Tag Archive : Bandar

/ Bandar

Macam bandar hantu

April 24, 2020 | News | No Comments

LALUAN sepanjang lebih 350 meter di Jalan Masjid India di Kuala Lumpur, dianggap ‘syurga’ beli-belah utama bagi warga kota terutama sepanjang bulan Ramadan. Namun kini keadaannya tidak ubah seperti ‘bandar mati’ tanpa sebarang aktiviti ekonomi.

Tiada kelibat pelancong asing atau hiruk-pikuk kenderaan selepas lokasi ini ditutup sepenuhnya susulan arahan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 14 April lalu sehingga Selasa hadapan.

Salah seorang kakitangan premis fabrik, Mohd Razak Osman, 45, berkata, suasana sepi sekitar Masjid India dianggap pelik dan sesuatu tidak pernah dibayangkan.

“Kawasan ini (Jalan Masjid India) dahulunya tidak pernah mati…siang atau malam. Terutama sepanjang bulan Ramadan.

“Peniaga akan mula membawa masuk stok barangan jualan beberapa hari sebelum Ramadan bermula. Khemah akan dipasang dan lokasi ini akan dihiasi oleh petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bermula dari hadapan Wisma Yakin,” katanya.

Menurutnya, lokasi itu akan menjadi padat dan meriah dengan segala macam barangan untuk Aidilfitri di semua lorong termasuk jalan utama depan Dataran Maybank.

“Namun kini ada yang anggap Jalan Masjid India sudah menjadi ‘bandar hantu’ selepas bangunan Selangor Mansion, Malayan Mansion, Menara City One turut dikenakan PKPD.

“Saya rindukan suasana asal kawasan ini yang meriah dan dipenuhi orang ramai. Tapi arahan PKPD perlu dilaksanakan untuk membendung jangkitan Covid-19 daripada menular keluar,” katanya yang mengakui dibayar gaji separuh susulan kemelut ekonomi yang melanda.

Dia mengakui ramai peniaga fabrik, baju, perhiasan, tudung, barang kemas dan pelbagai produk lain untuk sambutan Aidilfitri di kawasan itu kini, pasrah dengan nasib dialami.

Seorang lagi penghuni warga Bangladesh yang hanya mahu dikenali sebagai Jaafar, 38, berkata, dia tinggal bersama 12 rakan lain di salah sebuah unit kediaman rumah kedai sejak dua tahun lalu.

“Bilik memang sempit tapi mujur semua rakan-rakan sekerjanya memahami. Malah kami diberikan makanan oleh petugas (kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Anggota Pertahanan Awam (APM) setiap hari.

“Saya cuma rindukan saat melakukan solat Tarawih berjemaah di Masjid India berhampiran ketika bulan Ramadan,” katanya.

hmetro


//usounoul.com/4/2458908