Tag Archive : anugerah

/ anugerah

Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas mendahului senarai 355 penerima darjah kebesaran bintang dan pingat sempena Hari Wilayah Persekutuan yang disambut pada Isnin.

Beliau bersama enam yang lain menerima darjah kebesaran pangkat pertama iaitu Seri Utama Mahkota Wilayah (SUMW) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama.

Penerima anugerah sama ialah Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin; isteri Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Toh Puan Ragad Kurdi Taib; Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam; Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, seramai enam individu dianugerahi SUMW, manakala 24 individu dianugerahi pangkat kedua, Seri Mahkota Wilayah (SMW) dan 81 individu dianugerahi pangkat ketiga, Panglima Mahkota Wilayah (PMW).

Selain itu, katanya, seramai 49 individu menerima darjah kebesaran pangkat keempat iaitu Johan Mahkota Wilayah (JMW), 76 menerima pangkat kelima, Kesatria Mahkota Wilayah (KMW), 31 individu dianugerahi pangkat keenam, Ahli Mahkota Wilayah (AMW) dan 68 individu dianugerahi darjah kebesaran pangkat ketujuh, Pingat Pengakuan Mahkota Wilayah (PPW).

“Tarikh penyempurnaan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan Tahun 2021 sedang ditentukan dan akan dimaklumkan kepada para penerima.

“Walaupun istiadat belum diadakan, selaras dengan peruntukan di bawah Statut Darjah Yang Mulia Mahkota Wilayah, Ahli-Ahli Darjah Kebesaran SUMW, SMW dan PMW boleh pada setiap masa memiliki, menggunakan dan menikmati gelaran sebelum nama mereka,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Annuar berkata, Kementerian Wilayah Persekutuan mengucapkan tahniah dan menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan di atas segala jasa dan bakti yang disumbangkan oleh semua penerima anugerah tersebut.

Antara 24 penerima SMW yang membawa gelaran Datuk Seri ialah Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasara; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Rosida Jaafar.

Darjah kebesaran SMW turut dikurniakan kepada mereka yang memberikan sumbangan besar kepada pembangunan bandar raya Kuala Lumpur iaitu Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah; bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Nor Hisham Ahmad Dahlan; bekas Ketua Pengarah DBKL, Datuk Seri Dr Noordin Ab Razak serta Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka, Profesor Datuk Seri Dr Awang Sariyan.

Sementara itu, seramai 81 individu dianugerahkan PMW yang membawa gelaran Datuk termasuk Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin.

Turut menerima anugerah PMW ialah Pengarah Belanjawan Negara, Datuk Johan Mahmood Merican; Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd Ajib Ismail; Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah dan Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi MARA (UiTM), Profesor Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz.

PMW turut dianugerahkan kepada atlet sukan iaitu bekas jaguh badminton negara, Datuk Abd Rashid Mohd Sidek dan Datuk Cheah Soon Kit serta Presiden Kelab Eksplorasi 7 Benua Malaysia, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin.

Sasterawan Negara, Datuk Profesor Dr Siti Zainon Ismail dan penulis lirik serta skrip terkenal, Datuk Habsah Hassan turut menerima anugerah sama.

-sh

Mogesh ‘luar biasa’

January 29, 2021 | News | No Comments

Kuala Lumpur: Anak muda Malaysia, Mogesh Sababathy bakal mengharumkan nama negara apabila diumumkan sebagai finalis, Anugerah Belia Komanwel tahun ini.

Menurut laman web Komanwel (thecommonwealth.org) Mogesh, 23, adalah antara 20 individu muda luar biasa termasuk pencipta, aktivis dan usahawan dari 18 negara yang disenarai pendek.

Projek Mogesh tertumpu kepada Matlamat Pembangunan Mampan (SGD) Life Below Water.

“Mogesh adalah pengasas bersama Project Ocean Hope, sebuah kumpulan yang diterajui belia yang bertujuan meningkatkan kebolehlihatan isu lautan dan pemuliharaan alam sekitar melalui kempen dan latihan kepimpinan belia.

“Kumpulan ini juga menjalankan projek komuniti pendidikan untuk mengurangkan amalan membuang sampah dan tangkapan ikan yang tidak lestari dan siri webinar celik lautan mengenai pengurusan sisa, yang mencapai lebih 10,000 individu di 15 negara,” menurut laman web itu.

Anugerah ini mengiktiraf anak-anak muda Komanwel yang cemerlang iaitu projeknya mengubah kehidupan dalam komuniti mereka dan membantu mencapai SDG.

Lebih 1,000 penyertaan dari 43 negara Komanwel diterima tahun lalu.

Sementara itu ketika dihubungi Bernama, Mogesh yang berasal dari Kinrara, Puchong, Selangor berkata, dipilih sebagai finalis anugerah berprestij itu bukan kejayaannya seorang, tetapi ia untuk semua anak muda Malaysia yang bersemangat dan telah bekerja keras untuk kelestarian alam sekitar.

“Saya terima berita gembira itu melalui e-mel daripada Komanwel semalam dan saya betul-betul tergamam sebaik membuka e-mel.

“Saya disaran memohon anugerah itu sekitar Oktober tahun lalu oleh Majlis Belia Malaysia, yang mengiktiraf projek kami dan kami telah bekerjasama rapat melalui Project Ocean Hope sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Komanwel kerana mengiktiraf usaha kami. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pensyarah dan kakitangan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) atas segala sokongan dan galakan yang berterusan serta menyediakan platform kepada kami untuk membangunkan dan menjadikan Projek Ocean Hope menjadi kenyataan,” katanya.

Mogesh baru sahaja menamatkan pengajian ijazah Sarjana Muda Biologi Marin dengan kepujian daripada UMT dan kini bekerja sebagai pembantu penyelidik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sementara menunggu majlis konvokesyen universiti yang tertangguh akibat situasi pandemik sekarang.

Tahun ini, anugerah ini berkembang merangkumi lima rantau, iaitu Afrika, Asia, Caribbean, Eropah dan Kanada serta Pasifik dan finalis teratas dari setiap rantau akan diumumkan sebagai pemenang pada majlis anugerah rasmi yang berlangsung 10 Mac 2021.

Majlis itu akan diadakan secara maya buat julung kalinya berikutan pandemik Covid-19 dan anak muda paling cemerlang dari lima rantau ini akan merangkul Anugerah Belia Komanwel 2021.

Kesemua 20 finalis masing-masing akan menerima piala, sijil dan £1,000 (RM5,538) untuk mengembangkan impak projek mereka. Pemenang peringkat rantau akan menerima £3,000 (RM16,614) dan juara keseluruhan pan-Komanwel akan membawa pulang sejumlah £5,000 (RM27,690).

hmetro

Cristiano Ronaldo dinobatkan sebagai pemain abad ini di Anugerah Globe Soccer di Dubai pada Ahad, lapor Agensi Anadolu.

Mengalahkan Leo Messi dari Barcelona dan pemain Liverpool, Mohamed Salah, Ronaldo terpilih pemain terbaik abad ke-21 oleh 23 juri, termasuk jurulatih, bekas pemain serta undian peminat dari seluruh dunia.

“Cristiano Ronaldo dinobatkan Pemain Abad 2001-2020 Anugerah Globe Soccer,” kata Dubai Global Soccer Awards di Twitter.

Pemenang lima kali Liga Juara-Juara UEFA (empat bersama Real Madrid, satu bersama Man United) memimpin pasukan kebangsaan Portugal memenangi gelaran utama pertama mereka, UEFA EURO 2016.

Ronaldo, yang juga kapten Portugal, menjaringkan 102 gol untuk pasukan negaranya.

Beliau merangkul gelaran Liga Perdana Inggeris bersama The Red Devils selama tiga tahun berturut-turut (2007, 2008 dan 2009)

Bersama Juventus sejak 2018, Ronaldo menjadi juara Itali dua kali ketika menjaringkan 81 gol dalam 103 perlawanan untuk kelab Itali itu.

Bintang sensasi itu turut meraih dua anugerah Pemain Lelaki Terbaik FIFA, lima anugerah Ballon d’Or, dan tiga kali dipilih sebagai pemain terbaik UEFA di Eropah.

Dalam acara sama, Real Madrid dinobatkan sebagai Club of the Century, sementara pengurus Manchester City, Pep Guardiola memenangi gelaran Coach of the Century dan penyerang Bayern Munich, Robert Lewandowski menjadi Pemain Terbaik Tahun 2020. – Bernama

SH

//ashoupsu.com/4/2458908