Author: Shini

157 kali cuba dapat lesen memandu

January 15, 2021 | News | No Comments

London: Tiada istilah jemu bagi seorang lelaki yang terus cuba mendapatkan lesen memandu walaupun sudah 157 kali menduduki ujian itu dan masih gagal.

Lelaki Inggeris berusia 42 tahun itu sudah menghabiskan 3,600 Pound Sterling (kira-kira RM19,850) untuk menduduki ujian memandu.

Namun akhirnya, dia dapat menarik nafas lega selepas lulus pada ujian ke-158.

Dalam pada itu, seorang wanita berusia 30-an di tempat kedua individu yang paling banyak menduduki lesen memandu dengan 117 kali.

Agensi Memandu dan Kenderaan Standard memaklumkan setiap kali menduduki ujian, wanita itu perlu membayar 23 Pound Sterling (kira-kira RM126).

Berdasarkan 117 kali menduduki ujian, wanita terbabit secara keseluruhan sudah menghabiskan 2,700 Pound Sterling (RM14,889).

Namun, kadar bayaran ujian itu akan jauh lebih tinggi sekiranya mendaftar menggunakan khidmat pihak ketiga.

Di tempat ketiga pula, seorang wanita berusia 48 tahun yang hanya lulus ujian memandu pada kali ke-94.

Bagi ujian praktikal pula, lelaki berusia 72 tahun menduduki ujian sebanyak 43 kali sebelum berjaya mendapat lesen memandu.

Ia diikuti wanita berusia 47 tahun yang mencuba sebanyak 41 kali.

Pengarah agensi, Mark Tongue berkata, gagal berkali-kali dalam ujian memandu adalah sesuatu yang benar-benar berlaku bagi calon lesen memandu.

Katanya, calon akan terus mencuba walaupun berulang kali gagal ujian berkenaan dan perlu membayar sejumlah wang untuk menduduki semula ujian.

“Mereka perlu diiktiraf kerana daya usaha yang tidak pernah jemu sehingga berjaya mendapat lesen memandu walaupun melalui 157 kali ujian,” katanya.

hmetro

Bayi dibuang dari tingkat 13 hotel

January 15, 2021 | News | No Comments

Kuching: Orang ramai digemparkan dengan penemuan mayat bayi perempuan, dipercayai dibuang oleh ibunya dari tingkat 13 hotel di Jalan Bukit Mata, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Awang Din Awang Gani berkata, mayat bayi baru dilahirkan itu ditemui orang awam, yang kemudian menghubungi polis, 9.20 malam tadi.

“Bertindak atas maklumat itu, sepasukan polis telah membuat siasatan di tempat kejadian dan menemui mayat bayi terbaring di tempat kejadian dengan kecederaan di bahagian kepala,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Awang Din berkata, susulan siasatan lanjut, remaja perempuan berusia 19 tahun yang disyaki ibu kepada bayi berkenaan ditahan di bilik hotel terbabit, malam tadi.

Katanya, remaja itu dipercayai melahirkan bayi itu di dalam bilik hotel sebelum mencampaknya dari tingkat 13.

Mayat bayi itu dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk tindakan lanjut manakala suspek dihantar ke HUS untuk rawatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.

hmetro

Tak kompromi isu ceroboh Twitter MCMC

January 14, 2021 | News | No Comments

Kuala Lumpur: Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah menegaskan kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak berkenaan isu yang dikaitkan dengan akaun rasmi Twitter Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Saifuddin berkata, kementerian akan bertindak secara telus dalam menangani isu tersebut dan sekiranya didapati berlakunya kesalahan, tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab, tidak kira sama ada mereka masih lagi berkhidmat di MCMC ataupun tidak.
 
“Saya memandang serius isu tular tentang ciapan tidak senonoh pada tahun 2014 yang dikaitkan dengan akaun rasmi Twitter MCMC.
 
“Saya telah mengarahkan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) untuk menjalankan siasatan yang menyeluruh dari semua sudut termasuk tatacara pengendalian akaun Twitter tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
 
Akaun Twitter rasmi MCMC digantung buat sementara berikutan diceroboh oleh pihak tidak bertanggungjawab seperti dilaporkan semalam.

hmetro

Penjaja dilarang berniaga di lampu isyarat

January 14, 2021 | News | No Comments

Seremban: Penjaja makanan dan minuman di persimpangan lampu isyarat sekitar daerah ini diminta menghentikan kegiatan itu berikutan mereka boleh dikenakan saman sebanyak RM2,000.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim, berkata, individu yang melakukan kesalahan itu boleh dikenakan tindakan undang-undang tegas.

“Tiada urusan jual beli dibenarkan di persimpangan jalan atau di atas mana-mana jalan raya kerana ia adalah satu kesalahan. Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM2,000.

“Aktiviti seperti ini perlu dibendung bagi mengelak kejadian kemalangan yang tidak diingini sehingga membahayakan nyawa penjaja dan pengguna jalan raya,” katanya tadi.

Beliau berkata, pihak polis akan mengambil tindakan lebih tegas termasuk mengeluarkan saman sekiranya tindakan dalam bentuk nasihat dan teguran tidak diendahkan.

“Operasi akan dilakukan secara berkala dan berterusan supaya penjaja mematuhi arahan serta undang-undang diberikan,” katanya.

Kegiatan penjaja makanan dan minuman di persimpangan lampu isyarat yang dipelopori golongan muda dilihat berleluasa di sekitar daerah ini.

Kebanyakan mereka menjual mangga muda berserta asam boi pada harga RM10 bagi setiap pek.

hmetro

Pengulangan sukatan pelajaran 2020 tidak relevan

January 14, 2021 | News | No Comments

Kuala Lumpur: Pengulangan sukatan pelajaran 2020 ke tahun ini tidak relevan dilakukan berikutan membebankan pelajar dan murid selain mewujudkan lambakan golongan itu pada pengambilan tahun semasa.

Presiden Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) Jasni Md Kechik berkata, murid dan pelajar perlu memasuki kelas mengikut kohort umur semasa mereka.

“Tidak perlu mengulang sepenuhnya, sebaliknya panitia sekolah perlu berbincang dengan pihak sekolah melihat semula contohnya hanya 60 peratus saja pembelajaran pada tahun 2020 berjalan lancar selebihnya tidak berjaya.

“Daripada 40 peratus baki pembelajaran tidak habis itu perlu mengambil kira kemahiran paling minimum pelajar kuasai dan aspek mana yang perlu dititik beratkan.

“Kita juga boleh buat kelas tambahan dalam talian atau latihan ulang kaji saja tidak perlu sampai hendak ulang secara keseluruhan kerana ia akan bebankan lagi mereka dan bertembung dengan pelajar sesi baru,” katanya kepada Harian Metro.

Beliau mengulas cadangan pengulangan semula sukatan pelajaran tahun lalu ke tahun ini berikutan kemungkinan faktor pembelajaran dan pengajaran (PdP) maya tidak dapat dicapai secara sempurna terutama membabitkan pelajar dan murid di luar bandar sepanjang tahun 2020.

Bagi Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan, PdP maya perlu diperkasakan bagi membantu pelajar atau murid yang terjejas menguasai semula sukatan pelajaran yang tertinggal pada tahun lalu.

“Proses PdP di rumah itu perlu mengambil kira pembangunan insan menyeluruh termasuk emosi, fizikal dan jasmani, kerohanian serta sosial yang sihat bukan hanya memfokuskan mata pelajaran semata-mata.

“Pada masa sama, pusat rujukan untuk menyelaras dan menangani isu PdP di rumah perlu diwujudkan selain jawatankuasa bertindak segera menyelesaikan cabaran seperti akses Internet, keperluan peranti dan bantuan lain,” katanya.

Katanya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu mengkaji semula keperluan mengulang semula sukatan pelajaran tahun lalu bagi pelajar atau murid yang ketinggalan.

“Mungkin pihak KPM perlu mengkaji apakah lebih baik pelajar atau murid yang banyak ‘hilang’ kelas (PdP maya sepenuhnya) mengulang keseluruhan setahun persekolahannya 2020 untuk tahun berikutnya?

“Bagi saya tidak payah ulang, tetapi kita perlu beri masa yang munasabah untuk golongan ini kembali belajar bersemuka dalam kelas dengan guru mereka mungkin mengikut sistem giliran harian di samping kaedah PdP maya di rumah,” katanya.

Sementara itu, pakar pendidikan, Prof Datuk Dr Abdul Rashid Mohamed berkata, kaedah menguji kemampuan pelajar atau murid untuk mengukur sejauh mana tahap penguasaan mereka adalah lebih baik berbanding mengulangi semula sukatan pelajaran sepenuhnya untuk semua pelajar atau murid tahun 2020.

“Adakan ujian khas untuk menilai kemampuan mereka. Jika melepasi 50 peratus biarkan pelajar atau murid itu meneruskan kenaikan darjah atau tingkatan mereka macam biasa tahun ini.

“Bagi golongan yang mencapai paras 50 peratus ke bawah mereka perlu diasingkan dan diberikan kelas pemulihan intensif untuk beberapa tempoh bagi menguasai sukatan pelajaran yang tertinggal tahun lalu sebelum kenaikan kelas seterusnya.

“Kaedah secara bersasar ini adalah lebih bersesuaian dan efektif berbanding kita ulang sukatan pelajaran semua murid dan pelajar sepanjang tahun 2020,” katanya.

hmetro

Melaka bertukar ‘bandar hantu’

January 14, 2021 | News | No Comments

Melaka: Ibarat dilanggar garuda apabila lokasi pelancongan popular di negeri ini lengang semalam susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Industri pelancongan Melaka dijangka menerima kesan ketara selepas kebanyakan pusat tumpuan ramai ini menjadi sunyi tanpa pengunjung.

Tinjauan wartawan di beberapa lokasi pelancongan popular di Bandar Hilir, pantai peranginan Pantai Puteri, Tanjung Kling dan Pengkalan Balak di Masjid Tanah di sini, tadi, mendapati lokasi berkenaan lengang berbanding keadaan sebelum PKP dilaksanakan.

Ini menyebabkan peniaga di kawasan berkenaan terpaksa menghentikan operasi berikutan ketiadaan pengunjung.


Tinjauan di Jonker Walk dan beberapa jalan utama di Bandar Hilir yang sebelum ini dipenuhi pelancong, mendapati lokasi itu turut lengang dan sunyi berikutan ketiadaan pelancong.
Keadaan sama turut dilihat di Kampung Pengkalan Perigi, Pantai Jaring, Pantai Rombang dan Pantai Kundor di sini, yang selalunya dikunjungi orang ramai dan pelancong luar.
Di pantai peranginan Pengkalan Balak dan Padang Kemunting, keadaan sama turut berlaku.
Pengusaha bot pisang di pantai Padang Kemunting, Amri Zul, 30, berkata perniagaannya mencatatkan penurunan perolehan sejak PKP dilaksanakan pada tahun lalu dan ia berulang sekali lagi.
“Sebelum ini pelancong dari Kuala Lumpur, Johor, Putrajaya, Selangor dan Negeri Sembilan memenuhi Pantai Puteri ini tetapi sekarang mereka tidak ada lagi kerana larangan rentas negeri sudah dikuatkuasakan,” katanya.
Susulan itu dia terpaksa menyimpan dua bot pisangnya sementara menunggu PKP dijangka berakhir pada 26 Januari ini.

hmetro

Jam tangan tiruan dirampas

January 13, 2021 | News | No Comments

Gombak: Tindakan seorang lelaki yang menjadikan kediamannya di Taman Koperasi Polis, di sini, sebagai stor simpanan dan pusat jualan dalam talian pelbagai jam tangan tiruan mengundang padah apabila diserbu Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, hari ini.


Pengarahnya Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, hasil serbuan itu menemui sejumlah 500 unit jam tangan pelbagai jenama Casio dan G-Shock yang disimpan di sebuah bilik.

“Ia disyaki menggunakan suatu cap dagangan berdaftar yang dipakaikan secara salah ke atas barangan yang ditemui semasa pemeriksaan,” katanya.

Menurutnya, turut ditemui adalah kotak pembungkus serta kad waranti jam tangan yang dijual bagi menyakinkan pembeli bahawa jam tangan yang dijual adalah tulen.

“Nilai rampasan barangan yang ditemui adalah RM100,000.

“Lelaki berusia 30 tahun itu memaklumkan barangan itu adalah miliknya di mana hasil keterangan, dia menjalankan urusniaga barangan berkenaan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu melalui medium media sosial seperti Facebook dan Instagram.

“Dia turut memaklumkan jam tangan berkenaan dijual pada harga sekitar RM60 hingga RM200 mengikut gred dan kualiti jam tangan berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Muhamad Zikril berkata, barangan berkenaan diperoleh daripada orang tengah melalui penghantaran kurier ke rumah terbabit.

“Serbuan dijalankan berasaskan maklumat pengaduan awam dan hasil risikan selama dua minggu dengan kerjasama wakil pemilik cap dagang.

“Siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam milikan, jagaan atau kawalannya bagi maksud perdagangan atau pengilangan apa-apa barang-barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah mengikut Seksyen 100,” katanya.

hmetro

Tahun Baharu Cina terhad sehari sahaja

January 13, 2021 | News | No Comments

Kuching: Sambutan Tahun Baharu Cina di Sarawak hanya dibenarkan dirayakan sehari sahaja iaitu pada hari pertama perayaan itu, 12 Februari depan.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, jumlah tetamu dibenarkan pula hanya 20 orang pada satu-saru masa dan terhad kepada ahli keluarga terdekat sahaja.

“Garis panduan terperinci mengenai prosedur operasi standard (SOP) perayaan itu boleh didapati di laman web rasmi Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak (mlgh.sarawak.gov.my),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengenai operasi penjualan makanan dan minuman (F&B) di pawagam, beliau berkat,a hanya bahagian F&B pawagam yang dibenarkan beroperasi di seluruh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di daerah Kuching, Sibu dan Miri.

“Bagaimanapun, ia termasuk pembelian dan penghantaran makanan seperti Food Panda dan Grab Food sahaja.

“Garis panduan terperinci PKPB untuk daerah Kuching, Sibu dan Miri dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara Sarawak (MKN) di portal rasminya www.mkn.gov.my,” katanya.

PKPB di daerah Kuching, Sibu dan Miri berkuat kuasa tengah ini hingga jam 11.59 malam, 26 Januari.

Sementara itu katanya, sebanyak 146 jangkitan baharu Covid-19 dilaporkan di Sarawak, hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif di Sararwak sebanyak 1,574 kes.

hmetro

Mati ditembak kerana tidak pakai pelitup muka

January 12, 2021 | News | No Comments

Bangkok: Seorang lelaki hilang pertimbangan dengan menembak mati seorang tetamu di sebuah majlis pengebumian hanya kerana tidak memakai pelitup muka.

Malah, lebih menghangatkan keadaan apabila mangsa turut mengejek suspek selepas permintaan memakai pelitup muka tidak diendahkan.

Kejadian berlaku di daerah Chaweng pada Khamis lalu ternyata menukar emosi kesedihan majlis pengebumian kepada ketakutan berikutan tindakan lelaki itu.

Suspek, Jumnean Sri-orn ditahan selepas menembak Samran Tawai seperti dilaporkan Khaosod English.

Ketua Polis Chaweng, Kolonel Sutat Songsayom berkata, pertengkaran antara dua lelaki itu berlaku dan masing-masing tidak mahu mengalah.

“Suspek dan mangsa sebelum ini ada masalah lampau dan kejadian pada hari pengebumian kemuncak konflik.

“Selepas bertengkar, suspek mahu meninggalkan majlis namun mangsa datang membuat provokasi,” katanya.

Saksi memaklumkan, mangsa membuat provokasi menyebabkan suspek hilang sabar.

Suspek terus mengacukan pistol sebelum melepaskan tembakan pada muka mangsa.

Orang ramai yang terkejut dengan kejadian bergegas menghubungi polis.

hmetro

Ajal rempuh bas henti-henti

January 12, 2021 | News | No Comments

Teluk Intan: Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya bertembung dengan sebuah bas henti-henti di Kilometer 28, Jalan Langkap-Kampar berhampiran Kampung Degong, di sini, hari ini.

Mangsa, Ahmad Zulfendi Anuar, 30, yang memandu kereta Toyota Corolla meninggal dunia di lokasi kejadian.

Difahamkan, ketika kejadian ada penumpang dalam bas berkenaan, namun mereka termasuk pemandu bas tidak cedera.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Intan Mohd Ismail Mohd Yunus berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 7.29 malam sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, kemalangan membabitkan sebuah bas dan kereta yang menyebabkan pemandu kereta berkenaan tersepit

“Bomba mengambil masa 15 minit untuk mengeluarkan pemandu kereta, namun mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian.

“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada 8.20 malam,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

hmetro

//zuphaims.com/afu.php?zoneid=2458908