Category: News

Seorang pembantu perubatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini meninggal dunia selepas terjatuh dari tingkat 3 bangunan hospital pada Rabu.

Mangsa lelaki berusia 39 tahun itu ditemukan dalam keadaan terbaring dengan kecederaan parah di kepala dan muka di tempat parkir motosikal oleh pengawal keselamatan sekitar jam 6.30 petang.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, ketika kejadian, mangsa masih lengkap berpakaian staf hospital berwarna biru dan dipercayai dalam penugasan 24 jam.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, mangsa dikatakan tertekan dengan masalah kesihatan dihadapi sebelum mengambil keputusan untuk membunuh diri dengan terjun dari bangunan itu.

“Ini berdasarkan satu nota yang kita temui dalam sebuah beg berisi pengenalan diri mangsa bersama kad perubatan dan kad kaunseling.

“Dalam nota itu tertulis bahawa mangsa sudah tidak boleh tahan dengan masalah kesihatan dan tidak lagi mahu menyusahkan ahli keluarga serta rakannya.

“Malah dalam nota itu turut disertakan pernyataan maaf kerana terpaksa bertindak sedemikian,” katanya.

Beliau berkata, mangsa yang beralamat dari Klebang Restu, Chemor itu sedang menunggu keputusan rawatannya dan kebetulan ketika kejadian dia bertugas di tingkat 3.

“Siasatan kita mendapati, mangsa mungkin terjun dari ketinggian itu berdasarkan ruang yang ada serta keadaan di situ.

“Maklumat lanjut akan diperolehi sebaik bedah siasat dijalankan hari ini (Khamis) dan kita klasifikasikan awal kes sebagai mati mengejut,” katanya.

Beberapa rakan mangsa yang ditemui di Jabatan Forensik HRPB ada menyatakan mangsa berada dalam kemurungan sejak beberapa hari lalu, namun tidak berkongsi keadaannya itu dengan orang lain.

Mangsa yang sudah berkhidmat di hospital berkenaan lebih setahun lalu juga merancang untuk berkahwin pada Mei ini.

-SH

Terengganu merekodkan enam kluster Covid-19 yang berpunca daripada ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) di tempat kerja, kata Pengarah Kesihatan negeri, Dr Nor Azimi Yunus.

Beliau berkata, terbaharu pada 16 Januari lepas, berlaku satu kluster Covid-19 di tempat kerja dan sehingga kini ia telah menular di empat daerah iaitu Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Dungun dan Setiu.

“Kluster ini bukan terhad kepada rakan sepejabat sahaja tetapi sudah menular kepada keluarga pekerja dan kontak sosial yang lain yang jumlah keseluruhan kes positif daripada kluster ini seramai 35 orang.

“Kluster Covid-19 sama ada di tempat kerja atau mana-mana pun masih boleh dicegah jika setiap orang amalkan kepatuhan SOP sepenuhnya.

“Jangan ambil mudah nasihat elak 3C dan amal 3W yang sering dipesan Kementerian Kesihatan. Hanya ini tindakan paling berkesan buat masa ini untuk putuskan rantaian jangkitan Covid-19,” katanya dalam hantaran Facebooknya pada Rabu.

Elakkan 3C iaitu jauhi kawasan yang sesak (crowded place), elakkan kawasan yang sempit (confined space) dan elak sembang dengan jarak yang dekat (close conversation), manakala amalan 3W – kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (wash), memakai pelitup muka di tempat awam (wear) dan peringatan KKM (warn) seperti elak bersalaman dan rawatan segera jika bergejala.

Nor Azimi berkata, semua pihak perlu menilai semula tahap kepatuhan SOP di tempat kerja dan tidak lagi mengulangi kesilapan sama untuk mencegah penularan Covid-19 pada masa akan datang dengan mengawal tingkah laku masing-masing walaupun dalam keadaan pejabat yang sempit.

-SH

Tujuh individu ditahan ingkar SOP PKP

January 22, 2021 | News | No Comments

Seramai tujuh individu termasuk dua wanita ditahan kerana ingkar arahan dan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, tangkapan pertama membabitkan dua lelaki warga asing berusia 29 dan 47 tahun di sebuah premis cuci kereta tanpa lesen di Kelana Jaya pada jam 2.10 petang.

“Mereka gagal mengemukakan surat kebenaran untuk beroperasi seperti mana sektor pekerjaan yang dibenarkan oleh kerajaan,” katanya melalui kenyataan pada Khamis.

Nik Ezanee berkata, tangkapan kedua pula membabitkan dua wanita warga tempatan berusia 36 tahun di sebuah premis menjual nombor loteri berlesen di kawasan sama pada jam 2.50 petang.

“Kesemua mereka ditahan kerana menjalankan perniagaan yang tidak tersenarai dalam perkhidmatan perlu beroperasi sepanjang PKP,” katanya.

Beliau berkata, tangkapan terakhir membabitkan tiga lelaki warga asing berusia 31 hingga 40 tahun di sebuah restoran di Kelana Jaya pada jam 3.10 petang

“Mereka ditahan kerana tidak memakai pelitup muka ketika berada di dalam restoran tersebut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan, Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

-sinarharian

PGA9 rampas 40 kambing seludup

January 22, 2021 | News | No Comments

Tumpat: Kelibat beberapa individu sedang memindahkan sesuatu objek ke dalam lori, rupanya penyeludup sejumlah kambing yang baharu dinaikkan ke tebing sungai.


Intipan dibuat sepasukan anggota Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA9) di Pangkalan Haram Kertas, di sini, pada 9 malam tadi mendapati mereka memindahkan semua kambing yang diseludup dari Thailand itu ke dalam lori.

Pegawai Pemerintah PGA9, Superintendan Nor Azizan Yusof berkata, selepas intipan dilakukan selama setengah jam, lori itu mula meninggalkan pangkalan haram terbabit dan bergerak memasuki jalan Kampung Bendang Pak Yong.

“Anggota kami mengekori kenderaan terbabit sehingga ia berhenti di sebuah kandang di Kampung Kok Bedullah sebelum kami menahan lori berkenaan.

“Pemeriksaan menemui 40 ekor kambing yang dipercayai diseludup dari negara jiran dan dipercayai untuk pasaran tempatan serta luar Kelantan bergantung kepada permintaan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Nor Azizan berkata, semua kambing itu dianggarkan bernilai RM48,000 manakala pemandu lori berusia 32 tahun ditahan dan dibawa ke Balai Polis Tumpat untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953.

hmetro

GARA-GARA seorang calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dilaporkan positif Covid-19, kini kumpulan pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Lipis, Pahang, terpaksa menjalani tempoh kuarantin.

Mereka yang bakal menduduki peperiksaan besar tersebut bulan depan terpaksa akur dengan arahan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mana seramai 142 pelajar perempuan ditempatkan di Institut Latihan Perumahan dan Kerajaan Tempatan (I-KPKT) Bukit Tinggi manakala dua pelajar lelaki ditempatkan di asrama.Iklan

Situasi itu pastinya kini membimbangkan ramai pihak terutama ibu bapa tambahan pula sebelum ini kes serupa juga pernah dilaporkan yang mana seramai 36 pelajar yang akan menduduki SPM dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di Sabah juga disahkan positif.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Masidi Manjun berkata, kes itu dikenal pasti menerusi ujian saringan yang dijalankan sebelum pelajar terbabit dibenarkan kembali ke asrama bagi mengikuti sesi pembelajaran sebagai persiapan menghadapi peperiksaan awam berkenaan.

“Setakat 20 Januari, seramai 36 pelajar SPM dan STPM disahkan dijangkiti Covid-19 melalui saringan balik ke asrama mulai 16 Jan lepas,” katanya.

Nampaknya kerajaan harus segera mencari jalan untuk membuat ketetapan segera berkenaan perlaksanaan ujian saringan Covid-19 kepada para pelajar supaya kejadian seumpama itu tidak berulang.Iklan

Jika tidak, kluster pelajar sekolah atau kluster SPM tak mustahil akan wujud seperti yang pernah didakwa oleh Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam posting di laman Facebook miliknya baru-baru ini.

Menurut Saddiq, KPM seharusnya mengelakkan insiden Kluster SPM dari terjadi dan kes pelajar di asrama Sabah seharusnya diambil sebagai satu petanda awal kepada menteri pendidikan.

Dalam pada itu, Saddiq juga turut mempersoalkan kenyataan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang tidak mewajibkan pelajar IPT dan sekolah menjalani ujian saringan Covid-19 yang didakwa ia bukan satu langkah yang bijak.

Isu tersebut juga kini hangat diperkatakan di Twitter dan rata-rata orang ramai kini bimbang dengan situasi tersebut.

Terdapat juga ciapan pengguna Twitter yang berkongsi kenyataan yang dipercayai dikeluarkan oleh Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) yang mana calon yang gagal hadir pada tarikh peperiksaan tiada sesi ujian ulangan akan dibuat dan akan dianggap gagal.

Menurut kenyataan yang dikongsi itu, walaupun calon terpaksa menjalani rawatan akibat Covid-19, peraturan itu tetap dilaksanakan.

Tambah kenyataan itu lagi peraturan itu sebenarnya bukan hanya untuk pesakit Covid-19, malah telah sedia diguna pakai sejak STPM modular.

Sebagai contoh, pelajar yang sakit atau kemalangan yang tidak menduduki peperiksaan kesnya adalah sama.

Kasihan mereka, diharap pihak kerajaan mampu melakukan sesuatu agar kerisauan orang ramai ini dapat penyelesaiannya dengan cara lebih baik.

-sinarplus

Awas taktik ambil alih akaun WhatsApp

January 22, 2021 | News | No Comments

Putrajaya: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hari ini menasihatkan orang ramai agar berwaspada dengan kewujudan taktik penipuan yang bertujuan mengambil alih akaun WhatsApp pengguna.

SKMM dalam kenyataan di sini berkata, taktik berkenaan menggunakan pelbagai helah bagi memperdaya pengguna supaya menyerahkan kod pengesahan enam digit yang diterima daripada pihak WhatsApp.

“Pengguna yang terpedaya menyerahkan kod pengesahan tersebut boleh menyebabkan akaun WhatsApp mereka diambil alih oleh scammer,” katanya.


Justeru, SKMM menyeru agar pengguna berwaspada terhadap permintaan kod pengesahan enam digit WhatsApp daripada mesej orang yang dikenali seperti rakan atau ahli keluarga atau panggilan orang yang tidak dikenali atau pihak yang mengaku sebagai kakitangan WhatsApp serta pihak lain termasuklah pihak berkuasa.
“Pengguna diingatkan agar tidak sama sekali menyerahkan kod pengesahan enam digit WhatsApp kepada mana-mana pihak,” katanya.
SKMM berkata, pengguna yang menjadi mangsa pengambilalihan akaun WhatsApp disaran untuk mengikuti langkah seperti di pautan https://faq.whatsapp.com/general/account-and- profile/stolen-accounts/ untuk mengambil alih semula akaun WhatsApp yang dirampas.
“Bagi melindungi diri daripada sebarang kemungkinan perbuatan jenayah, pengguna yang menjadi mangsa boleh membuat aduan dan laporan berhubung pencerobohan atau pengambilalihan akaun WhatsApp kepada balai polis berhampiran,” katanya.
Laporan juga boleh dibuat kepada SKMM menerusi saluran portal aduan SKMM, e-mel aduanskmm@mcmc.gov.my atau WhatsApp 016-220 6262.

“Kod pengesahan tersebut amnya diterima oleh pengguna untuk tujuan pengesahan apabila berlaku cubaan pertukaran nombor telefon yang dikaitkan dengan sesuatu akaun WhatsApp.

hmetro

Kota Kinabalu: Polis memanggil dua wanita dan enam lelaki yang terbabit dalam isu minum minuman keras di sebuah Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di sini, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, ia bagi membantu siasatan sebelum diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) bagi mendapatkan arahan pertuduhan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan.

“Kes itu turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Peraturan-Peraturan Pencegahan Penyakit Berjangkit No.9 2020.

“Kami memandang serius kejadian seperti ini dan siasatan menyeluruh akan dilakukan termasuk bagaimana minuman keras itu dibawa ke situ,” katanya.

Sebelum ini, tular rakaman video menunjukkan sekurang-kurangnya lapan individu terbabit dalam aktiviti minum minuman keras di pusat berkenaan.

Video berdurasi 12 saat itu memaparkan seramai enam lelaki dan dua wanita sedang memegang tin minum arak jenis bir.

Sementara itu, Habibi berkata, seramai 29 individu dikenakan kompaun selepas didapati ingkar pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di daerah ini, sejak 13 Januari lalu.

Beliau berkata, antara kesalahan dikesan adalah berkumpul tanpa penjarakan fizikal dan tidak memakai pelitup muka di tempat awam.

Menurutnya, polis turut mengarahkan 300 kenderaan berpatah balik di dua Sekatan Jalan Raya (SJR) di sempadan daerah ini.

“Ia bagi menghalang pengguna jalan yang tidak mempunyai alasan kukuh meneruskan perjalanan rentas daerah.

“Semua pengguna jalan raya itu diarahkan berpatah balik berdasarkan alamat pada kad pengenalan pemandu,” katanya.

hmetro

Warga Bangladesh ditahan cuba rasuah polis

January 22, 2021 | News | No Comments

Kulim: Cubaan dua lelaki warga Bangladesh memberi suapan kepada anggota polis untuk melepaskan mereka kerana tiada surat kebenaran polis untuk merentas negeri gagal apabila mereka ditahan semalam.

Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Azhar Hashim berkata, kedua-duanya yang berusia 27 dan 30 tahun ditahan ketika menaiki teksi di sekatan jalan raya (SJR) BKE, Lunas di sini, jam 3.30 petang.

“Pemeriksaan mendapati, kedua-duanya tidak mempunyai dokumen perjalanan sah serta surat kebenaran polis untuk merentas negeri.

“Suspek yang berusia 30 tahun cuba memberi suapan RM500 kepada anggota polis supaya melepaskan mereka.

“Anggota kami sudah memberi amaran sebanyak dua kali kepada suspek namun suspek terus cuba memberi suapan sebelum ditahan,” katanya pada kenyataan hari ini.

Azhar berkata, kedua-duanya dalam perjalanan untuk memasuki daerah ini dan mencari pekerjaan.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas wang RM500 untuk membantu siasatan.

“Tangkapan dan barang kes diserah kepada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sungai Petani untuk tindakan lanjut,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan 6 (1) (c) Akta Imigresen dan Akta Peraturan 5 Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPPB) 2020 dan Seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009.

hmetro

Warga emas panik kereta disangka hilang

January 22, 2021 | News | No Comments

Ranau: Bukan hilang dicuri, sebaliknya terlupa di mana parkir kenderaan.


Itu yang berlaku ke atas sepasang warga emas berusia 60-an apabila mereka gagal menemui kereta selepas membeli barang keperluan di pasar Pekan Ranau, hari ini.

Dalam kejadian jam 9 pagi, pasangan terbabit dikatakan panik selepas gagal menemui kereta mereka sebelum memohon bantuan orang ramai sehingga satu kenyataan tular di laman sosial bagi memohon bantuan mengesan kereta Proton Iswara berwarna kelabu milik suami isteri terbabit.

Ketua Polis Daerah Ranau Deputi Superintendan Sammy Newton berkata, pihaknya turut menerima maklumat mengenai kehilangan kereta itu menerusi pasangan terbabit yang menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Ranau.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis bergegas ke lokasi untuk tindakan lanjut.

“Bagaimanapun sebaik tiba di lokasi, polis menemui kenderaan terbabit yang diletakkan hanya selang tujuh petak parkir dari lokasi disangka hilang,” katanya.

Menurutnya, pemeriksaan turut mendapati kereta berkenaan tidak dikunci.

“Polis sudah menemui salah seorang pemilik kenderaan dan dia mengakui kecuaian sendiri disebabkan terlupa lokasi parkir kenderaan.

“Mujur tiada kerosakan atau kehilangan harta benda berlaku,” katanya.

Menerusi ruangan komen di Facebook berhubung kenyataan polis mengenai penemuan kenderaan itu, rata-rata netizen didapati memuji tindakan polis yang pantas bertindak membantu pengadu walaupun ia bukan disebabkan kecurian.

hmetro

Ronaldo atasi populariti The Rock

January 21, 2021 | News | No Comments

 Superstar Portugal dan Juventus, Cristiano Ronaldo dianggap salah seorang pemain terhebat dalam sejarah bola sepak dengan pelbagai kejayaan dan anugerah termasuk pemenang lima kali Ballon d’Or.

Ronaldo bukan sahaja popular di atas padang malah di luar padang berdasarkan jumlah pengikutnya di media sosial seperti Instagram dan Twitter. Instagram terutamanya menjadi ‘lubuk’ duit kepada selebriti dan atlet menerusi penajaan lumayan ke atas setiap catatan di media sosial itu.

Berdasarkan kajian laman web OnBuy.com ke atas pendapatan diperolehi pasangan selebriti menerusi Instagram mendapati Ronaldo dan teman wanitanya, Georgina Rodríguez memperolehi habuan paling lumayan.

Kedua-duanya dengan gabungan 273.9 juta pengikut meraih £669,852 (RM3.7 juta)

setiap kali memuatnaik catatan di Instagram. Pelakon, Dwayne The Rock Johnson dan isterinya, Lauren Hashian di tempat kedua dengan 221.2 juta pengikut dan memperolehi sekitar £515,727 (RM2.849 juta) setiap kali memuat naik catatan di media sosial.

Mereka diikuti Kim Kardashian dan Kanye West yang memiliki 201.4 juta pengikut dengan £493,869 (RM2.728) juta diperolehi menerusi setiap catatan di Instagram.

Statistik di atas membuktikan betapa Ronaldo begitu popular di serata dunia dan dengan pelbagai penajaan selain gaji diterima menjadikannya salah seorang atlet terkaya sepanjang zaman.

HM

//luvaihoo.com/afu.php?zoneid=2458908