Tag Archive : Akad Nikah

/ Akad Nikah

20 individu dibenar sertai majlis akad nikah

February 16, 2021 | News | No Comments

Kerajaan negeri bersetuju membenarkan majlis akad nikah dihadiri seramai 20 individu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Dr Izani Husin berkata, perkara berkenaan dipersetujui dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) yang dipengerusikan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob, semalam.

Katanya, sebelum ini, untuk majlis akad nikah hanya tujuh individu dibenarkan, namun kini ia dilonggarkan dengan membenarkan 20 membabitkan 10 orang keluarga pengantin perempuan dan selebihnya pihak pengantin lelaki.

“Bagaimanapun kenduri perkahwinan masih tidak dibenarkan lagi sebagaimana yang ditetapkan kerajaan sebelum ini.

“Kerajaan negeri akan maklumkan perkara ini kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) dalam waktu terdekat,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Khas JKKN, di Kompleks Kota Darulnaim di sini, semalam.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, bekalan vaksin akan diterima Malaysia pada hujung bulan ini dan suntikan berkenaan akan diberikan terlebih dahulu kepada barisan hadapan seperti petugas kesihatan, anggota penguatkuasa dan exco kerajaan negeri.

“Negara-negara lain sudahpun melaksanakan suntikan vaksin dan kita boleh lihat dari sudut keberkesanan vaksin berkenaan dan ia memberi kesan positif, jadi kita tidak perlu takut untuk menerima suntikan vaksin.

“Jika dulu kita melihat ada kesan sampingan terhadap suntikan vaksin seperti demam serta ruam dan selepas beberapa kajian dibuat, vaksin selamat dan berkesan digunakan bagi mengawal Covid-19,” katanya.

HM

Majlis akad nikah dibenarkan diadakan di semua masjid kariah dan di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di Kuala Lumpur, Putrajaya serta Labuan, berkuat kuasa esok.

Menurut Garis Panduan Pelaksanaan Majlis Akad Nikah Dalam Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikeluarkan Jawi bagi akad nikah di Jawi dan masjid di dalam Wilayah Persekutuan, hanya lima orang dibenarkan hadir iaitu pengantin perempuan dan lelaki, wali serta dua orang wakil pihak pengantin.

Sementara jurunikah dan dua orang saksi adalah daripada pihak Jawi sekiranya dijalankan di Jawi atau daripada pihak masjid sekiranya akad nikah dijalankan di masjid.

“Bagi pasangan pengantin dari negeri luar yang berada dalam zon merah ke majlis akad nikah di Jawi, mereka dihadkan kepada jumlah sama,” menurut garis panduan yang dikemas kini pada semalam. Hanya seorang jurufoto dibenarkan hadir dan hendaklah mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan, dan tempoh masa perjalanan keseluruhan majlis akad nikah hendaklah tidak melebihi 20 minit.

Selain itu, tidak dibenarkan berjabat tangan antara jurunikah dengan pengantin lelaki serta antara semua pihak terbabit dalam majlis akad nikah dan susun atur majlis hendaklah mematuhi penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter.

Tidak dibenarkan sebarang upacara seperti upacara membatalkan air sembahyang dan menyarung cincin, serta perlulah mematuhi langkah keselamatan ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dari semasa ke semasa.

Hanya mas kahwin dan dokumen berkaitan sahaja dibenarkan berada di dalam ruang majlis, malah ruang majlis dan kawasan sekitarnya hendaklah disanitasi termasuk tandas sebelum dan selepas majlis dijalankan.

Pada masa sama, pihak terbabit mestilah mematuhi tarikh dan masa ditetapkan Pendaftar atau Penolong Pendaftar Nikah Cerai Rujuk (NCR), atau majlis akad nikah boleh dibatalkan sekiranya pihak terbabit gagal hadir pada tarikh dan masa berkenaan.

Menurut garis panduan itu, pelaksanaan majlis akad nikah dalam tempoh PKP dibenarkan kepada pasangan mendapat Kebenaran Berkahwin daripada Jawi dan ia turut diperluaskan kepada pemohon luar Wilayah Persekutuan yang mendapat kebenaran Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) masing-masing.

Ini termasuklah pasangan dari negeri lain yang mendapat kebenaran nikah Jawi dan ditangguhkan sebelum ini, boleh menjalankan akad nikah, serta keputusan Saringan Ujian HIV kedua-dua pasangan masih dalam tempoh sah laku semasa akad nikah dijalankan.

Bagi surat Kebenaran Berkahwin yang tamat dalam tempoh PKP, ia akan dilanjutkan dua bulan bermula dari tarikh kebenaran berakhir, namun pemohon hendaklah hadir semula ke Jawi untuk membuat penyambungan tempoh sah Kebenaran Berkahwin.

Mengikut garis panduan itu lagi, terdapat syarat khusus ditetapkan termasuk pihak terbabit hendaklah membuat temu janji dengan Jawi terlebih dahulu bagi mendapatkan tarikh dan waktu akad nikah.

Pihak terbabit dalam akad nikah mestilah tidak mempunyai gejala, bukan kontak rapat kes positif Covid-19, bukan di bawah Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) dan dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), malah pengantin lelaki dan perempuan serta wali mereka diwajibkan menjalani ujian ‘swab test’ terlebih dahulu.

“Keputusan ujian disahkan negatif hendaklah diserahkan kepada Jawi sebagai bukti untuk membolehkan majlis akad nikah diadakan.

“Semua pihak diingatkan untuk membuat pemeriksaan suhu badan di pintu masuk, mendaftarkan kehadiran menggunakan imbasan QR code melalui aplikasi MySejahtera, memakai pelitup muka dan menggunakan cecair pensanitasi tangan,” katanya.

HM

Siapa sangka hubungan cinta monyet dulunya di zaman sekolah kini telah menyatukan dua hati sehingga ke jinjang pelamin

Pastinya perkahwinan itu adalah paling mengembirakan dan kenangan manis yang tidak akan dapat dilupakan.

Lebih-lebih lagi jika sudah mengenali pasangan sendiri dengan lama dan akhirnya memutuskan untuk hidup bersama.

Begitulah kisah cinta yang viral di TikTok baru-baru ini mengenai sepasang suami isteri yang telah berjaya menarik perhatian ramai.

8 tahun persahabatan berakhir dengan perkahwinan

Menerusi perkongsian video tersebut, mereka mendedahkan sekeping gambar lama yang diambil pada tahun 2015 dahulu.

Difahamkan mereka ketika itu sedang bersekolah di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Begitu cantiknya perancangan Allah, mereka berdua akhirnya memutuskan untuk bernikah pada 16 Mac yang lalu selepas berkawan sejak 8 tahun yang lalu.

Hubungan cinta pernah terputus di tengah jalan, tetapi kembali bersama

Menurut sumber, pengantin lelaki yang dikenali sebagai Faiez itu memberitahu dia juga tidak terlepas daripada menerima pertanyaan mengenai usianya yang dianggap masih muda untuk memikul tanggungjawab tersebut.

“Jodoh itu rahsia Allah. Usia bukan faktor, bukan juga penghalang. Jodoh dah ada depan mata, jadi saya teruskan dengan perkahwinan”

“Hampir enam bulan kami bawa haluan sendiri pada tahun 2016. Tapi kalau dah jodoh, akhirnya bersatu semula,” katanya.

Tak dapat menahan air mata ketika akad dilakukan

Dalam pada itu, Faiez juga secara spontan tidak sengaja mengalirkan air mata sewaktu majlis akad nikah yang membuat ramai tersentuh.

Dia gagal menahan sebak semasa dinikahkan dalam majlis itu sehingga membuatkan tetamu yang hadir turut mengalirkan air mata.

“Masa sebut aku terima nikahnya saya menangis. Rasa satu beban tanggungjawab yang besar perlu ditanggung”

“Sebak kerana tak sangka dah lama kenal, akhirnya kami dah sah sebagai suami isteri,” katanya.

Tambahnya, ia merupakan satu keputusan yang besar untuk jadi suami pada usia 22 tahun tetapi, dia berharap agar perniagaan yang dibina bersama isterinya akan mengukuhkan lagi hubungan mereka.

SAYS

//dooloust.net/4/2458908