Asalnya dia mengambil keputusan menjual mi rebus pada harga RM2 kerana tidak mahu membebani pelanggan yang kebanyakannya ketika itu terdiri daripada pelajar sekolah.

Selepas 22 tahun, harga mi rebus yang dijual di Gerai Kak Dah milik Hamidah Abdul Halim, 58, di sini masih lagi kekal sama, malah bahan dan kuah hasil air tangan ibu kepada tujuh anak itu juga diakui pelanggannya masih tidak berubah.

Hanya berubah lokasi gerai yang dahulunya berhampiran Arked Mara Gurun selepas mula berniaga pada 1999, kini sudah berpindah di hadapan rumahnya di Kampung Sungai Badak di sini, sejak sembilan tahun lalu.

Walaupun sudah berpindah, gerai itu masih menjadi tumpuan apabila ramai pelanggannya tetap mencari kerana mahu menikmati mi rebus yang dijual wanita terbabit berikutan rasanya yang tidak berubah.

Menurut Hamidah, dia masih mengekalkan harga mi rebus dan tidak sesekali mengurangkan kandungan yang ada dalam hidangan yang dijual kepada pelanggan sejak dahulu lagi.

Katanya, hasil perniagaan kecil-kecilan itu juga dia dapat membesarkan tujuh anak dan dua daripada mereka sedang menuntut di universiti.

“Anak-anak pernah menyuruh menaikkan harga mi rebus ini kerana mendakwa ia tidak sesuai dengan keadaan sekarang, namun saya enggan dan memberitahu mereka perniagaan ini dilakukan sambil bersedekah.

“Saya juga menerangkan kepada mereka supaya menganggap apa yang dilakukan ini sebagai kenduri untuk pelanggan kerana selain majlis perkahwinan memang tak pernah ada kenduri lain dibuat di rumah kami ini berikutan kekangan masa dan kewangan,” katanya.

Ketika ditanya sama ada masih memperoleh untung, Hamidah berkata, dia bersyukur kerana setakat ini tidak pernah mengalami kerugian walaupun harga bahan mentah semakin naik.

“Sejak berniaga, saya hanya membeli barang keperluan di kedai sama dan memang penjual sekitar pekan ini kenal dengan saya, sekali gus memudahkan urusan harian termasuk mendapatkan harga rendah.

“Lagipun, saya tidak tergamak menaikkan harga kerana selagi masih mendapat untung, walaupun sedikit saya akan cuba kekalkan harga mi rebus yang sama,” katanya.

Berkongsi kisah hidupnya, ibu kepada empat anak lelaki dan tiga perempuan berusia antara 22 hingga 33 tahun itu berkata, dia mula berniaga selepas suami, Alzikri Ahmad, 59, hilang punca pendapatan kerana perniagaan diusahakan keluarga mentua mengalami masalah pada 1999.

“Ketika itu juga saya baru melahirkan anak bongsu dan dengan semangat yang ada untuk membantu suami, saya membuka kedai menjual makanan serta minuman di Gurun.

“Dengan bantuan suami dan anak-anak, kedai diusahakan itu menjadi sumber pendapatan utama untuk menyara kami sekeluarga dan saya bersyukur dengan rezeki dikurniakan tuhan walaupun hidup tidak mewah seperti orang lain,” katanya.

Menurutnya, mereka sekeluarga diuji sekali lagi apabila suaminya diserang angin ahmar tujuh tahun kemudian dan kerana memikirkan keadaan anak-anak yang masih kecil, dia terpaksa menjual kedai terbabit sebelum berpindah dengan membuka gerai di hadapan rumah.

“Alhamdulillah, walaupun pada awalnya agak sukar namun saya bersyukur kerana pelanggan yang biasa membeli dan makan di gerai dahulu masih mencari walaupun sudah berpindah.

“Walaupun sudah 22 tahun, ada pelanggan yang dulunya seorang pelajar tetap datang ke gerai saya hingga kini kerana mendakwa selain rasa dan harga jualan kekal ia juga menggamit kenangan mereka ketika bersekolah,” katanya.

Selain mi rebus yang menjadi pilihan pelanggan tetapnya, Hamidah juga turut mengekalkan harga untuk laksa dan mi kari yang dijual dengan RM2 selain menambah menu masakan bergoreng yang dijual pada harga RM3.50 sahaja.

Harian Metro

,

About Author

Leave a Reply

//oackoubs.com/4/2458908