Category: National

15 bayi lahir pada Hari Malaysia

September 17, 2020 | National, News | No Comments

Putrajaya: “Suami sering bercakap mahu bayi kami lahir pada Hari Malaysia dan tidak menyangka Allah SWT kabulkan impian kami,” kata Nor Ashikin Ahmad, 32, yang selamat melahirkan bayi lelaki di Hospital Putrajaya pada 6.18 pagi, hari ini.

Setiausaha di Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dari Presint 5 itu berkata, sebelum ini doktor memaklumkan bayinya dijangka lahir pada 16 September dan rasa bersyukur hasrat suami, Muhamad Zuhir Izuddin Abu Bakar, 32, tercapai.

Menurutnya, beliau mula mendapat tanda untuk bersalin pada 3 petang semalam dan terus merujuk kepada Hospital Putrajaya.

“Saya bersalin secara normal dan gembira kerana dapat melahirkan bayi Hari Malaysia seberat 3 kilogram (kg) yang juga anak ketiga saya,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Sementara itu, suri rumah, Norhayati Baharudin, 30, dari Seri Kembangan berkata, dia tidak menyangka dapat melahirkan anak lelaki pada Hari Malaysia kerana doktor sebelum ini memaklumkan tarikh dia dijangka bersalin pada 22 September.

Beliau yang berasal dari Kemaman, Terengganu berkata, tarikh kelahiran anak ketiganya itu menjadi sejarah dan berharap bayinya nanti dapat berjasa kepada agama dan negara.

Kemanisan melahirkan bayi sulung pada Hari Malaysia turut dirasai Setiausaha di Majlis Keselamatan Negara (MKN), Emelia Abdul Rahim, 29.

Emelia berkata, sebelum ini dia hanya berpeluang menyaksikan kelahiran bayi orang lain pada hari bersejarah negara seperti Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

Katanya, tiada siapa menyangka dia dan suami, Khairul Azhar Khamis, 35, dikurniakan bayi lelaki seberat 3.2 kg yang dilahirkan secara normal pada jam 9 pagi hari ini.

“Doktor jangka bayi sulung saya akan pada 18 September namun dua hari lalu membuat pemeriksaan kencing manis dan pihak hospital memaklumkan bayi akan dilahirkan pada 16 September,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Hospital Putrajaya, Datuk Dr Nora’i Mohd Said berkata, seramai 15 bayi dilahirkan di hospital berkenaan pada Hari Malaysia setakat jam 5.30 petang hari ini.

Menurutnya, Hospital Putrajaya menerima kelahiran 10 bayi lelaki dan lima bayi perempuan yang mana bayi perempuan pertama dilahirkan pada 4.36 pagi dan lelaki pada 5.26 petang.

Katanya, pihak hospital masih mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) bagi menangani Covid-19 di mana tidak membenarkan ahli keluarga melawat dan menjalani ujian saring sebelum melahirkan bayi yang boleh diketahui dalam jangka masa 24 jam.

Untuk rekod, 14 bayi dilahirkan pada sambutan Hari Malaysia tahun 2019 manakala 19 bayi pada sambutan Hari Kebangsaan tahun ini di hospital berkenaan.

hmetro

Malaysia tanggungjawab kita bersama

September 17, 2020 | National | No Comments

Perubahan tidaklah semudah yang disangka. Manakala kompromi pula memerlukan sedikit pengorbanan, dan itu juga bukanlah satu perkara yang mudah. Namun begitu, setiap hari tatkala matahari terbit, kita diberi peluang untuk menjadikan sesuatu perkara lebih baik, dengan membuat pengorbanan dan perubahan yang kecil.

Saya faham ramai rakyat Malaysia datang daripada pelbagai spektrum yang berbeza merasa sedih dan kecewa disebabkan sesuatu perkara atau perkara yang lain. Tidak cukup agama, terlebih agama, tidak cukup kaum, terlalu banyak kaum, tidak cukup kebebasan, terlalu banyak kebebasan.

Hampir 40 tahun kita telah dimomokkan untuk percaya kita amat berbeza. Di mana setiap kaum dipisahkan oleh harapan dan aspirasi, namun walaupun berbeza-beza, secara realitinya kita adalah sama.

Kita semua ingin berjaya dalam hidup, memastikan anak-anak kita mendapat pendidikan yang baik, peluang pekerjaan, penjagaan kesihatan untuk keluarga kita dan peluang untuk bersinar. Kita semua mahukan hak untuk beribadat kepada sesiapa sahaja yang kita pilih.

Aspirasi dan harapan kita adalah sama. Tetapi ianya memerlukan masa dan kesabaran untuk keluar daripada kepompong momokan. Untuk keluar daripada ketakutan dan kejahilan. Untuk menjadikan dunia, tempat yang lebih baik, menjadikan Malaysia sebagai rumah yang kita semua inginkan, ianya memerlukan kesabaran. Ianya lebih baik untuk mencuba dan gagal daripada tidak mencuba langsung sama sekali. Setiap kegagalan itu merupakan ilmu untuk menuju kejayaan, dan saya mempunyai banyak pengalaman dari segi ilmu yang berhasil dari kesilapan.

Hakikatnya, tiada negara seperti Malaysia. Dengan semua kesilapan kita, tiada negara yang cocok untuk kita anggap sebagai rumah. Kita tidak boleh membenarkan mana-mana individu yang cuba menakut-nakutkan kita, sama ada mereka adalah warga asing ataupun rakyat tempatan – tanpa mengira warna kulit, untuk cuba memecah-belahkan kita. Jadi, janganlah kita cepat melatah. Kita seharusnya bersatu kerana bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.

Kita mempunyai cabaran-cabaran getir di hadapan kita. Namun, tiada apa yang tidak dapat kita tempuhi dan atasi. Saya mempunyai kepercayaan yang tinggi terhadap tanah air dan rakyatnya. Saya percaya akan anda semua. Saya seorang Melayu, Cina, India, Iban dan Kadazan.

Kita semua Malaysia, Jangan pernah kita lupa. KITA ADALAH MALAYSIA.

-sinarharian

SEREMBAN – Semangat menyambut Hari Kebangsaan dibuktikan oleh 31 penduduk di Taman Jasmin di sini melalui penyertaan dalam pertandingan kibar Jalur Gemilang.

Pertandingan anjuran Kawasan Rukun Tetangga(KRT) dan Jiran Wanita taman itu bertujuan menyemarakkan lagi sambutan itu tahun ini.

Suri rumah, Norhasnita Zainudin, 42, berkata, dia memperuntukkan RM100 untuk menghias kawasan rumahnya dengan menggunakan barangan terpakai.

“Biasanya saya hanya memasang satu bendera Malaysia sahaja tetapi tahun ini lebih istimewa kerana kawasan rumah dihias dengan bendera.

“Saya dan suami juga mengecat payung dengan warna bendera Malaysia serta menampal maklumat sejarah kemerdekaan negara dan senarai Perdana Menteri,” katanya kepada Sinar Harian.

Peniaga Zuraimi Zainal Abidin, 44, pula bukan sahaja menghias rumahnya dengan bendera Malaysia tetapi bendera setiap negeri dan membina replika bangunan KLCC menggunakan botol.

“Ini pertama kali saya menyertai pertandingan dan ia agak menyeronokkan kerana dapat memeriahkan Hari Kebangsaan kita,” katanya.

-sinarharian

PM umum status PKPP minggu ini

August 26, 2020 | National | No Comments

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka membuat pengumuman mengenai status Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang dijadualkan tamat 31 Ogos ini, pada minggu ini, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Sama ada PKPP akan disambung atau tidak, beliau akan umumkan,” kata Ismail Sabri pada sidang akhbar perkembangan PKPP di bangunan Parlimen, di sini hari ini.

Sebelum ini dilaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesyorkan agar PKPP dilanjutkan sehingga jangkitan Covid-19 di negara ini terkawal.

Menteri Kesihatan, Datuk Sri Dr Adham Baba dilaporkan berkata, cadangan itu sudah dikemukakan kepada Perdana Menteri dan Majlis Keselamatan Negara.

Sementara itu, mengulas mengenai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang ingkar arahan kuarantin selepas pulang dari Turki, Ismail Sabri menyerahkan isu tersebut kepada polis untuk disiasat.

“Prosedurnya ialah KKM telah kompaun maksimum RM1,000, selebihnya untuk dibawa ke mahkamah, polis akan buka kertas siasatan dan dibawa kepada Peguam Negara. Peguam Negara akan buat keputusan perlu dihadapkan ke mahkamah atau tidak,” katanya.

Isu kegagalan Mohd Khairuddin mematuhi prosedur operasi standard bagi individu pulang dari luar negara itu dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok di Dewan Rakyat dan menjadi perhatian pelbagai pihak.

KKM dalam satu kenyataan media selepas itu berkata, kementerian mengenakan kompaun RM1,000 terhadap Mohd Khairuddin pada 7 Ogos lalu atas kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan), Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador pula dilapor mengesahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka kertas siasatan terhadap Mohd Khairuddin yang gagal mematuhi kuarantin wajib di rumah setelah pulang dari Turki pada 7 Julai lalu. 

-sinarharian

Vaksin Rusia diragui

August 19, 2020 | National, News | No Comments

KELULUSAN tidak dijangka yang diberikan Rusia terhadap vaksin koronavirus (Covid-19) pada minggu lalu yang tidak menjalani ujian pada skala besar telah mengejutkan penyelidik di seluruh dunia.

Moscow kini mendahului perlumbaan menghasilkan vaksin Covid-19 selepas vaksin pertama di dunia itu diluluskan dalam waktu singkat walaupun ujian ke atas manusia hanya dilakukan dalam tempoh kurang dua bulan.

Presiden Rusia, Vladimir Putin mendakwa, vaksin digelar Sputnik V itu turut diberikan kepada anak perempuannya, namun ujian tersebut masih belum selesai sepenuhnya hingga mencetuskan keraguan dalam kalangan pakar.

Pengeluaran vaksin itu pada skala penuh dijangka bermula pada bulan depan dan suntikan awal bakal diberikan kepada petugas kesihatan dan penduduk berisiko sebelum diperluaskan ke seluruh negara menjelang Januari 2021.

Sputnik V tersebut hanya diuji ke atas 75 individu dan tiada data kajian ke atas haiwan atau klinikal telah diterbitkan.

Ia jelas bertentangan dengan program klinikal paling cepat untuk vaksin lain yang merekrut puluhan ribu sukarelawan untuk menentukan keberkesanan dan keselamatannya di bawah ujian fasa ketiga.

Ujian pada skala besar seperti itu juga diperlukan untuk mengetahui kesan sampingan yang dikhuatiri menjadi isu serius apabila vaksin tersebut diedarkan kepada jutaan individu.

Ahli imunologi berkata, tidak ada cara untuk memastikan vaksin Rusia itu benar-benar selamat dan efektif malah saintis di Jerman, Perancis, Sepanyol dan AS juga meminta semua pihak berwaspada dengan Sputnik V.

Moscow bagaimanapun menolak kebimbangan antarabangsa yang mempersoalkan keselamatan vaksin tersebut yang disifatkan sebagai ‘tidak berasas’.

“Nampaknya, rakan penyelidik asing berasa tercabar dengan kemajuan awal penghasilan vaksin Covid-19 dibuat Rusia dan cuba menyatakan pendapat negatif masing-masing,” kata Menteri Kesihatan, Mikhail Murashko.

Nama satelit

Ia digelar Sputnik V merujuk kepada satelit Sputnik 1 yang dilancarkan Kesatuan Soviet pada 1957.

Vaksin dihasilkan oleh Institut Penyelidikan Gamaleya di Moscow itu dibiayai Dana Pelaburan Langsung Rusia (RDIF).

Suntikan vaksin tersebut mengandungi adenovirus yang diubah suai dan akan diberikan sebanyak dua kali dalam tempoh selang 21 hari.

Secara teori, ia meningkatkan sistem imun tubuh untuk menentang Covid-19 sebenar. Ia juga dikenali sebagai vektor virus yang merupakan pendekatan standard terhadap vaksin dan kumpulan lain yang menggunakan kaedah sama. Vaksin baharu biasanya perlu menjalani tiga peringkat ujian sebelum boleh digunakan secara meluas.

Bagaimanapun, penyelidik Rusia hanya melakukan pra pendaftaran ujian fasa pertama dan kedua yang selesai pada awal bulan lalu.

Menurut kenyataan laman web vaksin itu, ia mendakwa tiada kesan sampingan dan Sputnik V memberi tindak balas imun yang diperlukan tanpa memberikan butiran lanjut.

Ia juga mendakwa ujian fasa ketiga melibatkan lebih 2,000 sukarelawan di beberapa negara termasuk Brazil, Mexico, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dilakukan sehari selepas pengumuman tentang kelulusan Sputnik V dibuat.

Bekas Pesuruhjaya Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) di AS, Dr Scott Gottlieb berkata, jumlah individu yang terlibat dalam ujian klinikal tersebut bersamaan dengan angka individu dalam fasa pertama yang biasanya melibatkan kumpulan kecil dan kajian tentang keselamatan vaksin tersebut.

Sementara itu, Pengarah Institut Elergik dan Penyakit Berjangkit Kebangsaan AS, Dr Anthony Fauci juga menzahirkan kebimbangan sama.

“Saya berharap penyelidik di Rusia dapat membuktikan vaksin itu selamat dan berkesan. Saya benar-benar meragui ujian tersebut,” katanya.

Dalam erti kata lain, vaksin itu sebenarnya belum melalui peringkat ujian sepatutnya.

“Tanpa data daripada ujian fasa pertama dan kedua, kita tidak tahu adakah ia benar-benar selamat atau berkesan,” kata ahli epidemiologi di Sydney, Gideon Meyerowitz-Katz.

Pada April lalu, Rusia menggubal undang-undang yang menghapuskan keperluan untuk ujian fasa ketiga sebelum mendapat kelulusan.

Ia bermakna vaksin tersebut masih boleh diedarkan walaupun ujian fasa ketiga sedang dijalankan.

“Kajian Moscow tidak seperti vaksin lain,” ujar Neal sambil menambah vaksin dihasilkan Moderna dan Oxford sudah memulakan ujian fasa ketiga.

Pengkritik mendakwa Rusia terburu-buru untuk memenangi perlumbaan vaksin itu kerana berdepan tekanan politik daripada Kremlin yang mahu negara itu dilihat sebagai perintis saintifik global.

Moscow tidak berseorangan dalam penghasilan vaksin Covid-19 dalam waktu singkat kerana China juga telah meluluskan vaksin tersebut untuk tentera mereka pada Jun lalu.

Data vaksin mereka untuk ujian fasa pertama dan fasa kedua juga masih belum diterbitkan.

Kesan sampingan

Pakar kesihatan awam telah menyuarakan kebimbangan terhadap Sputnik V yang dikhuatiri akan menyebabkan kesan sampingan berbahaya.

Vaksin berasaskan adenovirus telah digunakan secara meluas dan risikonya juga dikatakan adalah rendah.

Tetapi, perkara tersebut tidak dapat dipastikan tanpa melihat data ujian.

Selain itu, terdapat juga risiko sosiopolitik berikutan kebanyakan negara sudah berdepan masalah untuk mengawal pandemik tersebut.

“Kita tidak mempunyai sebarang maklumat sama ada ia selamat atau tidak,” kata Profesor Emeritus Keith Neal di Jabatan Epidemiologi Penyakit Berjangkit di Universiti Nottingham di United Kingdom (UK).

Menurutnya, penyelidik sukar untuk mengenal pasti kesan sampingan vaksin tersebut.

“Oleh sebab itu sangat penting ujian fasa ketiga dalam mana-mana penghasilan vaksin. Sputnik V mungkin menghasilkan antibodi dan mungkin tidak berupaya melindungi individu daripada jangkitan Covid-19,” jelasnya.

Ketika ini, banyak negara seakan teruja untuk mencuba Sputnik V.

Jelas Ketua Pengarah Eksekutif RDIF, Kirill Dmitriev, Moscow sudah menerima permohonan awal daripada 20 negara untuk mendapatkan lebih satu bilion dos vaksin.

“Negara di Amerika Latin, Asia Barat dan Asia menunjukkan minat yang tinggi terhadap vaksin tersebut. Kami akan muktamadkan sejumlah kontrak berhubung pembelian vaksin terbabit,” ujarnya.

Sputnik V bagaimanapun dikatakan tidak mematuhi peraturan untuk negara Kesatuan Eropah (EU) dan di AS yang memerlukan kelulusan FDA.

“Agensi Ubat-ubatan Eropah (EMA) dan FDA mempunyai prosedur kelulusan pantas untuk kegunaan kecemasan. Kami perlu melihat bukti menunjukkan Rusia menggunakan pendekatan secara berhati-hati,” jelas Profesor Duncan Matthews di Queen Mary University of London.

Perkara utama yang wajar dititikberatkan adalah bukan menjadi negara pertama berjaya hasilkan vaksin sebaliknya ia perlu dipastikan efektif dan selamat.

Ketika ini, lebih 160 vaksin berpotensi Covid-19 sedang dihasilkan dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesahkan 31 daripadanya sudah melakukan ujian klinikal ke atas manusia.

sinarharian

Jalur Gemilang untuk gelandangan

August 11, 2020 | National | No Comments

IPOH – Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Teduhan Kelana mengambil inisiatif menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan dengan mengedarkan Jalur Gemilang dan makanan kepada golongan gelandangan di sekitar bandar raya Ipoh.

Pengerusi Teduhan Kelana, Datin Normah Hanum Ibrahim berkata, usaha itu dilakukan bagi menyemai semangat patriotisme kepada semua rakyat tanpa mengira latar belakang.

Menurutnya, kempen-kempen kenegaraan seperti mengibarkan Jalur Gemilang perlu diperluaskan kepada segenap lapisan masyarakat agar mereka menghargai dan menghayati semangat cintakan negara.

“Setiap golongan masyarakat perlu diberikan layanan yang baik walaupun mereka kurang bernasib baik. Mereka juga rakyat Malaysia yang mempunyai hak untuk hidup seperti orang lain.

“Usaha yang kita lakukan ini memberikan kesedaran dan menimbulkan semangat patriotisme di dalam masyarakat selain kita mahu menyemarakkan semangat cintakan negara kepada orang ramai,” katanya kepada Sinar Harian selepas mengedarkan pek makanan dan Jalur Gemilang di Jalan Dato Onn Jaafar di sini semalam.

Beliau berkata, Teduhan Kelana diwujudkan untuk membantu membimbing golongan gelandangan untuk menjadikan mereka mampu berdikari dan menguruskan diri.

Katanya, banyak perubahan dilihat terhadap golongan tersebut setelah diberikan pelbagai bantuan dan bimbingan terutama dari aspek kebersihan.

Normah Hanum berkata, pelbagai inisiatif yang dibuat sebelum ini juga berjaya mengubah hidup golongan gelandangan antaranya terdapat beberapa orang dalam kalangan mereka yang sudah mendapatkan pekerjaan.

“Di dalam NGO kami terdapat ramai individu berpengalaman dengan pelbagai latar belakang yang memberikan komitmen untuk membantu mengubah hidup golongan ini.

“Kesemua sukarelawan ini berjaya memainkan peranan masing-masing untuk membantu masyarakat dan kita harap lebih ramai mereka yang berkemampuan untuk turut sama membantu,” katanya.

Jelas Normah Hanum, mana-mana individu dan NGO dialu-alukan untuk bersama-sama membantu golongan yang memerlukan.

-sinarharian

Cara kreatif sambut merdeka!

August 7, 2020 | National | No Comments

ALOR GAJAH – Orang ramai yang melalui Jalan Melati di Felda Tun Ghafar Machap@Desa Lestari Bukit Bulat, dekat sini pasti terlihat sebuah rumah yang dihiasi Jalur Gemilang dengan pelbagai saiz.

Pemilik rumah berkenaan, Muhammad Muzzamman Othman, 31, berkata, setiap kali menjelang sambutan Hari Kemerdekaan dirinya pasti teruja melakukan sesuatu yang kreatif bukan sekadar mengibarkan bendera malah turut menggunakan bahan terbuang seperti botol plastik dan tin untuk menceriakan laman rumah.

Menurutnya, pada sambutan kali ini dia lebih banyak memberi fokus kepada hiasan pintu gerbang yang dinamakan ‘Gapura Merdeka’ dengan menggunakan 499 botol plastik untuk menghasilkan bentuk bunga raya.

Malah katanya, pelbagai saiz botol plastik yang dicat dengan empat warna Jalur Gemilang disusun atur sekeliling kawasan rumah bagi menambahkan kehangatan sambutan bulan kemerdekaan pada tahun ini.

“Walaupun tahun ini saya tidak menyertai sebarang pertandingan keceriaan merdeka, namun ia bukan halangan untuk saya menterjemahkan semangat cintakan negara melalui hiasan Jalur Gemilang di sekitar rumah.

“Ini juga salah satu usaha saya untuk menanam semangat patriotik bukan sahaja dalam kalangan penduduk kampung, malah orang luar yang datang ke sini,” katanya yang bekerja sebagai pembantu pejabat Felda.

Mengulas lanjut, Muzzamman yang merupakan anak sulung daripada empat beradik berkata, dia turut memanfaatkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Mac lalu dengan mengumpul botol plastik selain kerja-kerja memotong dan mengecat botol.

Menurutnya, sejak lima tahun lalu dia tidak melepaskan peluang menghiasi rumah dengan lebih dua ratus Jalur Gemilang setiap kali menjelang 31 Ogos biarpun terpaksa mengeluarkan modal sendiri terutama untuk menggantikan bendera yang telah lusuh.

Katanya, selain itu dia juga tidak ketinggalan memberi tumpuan tatarias langsir yang dijahit ibunya dengan memaparkan Jalur Gemilang di setiap tingkap rumah.

“Inilah yang dapat saya lakukan untuk menunjukkan rasa sayangkan negara.

“Walaupun mengeluarkan modal dan kos sendiri namun saya bangga dapat menghiaskan rumah dengan idea saya sendiri.“Saya harap orang ramai juga dapat bersama-sama menyemarakkan sambutan Hari Kemerdekaan pada kali ini dengan mengibarkan Jalur Gemilang,” katanya.

Jelasnya, apa yang dilakukan bukanlah untuk menyertai pertandingan semata-mata namun demi menterjemahkan semangat membaranya bagi menyambut Hari Kemerdekaan yang setiap tahun dilakukan dengan pelbagai kelainan.

-sinarharian

Rakyat diminta pasang bendera di kediaman

August 5, 2020 | National | No Comments

SELURUH rakyat di Perak diminta bersatu dalam menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini dengan mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman dan premis perniagaan masing-masing.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata, kempen kibarkan Jalur Gemilang lebih mudah dilaksanakan sepertimana rakyat bersama-sama mengekang penularan wabak koronavirus (Covid-19).

“Sebenarnya ia sangat mudah dibuat. Kita tidak perlu pun mempunyai bendera atau Jalur Gemilang yang begitu besar. Cukup kita pamerkan di tempat kita berada seperti di rumah atau premis perniagaan. Itu sudah cukup baik,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian pada program Mengibar Jalur Gemilang anjuran Gabungan NGO Prihatin, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Rukun Tetangga Kinta Heights di Pangsapuri Kinta Heights di sini semalam.

Sementara itu, Nolee Ashilin berkata, NGO juga diminta memainkan peranan bagi membantu menjayakan kempen tersebut.

“Saya sangat menghargai kerjasama dan usaha daripada NGO bagi memastikan kita dapat menyemarakkan lagi semangat kemerdekaan ini dengan mengibarkan Jalur Gemilang.

“Kita telah mengesyorkan mereka berhubung dengan pihak swasta terutama yang mempunyai premis perniagaan untuk bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang bulan Ogos ini,” katanya.

Pada majlis tersebut, sebanyak 350 Jalur Gemilang di-kibarkan di setiap kediaman di Kinta Heights setinggi 20 tingkat itu di Pekan Lama di sini.

-sinarharian

PUTRAJAYA (THE STAR/ASIA NEWS NETWORK) – Malaysia’s annual National Day parade will not be held this year due to the Covid-19 pandemic, said Senior Minister for Security Ismail Sabri Yaakob.

However, other programmes related to the celebration on Aug 31 may be held with standard operating procedures (SOPs) in place, he added.

“For now, there will be no parade. We have not scheduled for it to be held because this event involves large crowds… by the thousands. Social distancing, especially among the public who attend the event, will be hard to put into practice.”

“So, for now, no permission has been given for big celebrations or parades for National Day, ” he said in his regular briefing here on Wednesday (July 8).

Datuk Seri Ismail added that the multimedia and communications minister will announce other programmes, aside from the parade, that will be held in conjunction with National Day.

“Datuk Seri Saifuddin Abdullah will announce the details as well as SOPs that must be followed for programmes related to the National Day celebration, ” he said.

straitstimes

KANGAR – Pihak sekolah diberi kebenaran untuk menambah baik prosedur operasi standard (SOP) bergantung kepada persekitaran dan keperluan sekolah dari semasa ke semasa.

Timbalan Menteri Pendidikan, Muslimin Yahaya berkata, kementerian memberi peluang kepada sekolah untuk menambah baik SOP dan tidak semestinya hanya berlandaskan garis panduan yang sedia ada.

“Sebelum ini ketika bangunkan SOP pembukaan sekolah berdasarkan simulasi dan bukanya berdasarkan pengalaman.

“Tempoh dua hari ini adalah tempoh praktikal untuk kita melihat keadaan sebenar dan garis panduan (SOP) yang dikeluarkan, dianggap sebagai teori sahaja,” katanya kepada Bernama ketika melakukan lawatan kerja di Sekolah Sukan Negeri, Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Hassan, di sini hari ini.

Muslimin berkata, beliau berpuas hati dengan pematuhan SOP pembukaan sekolah di Perlis, berdasarkan lawatan di beberapa buah sekolah di negeri ini.

“Dari segi keselamatan pelajar, saya melihat sekolah sangat komited dan saya yakin apa yang dilakukan oleh pihak sekolah yang dipantau oleh pihak Jabatan Pendidikan Negeri Perlis (JPN),” katanya.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Muslimin berkata, pihaknya akan berusaha sedaya upaya meneruskan projek pembinaan Sekolah Sukan Malaysia Perlis di Bukit Chabang, yang terbengkalai sejak lapan tahun lalu.

“Umum tahu itu projek yang sangat sakit (Sekolah Sukan Malaysia Perlis), dua kali lantikan kontraktor dan dua-duanya tidak berjaya dilaksana dengan sempurna, apabila hanya 4.85 peratus siap daripada keseluruhan projek,” katanya ketika mengulas mengenai pembinaan projek sekolah sukan tersebut yang telah terbengkalai.

Sebelum ini media melaporkan projek berkenaan yang menelan belanja kira-kira RM140 juta, sepatutnya siap pada Februari tahun ini.

“Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan meneruskan projek tersebut dengan tender semula dan akan memilih kontraktor yang bertaraf empat bintang ke atas. Penarafan tersebut bukan datang daripada kita (KPM), tetapi daripada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB),” katanya.

Beliau berkata, harapan KPM adalah untuk melihat sekolah itu dibangunkan, khususnya untuk orang Perlis.

-sinarharian

//graizoah.com/afu.php?zoneid=2458908