahun kemudian dan kerana memikirkan keadaan anak-anak yang masih kecil, dia terpaksa menjual kedai terbabit sebelum berpindah dengan membuka gerai di hadapan rumah.

“Alhamdulillah, walaupun pada awalnya agak sukar namun saya bersyukur kerana pelanggan yang biasa membeli dan makan di gerai dahulu masih mencari walaupun sudah berpindah.

“Walaupun sudah 22 tahun, ada pelanggan yang dulunya seorang pelajar tetap datang ke gerai saya hingga kini kerana mendakwa selain rasa dan harga jualan kekal ia juga menggamit kenangan mereka ketika bersekolah,” katanya.

Selain mi rebus yang menjadi pilihan pelanggan tetapnya, Hamidah juga turut mengekalkan harga untuk laksa dan mi kari yang dijual dengan RM2 selain menambah menu masakan bergoreng yang dijual pada harga RM3.50 sahaja.

Harian Metro

Terpaksa buang semua semua nasi lemak borong!

October 21, 2021 | News | No Comments

NIATNYA hanyalah untuk membantu peniaga lain, namun akhirnya hampa apabila melihat kesemua enam bungkus nasi lemak yang dibelinya tercemar dengan benda asing.

“Tengok dan nilai sendiri,” tulisnya, disertakan dengan video menunjukkan nasi lemak yang dibungkus dengan daun pisang yang dicemari kesan ‘debu berwarna putih’.

Bercakap kepada mStar, wanita berkenaan yang hanya ingin dikenali sebagai Puteh, 49, berkata, dia sama sekali tidak berniat untuk memburukkan peniaga nasi lemak yang pernah viral itu sebaliknya berharap agar perkongsiannya dapat dijadikan tauladan buat peniaga-peniaga lain.

“Akak beli enam bungkus sebab nak habiskan sebab tak sampai hati biarkan dua ‘ketul’ je dekat situ jadi akak borong la tapi bila balik tengok semua tak boleh makan, ada kesan putih-putih tu.

“Orang yang komen kat video akak kata bekas ulat daun pisang, mungkin betul sebab masa akak kecil dulu bila buka gulungan daun memang ada, macam rumah ulat gitu.

“Akak tak cakap dekat peniaga tu sebab takut dia kecil hati, jadi akak post dekat TikTok sebab nak bagi peniaga lain berhati-hati dan titik beratkan juga kebersihan, jangan main jual untuk sahaja,” jelasnya.

Katanya dia terpaksa membuang kesemua nasi lemak yang dibelinya dari sebuah kedai yang terletak di Kota Damansara itu.

Jelasnya, ada beberapa proses yang perlu dilakukan demi memastikan daun pisang yang digunakan untuk membungkus makanan benar-benar bersih.

“Biasa kalau orang kampung nak masak ada prosesnya bermula dari kita ambil di pokok sampailah nak guna untuk bungkus atau alas makanan.

“Lepas cantas di pokok mereka akan basuh, lap, lepas tu layur atas api, kemudian lap lagi sekali dan barulah balut,” katanya.

Mstar Online

Hujan lebat berterusan yang melanda beberapa negeri di pantai barat sejak awal pagi tadi mengakibatkan beberapa kawasan mengalami banjir kilat.

Di SELANGOR, tiga kawasan di daerah Klang, dekat sini ditenggelami air selepas hujan berterusan bermula sekitar pukul 3 petang tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata setakat 6.30 petang tadi kawasan yang dilanda banjir kilat adalah berhampiran Jusco Bukit Raja di Persiaran Bukit Raja 2; Lorong Emas 2 Taman Melawis dan sekitar Jalan 3 Off, Jalan Mohd Yamin, di Klang. “Kejadian banjir kilat antaranya disebabkan longkang tersumbat dan berlaku limpahan air sungai ekoran hujan lebat.

Di kawasan sekitar Jusco Bukit Raja, Persiaran Bukit Raja 2, kedalaman air adalah 1.22 meter, di sekitar Jalan Mohd Yamin (1.83m), manakala di Taman Melawis (0.30m).”Setakat ini 35 rumah penduduk terlibat di dua daripada tiga kawasan tersebut khususnya 15 rumah di sekitar Jalan 3 Off, Jalan Mohd Yamin dan kerja-kerja mengeluarkan mangsa banjir dari dalam rumah sedang dilakukan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Norazam berkata banjir kilat di sekitar Jusco Bukit Raja turut menjejaskan Jalan Persekutuan dari arah Klang menghala Kuala Lumpur yang dinaiki air menyebabkan lima kenderaan terkandas di kawasan tersebut dan pemandunya telah diarah keluar dari kenderaan terbabit untuk berlindung di tempat yang selamat.

Katanya berdasarkan pemantauan setakat ini, belum ada trend penurunan di kawasan berkenaan namun pihaknya telah bersiap sedia khususnya di kawasan yang sering dilanda banjir kilat ekoran hujan yang masih belum reda.

Di NEGERI SEMBILAN, lapan kampung di Rembau dilanda banjir kilat disebabkan limpahan air dari beberapa sungai ekoran hujan lebat berterusan sejak pagi sehingga pukul 6 petang tadi.Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sembilan Lt Kol (PA) Mohd Syukri Md Nor berkata banjir kilat membabitkan Kampung Tanjung Sena Hilir, Kampung Sungai Ibor, Kampung Minching, Kampung Paya Besar, Kampung Merbau 9, Kampung Sungai Batu, Kampung Raden dan Kampung Pulau Besar.”

Selain itu, jalan Pulau Mampat – Seberang Batu Hampar putus dua kira-kira pukul 4 petang tadi dan kerja penutupan jalan telah dijalankan Jabatan Kerja Raya (JKR) kerana keadaan jalan tidak selamat digunakan pengguna jalan raya pada masa ini.”Jalan Linggi-Pedas di jambatan Sungai Ibor turut ditutup bagi kenderaan ringan berikutan air sungai masih di paras bahaya iaitu sekitar 600 milimeter (mm).

Pengguna jalan raya boleh menggunakan jalan alternatif iaitu jalan Kundur-Pilin untuk ke pekan Rembau,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.Beliau berkata setakat ini tiada mangsa dipindahkan dan tiada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di daerah berkenaan, selain pihaknya terus memantau dari semasa ke semasa situasi banjir di negeri ini.

Di MELAKA, 36 lokasi di tiga daerah di negeri ini dilanda banjir kilat susulan hujan lebat sejak tengah hari tadi.Pengarah APM Melaka Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata daripada jumlah itu, 20 lokasi melibatkan daerah Melaka Tengah, Alor Gajah (sembilan) dan Jasin (tujuh).Beliau berkata setakat pukul 7 malam tadi, tiga PPS telah dibuka sebagai persediaan menempatkan mangsa banjir yang terjejas.

“PPS terlibat ialah SMK Tun Mutahir di daerah Melaka Tengah, SK Durian Tunggal (Alor Gajah) dan SMK Seri Bemban (Jasin). Setakat ini, jumlah mangsa belum dapat dipastikan kerana mangsa masih dalam proses pendaftaran untuk ke PPS tersebut,” katanya dalam kenyataan, di sini malam ini.Mengulas lanjut, beliau berkata lokasi terjejas banjir di daerah Melaka Tengah antaranya Sungai Putat, Bukit Beruang, Malim Permai, Desa Duyong, Ayer Keroh, Taman Rambai Jaya, Kampung Sungai Badau, Bakar Batu, Balai Panjang, Kampung Kolam, Kampung Morten dan Tengkera.

Katanya bagi daerah Alor Gajah pula, ia melibatkan kawasan antaranya Kampung Dalong, Kampung Danun, Parit Melana, Kampung Padang Keladi, Durian Daun dan Bukit Balai, manakala di Jasin, lokasi terjejas antaranya Pekan Merlimau, Jasin Bestari, Asam Kumbang, Lubuk Kasa dan Tehel.

Astro Awani


Misteri duit hilang di empat kampung

October 20, 2021 | Mystery, News | No Comments

Penduduk di empat kampung dalam mukim Kubang Kerian di sini bingung dengan kehilangan wang yang kerap berlaku sejak setahun lalu.

Kejadian difahamkan sudah berlaku lebih 10 tahun lalu tapi tidak secara berterusan.

Penduduk Kampung Parit Raja, Pulong, Chicha dan Kenali kerap kehilangan wang malah ada berjumlah ribuan ringgit lesap secara misteri.

Ada penduduk yang mengaitkan misteri itu dengan toyol berikutan tiada kesan pecah rumah dan wang boleh hilang walaupun disimpan di tempat tersembunyi. 

Kejadian terbaru dialami kakitangan kerajaan, Sudarwaty Abdul Rajab, 42, pada petang Jumaat lalu apabila kehilangan RM500 yang disimpan di dalam beg tangannya.

“Petang Khamis lalu saya mengambil wang di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) sebanyak RM1,000 sebelum pulang ke kampung di Terengganu untuk berjumpa ibu bapa.

“Keesokan harinya apabila ingin menghulurkan wang kepada ibu bapa, saya terkejut kerana mendapati RM500 yang ingin diberikan itu hilang namun enggan bising kerana ini bukan kali pertama berlaku,” katanya.

Sudarwaty yang menetap di Kampung Pulong berkata, kejadian seumpama itu sudah setahun dialami namun tidak diceritakan kepada sesiapa selain sanak saudara namun beberapa hari lalu apabila mengetahui kejadian sama menimpa ramai individu lain menerusi satu kumpulan Whatsapp, dia agak terkejut.

Katanya, pelbagai ikhtiar sudah dibuat selain solat hajat termasuk melakukan beberapa tips yang diketahui iaitu jangan membiarkan wang kertas berkeadaan elok sebaliknya lipat atau biarkan ronyok dan apabila dipraktikkan, langkah itu dilihat menjadi.

“Bagaimanapun apabila terlupa membuat tips itu, memang duit akan hilang termasuk wang tabung anak dan walaupun ‘benda itu’ tidak mengambil semua wang tapi apa yang kami perhatikan, dia hanya ambil not RM20 ke atas,” katanya.

Di saat penduduk daripada tiga kampung lain itu masih bingung memikirkan misteri itu, komuniti Kampung Pulau Raja pula sudah lega apabila sudah tiada lagi kejadian seumpama itu sejak awal tahun lalu berikutan kawasan itu sudah ‘dipagar’.

Seorang penduduk kampung yang ingin dikenali sebagai Siti, 41, kejadian duit hilang sudah dialami mereka sejak lebih 10 tahun lalu dan pelbagai ikhtiar sudah dibuat sebelum seorang ustaz dirujuk dan memagari kawasan rumah kira-kira 20 penduduk yang kerap diganggu.

“Sebelum ini memang kami tidak senang duduk kerana kerap sangat hilang wang namun untuk mengaitkannya dengan perlakuan manusia tidak logik kerana tiada kesan, lebih-lebih lagi wang yang di dalam genggaman pun boleh ghaib tiba-tiba.

“Habis ikhtiar kami lakukan termasuk menyorokkan wang dalam peti ais dan menyelit dalam kitab al-Quran tapi ia tetap hilang dan salah satu tips yang dilihat agak menjadi ialah dengan mengepil dawai kokot di hujung helaian wang dengan alat pengokot (stapler).

“Kami juga banyak membuat ikhtiar lain iaitu solat hajat serta merujuk golongan agamawan dan Alhamdulillah selepas ‘dipagar kawasan’ oleh seorang ustaz awal tahun ini, kejadian itu sudah tiada,” katanya.

Harian Metro

Melancong ke Melaka bermula Jumaat

October 14, 2021 | Travel | No Comments

Sektor pelancongan Melaka akan mula dibuka kepada pengunjung luar bermula Jumaat ini selepas ditangguhkan pada 1 Oktober lalu.

Satu sambutan besar-besaran dan meriah dijadual diadakan di semua pintu masuk ke negeri ini sebagai simbolik kepada pembukaan sektor berkenaan.

Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, sambutan meriah akan mengiringi kedatangan pelancong di Plaza Tol Ayer Keroh, Tol Simpang Ampat dan Melaka Sentral bermula jam 3 petang.

Katanya, sambutan itu akan dimeriahkan dengan kehadiran Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali di Plaza Tol Ayer Keroh.

“Pengunjung akan disambut dengan persembahan daripada artis budaya Briged Seni Melaka, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian negeri serta Institut Seni Warisan Negeri Melaka (INSWA).

“Setiap pelancong yang masuk pada Jumaat ini bermula jam 3 petang akan diberikan cenderahati khas daripada kerajaan negeri berupa kit cegah Covid-19 serta barangan promosi pelancongan Melaka,” katanya pada sidang media di Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka, di Kota Cemerlang, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengurus Besar BPP, Sa’ari Basiron.

Mengulas lanjut, Muhammad Jailani berkata, kerajaan negeri mensasarkan sekurang-kurangnya sejuta pelancong akan mengunjung Melaka menjelang akhir tahun ini.

Katanya, jumlah itu memadai berikutan suasana pandemik Covid-19 yang melanda negeri dan negara sejak tahun lalu menyebabkan banyak sektor pelancongan tidak dapat beroperasi.

Bagaimanapun, katanya, 5.6 juta pelancong disasarkan tahun depan dengan harapan supaya sektor pelancongan dapat dipulihkan sehingga 75 peratus.

“Pelbagai promosi pelancongan sudah dan sedang dilaksanakan bagi menarik lebih ramai pelancong domestik memilih Melaka sebagai destinasi percutian. Antaranya, Kempen Promosi `Melakan Visit Melaka’ 3.0, Pocket Show, Menara Taming Sari X Tourism Melaka Fun Ride 2021 dan Bas Pelancongan Elektrik ‘Singgah-Singgah’,

“Jika diizinkan Allah SWT kita beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN), pemulihan pelancongan dijangka meningkat sehingga 80 peratus.

“Justeru, beberapa pendekatan berkaitan prosedur operasi standard (SOP) dilakukan dalam memastikan keselamatan dan kesihatan pelancong terjamin, ia termasuk program Pensijilan Patuhi dan Amal SOP COVID-19 Melaka bagi sektor pelancongan di negeri itu,” katanya.

Harian Metro

‘Tunggu nenek di syurga ya’

October 14, 2021 | Accidents | No Comments

“Tunggu nenek ya,” itu kata terakhir nenek kepada kanak-kanak autistik yang ditemukan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia dipercayai akibat terkurung di dalam van selama tiga jam, petang semalam

Wanita yang enggan namanya didedahkan itu meluahkan kata-kata itu ketika kali terakhir menatap wajah cucu perempuannya itu sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sendayan, di sini, 3 petang tadi.

Perasaan hiba mengiringi majlis pengebumian yang dihadiri ahli keluarga, rakan kepada ibu dan bapa mangsa serta guru yang mengajar kanak-kanak yang mengalami austisme itu.

Tetamu yang hadir juga tidak dapat menahan air mata apabila bapa kanak-kanak berkenaan berucap sebaik majlis pengebumian selesai yang meminta supaya dimaafkan dan dihalalkan sekiranya anak syurganya itu ada melakukan kesalahan.

Waris terdekat kepada keluarga itu ketika ditemui berkata, kanak-kanak istimewa itu memang rapat dengan neneknya sejak kecil malah, setiap kali cuti sekolah akan ke rumah warga emas itu di Seremban.

“Dia anak kedua daripada tiga beradik. Neneknya tidak dapat menahan rasa sedih kerana boleh dikatakan banyak masanya dihabiskan di rumah neneknya dan mereka sangat rapat sejak kecil,” katanya yang enggan dikenali.

Usaha wartawan untuk mendapatkan ibu dan bapa mangsa bagaimanapun tidak berjaya apabila mereka menolak secara baik kerana belum bersedia untuk berkongsi kesedihan mereka.

Dalam kejadian kira-kira 5 petang semalam, seorang kanak-kanak perempuan mengalami austisme ditemukan tidak sedarkan diri selepas terkurung dalam sebuah van di Taman Nusari Bayu 2, di sini, sebelum disahkan meninggal dunia,

Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, mangsa sepatutnya dihantar ke pusat jagaan, namun pemandu van pulang ke rumahnya tanpa menyedari mangsa masih berada di dalam van dari 2.30 petang hingga 5.50 petang.

Beliau berkata, tangkapan terhadap seorang lelaki berusia 34 tahun yang bekerja sebagai pemandu van dilaksanakan dan tahanan reman dipohon pagi tadi.

Siasatan dijalankan bagi mengenal pasti kejadian yang berlaku dan satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

Harian Metro

Masalah rumah tangga menjadi punca seorang anggota tentera mengamuk dan melepaskan beberapa das tembakan sehingga mencederakan ibu mentuanya, sebelum dia menembak mati diri sendiri.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, suspek yang berusia 28 tahun bertindak sedemikian kerana marah ketika sedang menyelesaikan masalah rumah tangga bersama isterinya yang mana masih dalam proses penceraian.

Katanya, pihaknya menerima laporan kejadian sekitar jam 12.45 tengah hari di Kampung Kolong 1, Jalan Sungai Tengah Jalan Matang Kuching pada Rabu.”Semasa dalam perbincangan saspek telah marah dan bertindak mengambil senjata yang disimpan dalam kereta miliknya.”

Suspek kemudian melepaskan beberapa das tembakan di dalam rumah sehingga salah satu das tembakan terkena ibu mentua mangsa.”Dalam kejadian tersebut, ibu mentua mangsa yang berumur 58 tahun cedera di bahagian bahu sebelah kiri,” katanya dalam satu kenyataan.

Suspek kemudianya bertindak menembak diri sendiri di bahagian dagu dan mati di tempat kejadian.Kes disiasat dibawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Untuk makluman, suspek meninggalkan balu berusia 22 tahun dan seorang anak perempuan, hasil perkahwinan mereka sejak dua tahun lepas.Justeru, masyarakat dinasihatkan agar tidak membuat spekulasi sendiri sehingga proses siasatan daripada pihak Polis selesai.

Astro Awani

Akhirnya! 11 Okt dah boleh rentas negeri

October 10, 2021 | News | No Comments

Rentas negeri akhirnya dibenarkan berkuat kuasa pada 11 Oktober selepas hampir sembilan bulan kerajaan melarang aktiviti tersebut susulan penularan pandemik COVID-19.Berita gembira itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam Sidang Media Khas di Bangunan Perdana Putra, termasuk kebenaran untuk pulang ke kampung halaman.

Menurut Perdana Menteri, kebenaran itu diberikan selepas kadar vaksinasi individu dewasa yang lengkap menerima vaksin telah mencapai 90 peratus pada Ahad.”Alhamdulillah, menurut KKM kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di bawah Pelan Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) telah mencapai 90 peratus. Bagaimanapun, data terkini akan dikemaskini di laman sesawang COVIDNOW pada tengah malam ini.

“Sehubungan itu, kerajaan bersetuju memberi kebenaran untuk Keluarga Malaysia yang telah menerima vaksinasi lengkap untuk melakukan pergerakan rentas negeri tanpa perlu memohon kebenaran daripada PDRM bermula esok, Isnin, 11 Oktober 2021.“Dengan keputusan ini, Keluarga Malaysia bebas melakukan pergerakan seperti balik kampung untuk berjumpa ibu bapa yang telah lama berpisah, melancong, dan sebagainya,” katanya dalam sidang media khas, di sini.

Astro Awani

Seorang penganggur dihukum penjara lapan tahun oleh Mahkamah Rayuan di sini pada Selasa atas perbuatan kejamnya yang menganiayai seorang kanak-kanak dua tahun dengan menumbuk, memijak badan dan kepala serta memasukkan gunting ke dalam mulut mangsa yang sudah tidak bernyawa dan menyorokkan mayatnya dalam sebuah tong ikan dipenuhi ais di Sungai Petani, Kedah pada 2016 lalu.

Tertuduh, Mohd Affandi Fauzi Ramlee, 39, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pindaan yang dibaca terhadapnya di hadapan tiga panel hakim, diketuai oleh Datuk Seri Kamaludin Md Said bersama Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Hashim Hamzah.Ketika membaca keputusan penghakiman, Kamaludin berkata, berdasarkan fakta kes, tertuduh bertindak terlalu kejam kerana menganiaya kanak-kanak kecil itu.

“Tidak dapat dibayangkan, penderitaan dan seksa yang dialami mangsa.“Walaupun, tertuduh telah mengaku bersalah, tetapi mahkamah perlu mengambil kira faktor kepentingan awam, maka hukuman dikenakan bermula hari ini,” katanya.

Semasa prosiding, peguam Kee Wei Lon yang mewakili tertuduh merayu agar anak guamnya dikenakan hukuman minimum tanpa denda kerana dia telah menjalani hukuman penjara 60 bulan atas kesalahan mendera kakak mangsa yang ketika itu berusia empat tahun.“Mohd Affandi dibebaskan pada 15 April 2020 dan masih belum mendapat sebarang pekerjaan.

“Pihak kami juga memohon agar mahkamah mengambil kira tempoh tahanan reman selama dua tahun tiga bulan ketika Mohd Affandi disiasat bagi kes 302 Kanun Keseksaan bermula 24 November 2016 lalu,” katanya.Selain itu, Wei Lon berkata, tertuduh tidak pernah diberi peluang untuk mengaku bersalah kerana tidak ditawarkan atas pertuduhan pilihan, maka pengakuan salah perlu diberikan pertimbangan sepertimana pengakuan kali pertama.

Menurutnya, tindakan tertuduh hadir sendiri ke mahkamah walaupun telah dilepas dan dibebaskan oleh mahkamah menunjukkan dia benar-benar insaf dan mengambil tanggungjawab atas kesalahan itu.Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Samihah Rhazali mencadangkan, tertuduh dikenakan hukuman maksimum tanpa mengambil kira hukuman terdahulu kerana ia adalah melibatkan mangsa yang berbeza.

Beliau berkata, mahkamah perlu memandang keseriusan kesalahan daripada siri-siri penganiayaan terhadap kanak-kanak malang itu.“Banyak perbuatan menendang, pukul dan pijak dilakukan sehingga akhirnya mangsa ditemui mati, malah tertuduh mempunyai rekod lampau kerana mendera kakak mangsa.“Hukuman kelak perlulah mencerminkan kepentingan awam dan keseriusan kesalahan tersebut,” katanya.

Pada 6 Disember 2016, Mohd Affandi dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sungai Petani, Kedah, atas dakwaan melakukan pembunuhan menyebabkan kematian seorang kanak-kanak lelaki, Muhammad Qhairullah Abd Hadi, 2, di sebuah rumah di Flat Paya Nahu antara jam 8 pagi 27 Oktober hingga jam 2 pagi, 24 November tahun sama.Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

Namun pada 26 Februari 2019, Mahkamah Tinggi Alor Setar, Kedah membebaskan tertuduh daripada pertuduhan tersebut.Susulan itu, pasukan pendakwaan membuat rayuan di Mahkamah Rayuan dengan meminda pertuduhan kepada menganiayai kanak-kanak berkenaan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 31(5)(b) akta sama.Pindaan pertuduhan dibuat selepas Pejabat Peguam Negara (AGC) menerima representasi yang dihantar oleh Mohd Affandi selaku responden.

Mengikut pertuduhan pindahan, Mohd Affandi didakwa sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan kepada Muhammad Qhairullah, telah menganiayai kanak-kanak itu di lokasi dan tarikh sama.Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 31(5)(b) akta sama, yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjarakan tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya.

Berdasarkan fakta kes, ibu mangsa mengenali tertuduh pada September 2016 sebelum membuat keputusan untuk menumpang di rumah tertuduh.Pada 24 Oktober 2016, wanita berkenaan menyatakan tertuduh mencederakan Muhammad Qhairullah dengan menumbuk, mencubit, menjentik dan memijak kepala serta badan sehingga menyebabkan tulang rusuk mangsa patah.Susulan penderaan itu, mangsa didapati tidak bernyawa pada jam 1 pagi, 27 Oktober 2016.

Pada jam 5 petang hari sama, ibunya mendapati kanak-kanak malang itu sudah keras dan sejuk sehinggalah keluar lendir dari hidung mangsa.Menurut ibu mangsa, lelaki berkenaan melarangnya membawa mangsa ke hospital kerana mahu mengelak daripada siasatan pihak polis.Bagi mengelakkan mayat itu berbau, tertuduh menutup mayat dengan menggunakan toto dan menyorok mayat itu di dalam sebuah kotak polisterin yang dipenuhi ais.Bagaimanapun, perubatan itu terbongkar sebulan kemudian iaitu pada 24 November 2016, selepas ibu mangsa meminta pertolongan daripada rakan serumah sebelum memaklumkan kepada polis.

Astro Awani

//ashoupsu.com/4/2458908