Melancong ke Melaka bermula Jumaat

October 14, 2021 | Travel | No Comments

Sektor pelancongan Melaka akan mula dibuka kepada pengunjung luar bermula Jumaat ini selepas ditangguhkan pada 1 Oktober lalu.

Satu sambutan besar-besaran dan meriah dijadual diadakan di semua pintu masuk ke negeri ini sebagai simbolik kepada pembukaan sektor berkenaan.

Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, sambutan meriah akan mengiringi kedatangan pelancong di Plaza Tol Ayer Keroh, Tol Simpang Ampat dan Melaka Sentral bermula jam 3 petang.

Katanya, sambutan itu akan dimeriahkan dengan kehadiran Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali di Plaza Tol Ayer Keroh.

“Pengunjung akan disambut dengan persembahan daripada artis budaya Briged Seni Melaka, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian negeri serta Institut Seni Warisan Negeri Melaka (INSWA).

“Setiap pelancong yang masuk pada Jumaat ini bermula jam 3 petang akan diberikan cenderahati khas daripada kerajaan negeri berupa kit cegah Covid-19 serta barangan promosi pelancongan Melaka,” katanya pada sidang media di Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka, di Kota Cemerlang, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengurus Besar BPP, Sa’ari Basiron.

Mengulas lanjut, Muhammad Jailani berkata, kerajaan negeri mensasarkan sekurang-kurangnya sejuta pelancong akan mengunjung Melaka menjelang akhir tahun ini.

Katanya, jumlah itu memadai berikutan suasana pandemik Covid-19 yang melanda negeri dan negara sejak tahun lalu menyebabkan banyak sektor pelancongan tidak dapat beroperasi.

Bagaimanapun, katanya, 5.6 juta pelancong disasarkan tahun depan dengan harapan supaya sektor pelancongan dapat dipulihkan sehingga 75 peratus.

“Pelbagai promosi pelancongan sudah dan sedang dilaksanakan bagi menarik lebih ramai pelancong domestik memilih Melaka sebagai destinasi percutian. Antaranya, Kempen Promosi `Melakan Visit Melaka’ 3.0, Pocket Show, Menara Taming Sari X Tourism Melaka Fun Ride 2021 dan Bas Pelancongan Elektrik ‘Singgah-Singgah’,

“Jika diizinkan Allah SWT kita beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN), pemulihan pelancongan dijangka meningkat sehingga 80 peratus.

“Justeru, beberapa pendekatan berkaitan prosedur operasi standard (SOP) dilakukan dalam memastikan keselamatan dan kesihatan pelancong terjamin, ia termasuk program Pensijilan Patuhi dan Amal SOP COVID-19 Melaka bagi sektor pelancongan di negeri itu,” katanya.

Harian Metro

, ,

About Author

Leave a Reply

//benoopto.com/4/2458908