Tag Archive : banjir

/ banjir

Pitas paling terjejas akibat banjir

January 15, 2021 | News | No Comments

Daerah Pitas paling terjejas akibat banjir di negeri ini berikutan terputus hubungan sejak beberapa hari lalu apabila banyak jalan dan jambatan utama rosak.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, sekurang-kurangnya sembilan lokasi dikenal pasti Jabatan Kerja Raya (JKR) berlaku kerosakan yang memerlukan pembaikan segera.

Lokasi terbabit katanya ialah di Kilometer 53.05 Jalan Langkon – Pitas, Kilometer 1.7 Jalan Maringgan, Kilometer 0.25 Jalan Suang Duyung-Layak-Layak, Kilometer 4.25 Jalan Suang Duyung – Layak-Layak dan Jalan Sosop Bal di Kampung Rinasuk.

Turut terjejas Kilometer 15.5 Jalan Ulu Malubang, Kilometer 2 Jalan Mongkubou Laut, Kilometer 6.95 Jalan Mongkubou Laut dan Jalan Telaga yang membabitkan kerosakan jambatan Sungai Paparoun.

“Tindakan segera akan diambil pihak JKR Sabah bagi membaiki jalan dan jambatan yang runtuh akibat hujan lebat dan banjir yang berlaku di beberapa daerah di negeri ini.

“Saya sudah menerima laporan daripada JKR Sabah mengenai kerosakan yang berlaku dan jurutera daerah JKR di kawasan yang terbabit dengan musibah ini sudah turun padang memantau serta memberikan laporan terperinci kerosakan yang dialami,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya negeri berkata, selain daerah Pitas, JKR juga menerima laporan berlaku tanah runtuh di daerah Kota Marudu dan Beluran.

“Bagi kes jalan runtuh yang tidak terlalu serius, kerja-kerja pembersihan sudah dilaksanakan oleh pihak JKR termasuk jalan di bawah jagaan kontraktor atau syarikat yang mendapat konsesi penyelenggaraan,” katanya.

Katanya, bagi kes jalan runtuh termasuk jambatan yang memerlukan kos pembaikan yang tinggi, penilaian perlu dilakukan bagi menentukan anggaran kos pembaikan dan ia akan dilaksanakan segera.

Dalam pada itu, Bung Moktar meminta semua jurutera daerah JKR agar sentiasa memantau keadaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan kerosakan jalan raya dan jambatan jika hujan dan banjir berterusan.

Sementara itu, Pengarah JKR Sabah, Ir Ali Ahmad Hamid, berkata kejadian hujan lebat dan banjir di Kota Marudu dan Pitas punca utama berlakunya runtuhan jalan dan jambatan.

“Kita sudah menerima laporan penuh daripada jurutera daerah yang dan kita akan menilai anggaran kos untuk pembaikan segera,” katanya.

Banjir dilaporkan sejak Isnin lalu di Kudat, Kota Marudu, Pitas dan daerah kecil Paitan di Beluran disebabkan hujan lebat berterusan dengan kira-kira 1,000 mangsa kini ditempatkan di beberapa Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

HM

Banjir kini beralih ke Sabah

January 13, 2021 | News | No Comments

Ketika keadaan banjir di beberapa negeri di Semenanjung menunjukkan tanda-tanda pulih, Sabah pula menghadapi bencana itu.

Hujan lebat sejak Ahad lepas yang memaksa kumpulan mangsa pertama di negeri di Bawah Bayu itu dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) pada Isnin dijangka berterusan hingga Khamis ini, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

MetMalaysia turut mengeluarkan amaran cuaca buruk dan waspada dengan hujan lebat itu di Sarawak untuk tempoh sama.

Jumlah mangsa yang dipindahkan ke PPS di negeri itu turut meningkat mendadak kepada 1,765 orang petang Selasa.

Negeri-negeri lain menunjukkan perkembangan positif dan setakat Selasa tiada hujan diramal berlaku.

Selepas Perak dan Terengganu pulih sepenuhnya pada Isnin, Kelantan pula dijangka menyusul esok selepas mangsa di negeri itu hanya berbaki 154 orang yang ditempatkan di sebuah PPS iaitu di Rantau Panjang.

Pahang pula walaupun masih kekal dengan jumlah mangsa yang tinggi iaitu seramai 16,373 orang setakat petang Selasa turut menunjukkan trend menurun sejak Isnin.

Begitu juga di Johor dengan jumlah mangsa banjir terus berkurangan kepada 3,274 orang setakat ini

SH

KEMAMAN – Polis Terengganu tidak akan berkompromi dan akan terus mengambil tindakan saman terhadap pemandu atau individu yang ingkar amaran papan tanda di kawasan bencana banjir.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, ia susulan empat kes kenderaan hanyut dan hampir tenggelam kerana kedegilan pemandu mematuhi amaran papan tanda yang dipasang pihak berkuasa ketika musim banjir kali ini.

Menurutnya, masih ada individu yang mengambil tindakan sendiri meredah kawasan yang dinaiki air walaupun papan tanda amaran telah dipasang.

“Apa yang mengecewakan kita, walaupun jalan telah ditutup dan lencongan telah disediakan tetapi masih ada pemandu yang mengambil risiko dengan meredah laluan yang ditenggelami air.

“Jangan ambil risiko untuk meredah banjir ini walaupun laluan yang biasa kita lalui kerana air keruh memungkinkan jalan terputus atau runtuh,” katanya

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan bantuan kepada pegawai dan anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman yang terjejas banjir, di pusat pemindahan sementara (PPS) IPD Kemaman, Isnin.

Mengulas lanjut, Roslee berkata, pemandu atau individu yang ingkar akan diambil tindakan mengikut Seksyen 79 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana gagal mematuhi isyarat papan tanda.

Katanya, bagi kesalahan itu, mereka boleh dikenakan kompaun sehingga RM300.

Sehingga kini, sebanyak empat kes kenderaan hanyut dan hampir tenggelam kerana meredah banjir direkodkan dan kesemuanya berlaku di daerah Kemaman yang terjejas teruk dengan banjir.

Dalam kejadian Sabtu lalu, tiga sekeluarga nyaris maut dihanyutkan air, selepas kenderaan yang mereka naiki terperangkap dalam banjir di bawah jambatan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) di Chukai.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 10.30 pagi ketika mangsa yang datang dari Kuantan, Pahang itu menghala ke Mak Lagam.

-sinarharian

Bomba kerah anggota, aset jika banjir kritikal

January 8, 2021 | News | No Comments

KOTA TINGGI – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan mengerahkan anggota dan aset logistik seluruh negara ke negeri yang terjejas seperti Johor, Pahang, Kelantan, Terengganu, Sabah dan Perak sekiranya banjir ketika ini semakin kritikal.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Muhammad Hamdan Wahid berkata, anggota dan aset JBPM setakat ini mencukupi iaitu seramai 12,500 anggota daripada 320 balai bomba di seluruh negara.

“Jika keadaan bencana banjir semakin kritikal, JBPM akan mobilisasi anggota dan aset dari negeri tidak terjejas seperti Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Putrajaya ke negeri terjejas banjir.

“Pelatih dan aset daripada akademi bomba juga akan dimobalisasi bagi membantu negeri terjejas banjir. Pencatuan cuti anggota bomba juga akan dilaksanakan di mana 10 hingga 20 peratus sahaja akan dibenarkan bercuti, itu pun akan digilirkan,” katanya pada sidang akhbar selepas lawatan kerja ke Balai Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi di sini pada Khamis.

Hadir sama,Pengarah JBPM Johor, Datuk Yahaya Madis.

Muhammad Hamdan berkata, JBPM memiliki sebanyak 250 hingga 290 aset darat seperti lori dan kenderaan pacuan empat roda, selain 450 aset marin seperti bot dan lima buah helikopter.

“Apabila aset dari negeri lain digerakkan, JBPM akan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain seperti Angkatan Pertahanan Awam ( APM), polis dan Angkatan Tentera Malaysia ( ATM),” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, sehingga kini banjir di enam negeri Terengganu, Pahang, Johor, Kelantan, Perak dan Sabah membabitkan 20 daerah dengan 410 buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di seluruh Malaysia.

“Seramai 36,424 mangsa daripada 9,620 keluarga ditempatkan di PPS dan enam kematian di Pahang dan Johor,” katanya.

-sinarharian

Banjir: Bungkus nasi kenduri edar kepada jiran

January 8, 2021 | Viral | No Comments

HULU TERENGGANU – Sebuah keluarga di Kampung Pengkalan Ajal, Ajil di sini bercadang untuk membungkus nasi dan mengagihkannya kepada jiran berhampiran sekiranya banjir yang melanda rumahnya masih tidak surut menjelang kenduri esok.

Mohd Idris Che Alas, 66, berkata, selain itu beliau juga akan menghantar bungkusan nasi berlaukkan gulai daging itu ke pusat pemindahan sementara (PPS) yang terletak kira-kira 300 meter dari rumahnya.

Menurutnya, beliau merancang mengadakan majlis menyambut menantu pada Jumaat, namun tidak menyangka rumahnya dinaiki air sedalam 0.3 meter malam Rabu.

“Air mula naik malam tadi lepas waktu Isyak berikutan hujan lebat berterusan dan pagi ini makin banyak.

“Rumah ini sudah dinaiki air pada bulan lepas dan saya tidak sangka akan sekali lagi berdepan dengan banjir, ingatkan sudah tidak banjir,” katanya ketika ditemui di rumahnya pada Khamis.

Mohd Idris berkata, mereka sekeluarga mengambil keputusan meneruskan kenduri menyambut menantu berikutan jemputan kepada 100 tetamu sudah dibuat dan makanan selesai ditempah.

“Semua persiapan sudah dibuat. Kanopi sudah dipasang di depan rumah, manakala pelamin pula akan dipasang petang ini bergantung kepada keadaan banjir.

“Saya jemput 100 tetamu terdiri daripada jiran tetangga dan penduduk kampung berdekatan datang esok bermula jam 11 pagi hingga tiga petang.

“Namun jika air masih tidak surut, apakan daya kami terpaksa bungkus makanan dan hantar ke rumah jiran dan PPS berhampiran,” katanya.

Anaknya, Ahmad Lukmanilhakim, 28, melangsungkan perkahwinan dengan wanita pilihan hati, Nor Syamimi Mat Radzi, 27, pada 2 Januari lalu di Jerteh, Besut.

-sinarharian

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah menasihatkan orang ramai agar tidak menularkan atau berkongsi gambar mahupun video lama kejadian banjir besar, ketika beberapa negeri kini, dilanda musim tengkujuh.

Beliau berkata tindakan menularkan gambar atau video lama seperti kejadian banjir besar pada 2014 boleh menimbulkan situasi panik dalam kalangan masyarakat terutamanya kepada anggota keluarga yang berada jauh dari kampung halaman.

“Saya berharap mereka dapat memeriksa kesahihan video atau gambar yang tersebar di media sosial sebelum berkongsi dengan orang lain. Menularkan kembali video atau gambar lama pada situasi ini juga boleh dianggap sebagai berita palsu.

“Walaupun tindakan boleh diambil kerana menyebar berita palsu, namun kita harap masyarakat lebih bertanggungjawab kerana pada masa begini, pihak berkuasa seperti polis mempunyai banyak tugas yang lebih utama untuk dilakukan,” katanya.

Saifuddin berkata demikian kepada Bernama selepas melawat pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pelindung di sini hari ini, yang menempatkan 20 keluarga dari tiga kampung iaitu Kampung Bugis, Kampung Pelindung Pantai dan Kampung Pasir Garam. 

Orang ramai, menurut Saifuddin boleh menyemak kesahihan maklumat yang diterima mereka menerusi media sosial rasmi pihak berwajib yang sentiasa berusaha memuat naik maklumat yang tepat dan secara ‘real time’ (masa sebenar).

“Untuk perkembangan banjir, orang ramai boleh membuat semakan di bilik gerakan banjir atau balai polis manakala untuk pengguna jalan raya, Twitter dan Facebook pemegang konsesi sentiasa dikemaskini atau boleh terus menghubungi talian hotline (utama) mereka,” katanya. 

Selain itu, Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata beliau telah meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk memantau sistem telekomunikasi sepanjang musim banjir kerana ia menjadi medium perantaraan paling utama ketika musim tengkujuh.

Mengulas mengenai situasi banjir di Parlimen Indera Mahkota, Saifuddin berkata setakat ini lebih 2,000 mangsa banjir ditempatkan di tujuh PPS sejak semalam ekoran banjir yang melanda selepas hujan lebat berterusan.

“Saya berharap mereka bersabar dan menunggu banjir benar-benar pulih sebelum pulang ke rumah, kerana kita bimbang dalam keadaan banjir, mungkin ada longkang, lubang besar atau benda tajam yang tidak kelihatan dan boleh membahayakan diri,” katanya. 

Saifuddin berharap badan bukan kerajaan (NGO) yang ingin menghantar bantuan agar menghubungi bilik gerakan banjir daerah kerana mereka tidak digalakkan pergi terus ke PPS dalam situasi pandemik Covid-19  yang masih menular ketika ini.

-projekmm

Teluk Intan turut dilanda banjir

January 4, 2021 | News | No Comments

Limpahan air Sungai Bidor susulan hujan berterusan sejak semalam menyebabkan Kampung AC Air Hitam di sini, dilanda banjir kilat hari ini.

Ia menjejaskan 20 orang daripada lapan keluarga menyebabkan pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) Langkap dibuka.

Bagaimanapun, hanya sebahagian mangsa berpindah ke PPS, manakala sebahagian lagi ke rumah saudara terdekat.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan Noor Ahmad Mohd Sarif berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 5.44 petang.

Menurutnya, mangsa terjejas membabitkan sembilan wanita dan 11 lelaki.

“Paras air naik setinggi 0.9 meter di kawasan rumah penduduk susulan limpahan air sungai dan hujan lebat.

“Difahamkan, hanya sebahagian mangsa saja yang berpindah ke PPS dan jumlah sebenar masih belum diperolehi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, anggota bomba kini membantu memindahkan mangsa dan membuat pemantauan di lokasi.

HM

Umum sedia maklum, hampir setiap tahun di tiga buah negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan pastinya dinaiki banjir ekoran fenomena air pasang setiap kali musim tengkujuh

Bagi mereka yang sudah lali dengan musim tengkujuh ini, pastinya persiapan awal telah dibuat bagi mengelak sebarang kecelakaan berlaku.

Namun begitu, lain pula ceritanya dengan kejadian yang berlaku baru-baru ini di mana tularnya sebuah video dua lelaki nyaris maut apabila motosikal yang ditunggang mereka hanyut dibawa arus.

Kejadian itu dipercayai berlaku di sebuah jalan raya berdekatan sempadan Jengka 15 dan Jengka 16 di Pahang.

Menerusi video yang dimuat naik oleh pengguna di Twitter, @emint kelihatan mereka cuba meredah jalan yang ditenggelami air meskipun arusnya deras.

Motosikal yang dinaiki mereka telah ditolak oleh arus yang deras sehingga ia dihanyutkan ke dalam sungai

Kedua-duanya cuba menarik motosikal terbabit daripada dihanyutkan arus, namun mereka terpaksa melepaskannya kerana arus sangat deras.

Malah, kelihatan salah seorang daripada mangsa juga nyaris terjatuh ketika mengharungi banjir berkenaan.

Akibat kedegilan mereka cuba untuk meredah arus deras itu, akhirnya mereka ditimpa masalah dan mengalami kerugian gara-gara motor yang telah dihanyutkan.

SAYS

Kuala Lumpur: Meskipun hanyalah seorang kerani sekolah, Syafiq Shazwan Juhen, 22, gigih membantu menghantar bahan latihan kepada 20 pelajar di sekitar kediamannya di Kampung Pituru Laut, Kota Belud, Sabah.

Malah, pemuda yang baru saja setahun bertugas sebagai pembantu operasi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pekan II Kota Belud, Sabah itu sanggup meredah tujuh kawasan banjir sejauh dua kilometer untuk tujuan itu.

Kecekalan Syafiq Shazwan memikul bahan latihan pelajar dan menempuh banjir itu dirakam rakan setugasnya Hamidah Kauli, 43, dan Josua Janoh, 27, baru-baru ini, yang kemudiannya dikongsikan di media sosial.

Video itu tular selepas dikongsi Hamidah di Facebook miliknya sehingga ditonton lebih 10,000 kali.

Syafiq Shazwan berkata, dia melakukan tugas itu secara sukarela demi membantu pelajar sekolah dalam sesi pembelajaran dalam talian, apatah lagi dalam musibah pandemik Covid-19 ini.

“Itulah kali pertama saya membantu menghantar bahan latihan sekolah kepada murid sekitar kampung kediaman.

“Nasib tidak baik apabila hujan lebat dan banjir di kawasan kampung saya tetapi niat saya kuat untuk menghantar bahan latihan terbabit pada hari itu,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Menurutnya, dia bekas murid SMK Pekan II Kota Belud dan kerana itu, dia memahami kesukaran pengajaran dan pembelajaran (PdP) murid di kampung itu.

“Rata-rata keluarga murid yang tinggal di sekitar kampung saya, tidak mempunyai telefon bimbit peribadi.

“Ada jaringan internet, namun kebanyakan penduduk di sini golongan yang kurang berkemampuan,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai video yang tular itu, Syafiq Shazwan berkata, ia diambil pada 7 Disember lalu.

“Kebetulan pada tarikh itu, sekolah ada mengumumkan untuk ambil bahan latihan.

“Jadi, saya memutuskan untuk membantu pelajar menengah rendah sekitar kediaman memandangkan minggu itu musim hujan.

“Kawasan yang dilalui itu juga, jika banjir besar dan hujan tidak berhenti akan memakan masa hampir seminggu untuk surut,” katanya.

Katanya, hujan lebat 7 Disember lalu itu menyebabkan banjir sehingga setengah meter dan keesokannya mencecah satu meter di kawasan kampung itu.

hmetro

Kompaun RM1,000 jika main air banjir!

November 30, 2020 | News | No Comments

Individu yang ditahan bermain banjir di kawasan Rantau Panjang dan Pasir Mas secara berkumpulan akan dikenakan kompaun RM1,000.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sharif berkata, surat memaklumkan mengenai tindakan itu sudah dihantar kepada Ketua Jajahan Pasir Mas termasuklah pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menurutnya tindakan berkenaan antara usaha memutuskan rantaian pandemik Covid-19 yang menunjukkan tren menaik di jajahan ini.

“Kita menjangkakan pesta bermain air banjir akan kembali berulang tahun ini jika tidak dibendung,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, polis bimbang jika tiada tindakan tegas diambil pesta bermain air banjir yang dilihat sudah sebati dengan masyarakat akan berlaku ketika negara sedang berdepan pandemik Covid-19.

Mohamad Roy Suhaimi berkata, kompaun akan turut dikenakan kepada individu yang membuka gerai perniagaan seperti tahun sebelum ini ketika Rantau Panjang atau ada kawasan yang ditenggelami banjir.

Katanya, polis sama sekali tidak akan berkompromi dengan pihak yang melanggar peraturan sama ada berkumpul atau menyambut pesta air (banjir) tahun ini.

“PBT akan merampas dan menyita alatan perniagaan jika ada peniaga yang masih berdegil membuka gerai jualan seperti tahun sebelum ini. Banjir bukan tempat untuk berpesta kerana silap langkah boleh membawa maut,” katanya.

Setiap tahun, pekan Rantau Panjang, Pohon Tanjong, Pasir Mas dan beberapa kawasan yang dinaiki air banjir menjadi tumpuan orang ramai.

Mereka bukan sahaja bermain air tetapi gerai jualan turut dibuka dan ia bagaikan satu pesta bagi penduduk di sini.

-sinarharian

//luvaihoo.com/afu.php?zoneid=2458908