Hujan lebat berterusan yang melanda beberapa negeri di pantai barat sejak awal pagi tadi mengakibatkan beberapa kawasan mengalami banjir kilat.

Di SELANGOR, tiga kawasan di daerah Klang, dekat sini ditenggelami air selepas hujan berterusan bermula sekitar pukul 3 petang tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata setakat 6.30 petang tadi kawasan yang dilanda banjir kilat adalah berhampiran Jusco Bukit Raja di Persiaran Bukit Raja 2; Lorong Emas 2 Taman Melawis dan sekitar Jalan 3 Off, Jalan Mohd Yamin, di Klang. “Kejadian banjir kilat antaranya disebabkan longkang tersumbat dan berlaku limpahan air sungai ekoran hujan lebat.

Di kawasan sekitar Jusco Bukit Raja, Persiaran Bukit Raja 2, kedalaman air adalah 1.22 meter, di sekitar Jalan Mohd Yamin (1.83m), manakala di Taman Melawis (0.30m).”Setakat ini 35 rumah penduduk terlibat di dua daripada tiga kawasan tersebut khususnya 15 rumah di sekitar Jalan 3 Off, Jalan Mohd Yamin dan kerja-kerja mengeluarkan mangsa banjir dari dalam rumah sedang dilakukan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Norazam berkata banjir kilat di sekitar Jusco Bukit Raja turut menjejaskan Jalan Persekutuan dari arah Klang menghala Kuala Lumpur yang dinaiki air menyebabkan lima kenderaan terkandas di kawasan tersebut dan pemandunya telah diarah keluar dari kenderaan terbabit untuk berlindung di tempat yang selamat.

Katanya berdasarkan pemantauan setakat ini, belum ada trend penurunan di kawasan berkenaan namun pihaknya telah bersiap sedia khususnya di kawasan yang sering dilanda banjir kilat ekoran hujan yang masih belum reda.

Di NEGERI SEMBILAN, lapan kampung di Rembau dilanda banjir kilat disebabkan limpahan air dari beberapa sungai ekoran hujan lebat berterusan sejak pagi sehingga pukul 6 petang tadi.Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sembilan Lt Kol (PA) Mohd Syukri Md Nor berkata banjir kilat membabitkan Kampung Tanjung Sena Hilir, Kampung Sungai Ibor, Kampung Minching, Kampung Paya Besar, Kampung Merbau 9, Kampung Sungai Batu, Kampung Raden dan Kampung Pulau Besar.”

Selain itu, jalan Pulau Mampat – Seberang Batu Hampar putus dua kira-kira pukul 4 petang tadi dan kerja penutupan jalan telah dijalankan Jabatan Kerja Raya (JKR) kerana keadaan jalan tidak selamat digunakan pengguna jalan raya pada masa ini.”Jalan Linggi-Pedas di jambatan Sungai Ibor turut ditutup bagi kenderaan ringan berikutan air sungai masih di paras bahaya iaitu sekitar 600 milimeter (mm).

Pengguna jalan raya boleh menggunakan jalan alternatif iaitu jalan Kundur-Pilin untuk ke pekan Rembau,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.Beliau berkata setakat ini tiada mangsa dipindahkan dan tiada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di daerah berkenaan, selain pihaknya terus memantau dari semasa ke semasa situasi banjir di negeri ini.

Di MELAKA, 36 lokasi di tiga daerah di negeri ini dilanda banjir kilat susulan hujan lebat sejak tengah hari tadi.Pengarah APM Melaka Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata daripada jumlah itu, 20 lokasi melibatkan daerah Melaka Tengah, Alor Gajah (sembilan) dan Jasin (tujuh).Beliau berkata setakat pukul 7 malam tadi, tiga PPS telah dibuka sebagai persediaan menempatkan mangsa banjir yang terjejas.

“PPS terlibat ialah SMK Tun Mutahir di daerah Melaka Tengah, SK Durian Tunggal (Alor Gajah) dan SMK Seri Bemban (Jasin). Setakat ini, jumlah mangsa belum dapat dipastikan kerana mangsa masih dalam proses pendaftaran untuk ke PPS tersebut,” katanya dalam kenyataan, di sini malam ini.Mengulas lanjut, beliau berkata lokasi terjejas banjir di daerah Melaka Tengah antaranya Sungai Putat, Bukit Beruang, Malim Permai, Desa Duyong, Ayer Keroh, Taman Rambai Jaya, Kampung Sungai Badau, Bakar Batu, Balai Panjang, Kampung Kolam, Kampung Morten dan Tengkera.

Katanya bagi daerah Alor Gajah pula, ia melibatkan kawasan antaranya Kampung Dalong, Kampung Danun, Parit Melana, Kampung Padang Keladi, Durian Daun dan Bukit Balai, manakala di Jasin, lokasi terjejas antaranya Pekan Merlimau, Jasin Bestari, Asam Kumbang, Lubuk Kasa dan Tehel.

Astro Awani


, ,

About Author

Leave a Reply

//soaheeme.net/4/2458908