Tag Archive : Berdaftar

/ Berdaftar

Penghantar makanan di Kedah wajib berdaftar

April 22, 2020 | News | No Comments

INDIVIDU yang menjalankan perkhidmatan menghantar makanan di Kedah diminta untuk mendaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) segera bagi beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Tan Kok Yew berkata, perkara itu telah diputuskan menerusi Mesyuarat Tadbir Urus PBT Negeri Kedah yang diadakan semalam.

“Keputusan itu selaras dengan kenyataan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 17 April lalu yang menyatakan individu yang menghantar makanan perlu mendaftar dengan PBT.

“Dalam mesyuarat semalam, telah diputuskan supaya semua individu yang diupah untuk menghantar makanan perlu berdaftar dengan PBT mengikut prosedur pendaftaran selain mematuhi tatacara kawalan penghantaran makanan yang disediakan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, antara tatacara kawalan yang telah ditetapkan adalah radius penghantaran makanan yang dibenarkan cuma dalam lingkungan 10 kilometer dari alamat semasa pemohon.

Tan berkata, pendaftaran tersebut dilaksanakan secara percuma dengan pemohon boleh mendapatkan borang secara dalam talian di laman web PBT atau di pejabat PBT berhampiran dan kelulusan tertakluk kepada penilaian pihak PBT.

Sementara itu, Tan berkata bagi pengendali makanan pula, mereka perlu mematuhi garis panduan keselamatan makanan bagi produk makanan yang dijual secara dalam talian sepanjang PKP yang dikeluarkan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan.

Tegasnya, pengendali makanan yang tidak berdaftar atau tidak mempunyai lesen PBT seperti mereka yang memasak secara sendiri untuk dijual secara dalam talian perlu merujuk kepada Kementerian Kesihatan serta mendapatkan suntikan vaksin anti tifoid.

hmetro

//usounoul.com/4/2458908