‘Tunggu nenek di syurga ya’

October 14, 2021 | Accidents | No Comments

“Tunggu nenek ya,” itu kata terakhir nenek kepada kanak-kanak autistik yang ditemukan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia dipercayai akibat terkurung di dalam van selama tiga jam, petang semalam

Wanita yang enggan namanya didedahkan itu meluahkan kata-kata itu ketika kali terakhir menatap wajah cucu perempuannya itu sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sendayan, di sini, 3 petang tadi.

Perasaan hiba mengiringi majlis pengebumian yang dihadiri ahli keluarga, rakan kepada ibu dan bapa mangsa serta guru yang mengajar kanak-kanak yang mengalami austisme itu.

Tetamu yang hadir juga tidak dapat menahan air mata apabila bapa kanak-kanak berkenaan berucap sebaik majlis pengebumian selesai yang meminta supaya dimaafkan dan dihalalkan sekiranya anak syurganya itu ada melakukan kesalahan.

Waris terdekat kepada keluarga itu ketika ditemui berkata, kanak-kanak istimewa itu memang rapat dengan neneknya sejak kecil malah, setiap kali cuti sekolah akan ke rumah warga emas itu di Seremban.

“Dia anak kedua daripada tiga beradik. Neneknya tidak dapat menahan rasa sedih kerana boleh dikatakan banyak masanya dihabiskan di rumah neneknya dan mereka sangat rapat sejak kecil,” katanya yang enggan dikenali.

Usaha wartawan untuk mendapatkan ibu dan bapa mangsa bagaimanapun tidak berjaya apabila mereka menolak secara baik kerana belum bersedia untuk berkongsi kesedihan mereka.

Dalam kejadian kira-kira 5 petang semalam, seorang kanak-kanak perempuan mengalami austisme ditemukan tidak sedarkan diri selepas terkurung dalam sebuah van di Taman Nusari Bayu 2, di sini, sebelum disahkan meninggal dunia,

Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, mangsa sepatutnya dihantar ke pusat jagaan, namun pemandu van pulang ke rumahnya tanpa menyedari mangsa masih berada di dalam van dari 2.30 petang hingga 5.50 petang.

Beliau berkata, tangkapan terhadap seorang lelaki berusia 34 tahun yang bekerja sebagai pemandu van dilaksanakan dan tahanan reman dipohon pagi tadi.

Siasatan dijalankan bagi mengenal pasti kejadian yang berlaku dan satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

Harian Metro

,

About Author

Leave a Reply

//nessainy.net/4/2458908