Itu berita palsu!
September 14, 2020 | News | No Comments

Kuala Lumpur: Video seorang pegawai kanan polis wanita dibunuh kejam yang tular di media sosial sejak semalam adalah tidak benar.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor Datuk Fadzil Ahmat berkata, video yang tular dan mengaitkan kematian pegawai kanan polis wanita itu adalah palsu dan pihaknya sudah membuat laporan polis berhubung kejadian.
“Pegawai polis wanita berkenaan sudah membuat laporan polis berhubung perkara itu di Klang, pagi semalam.
“Video itu dianggap mengancam keselamatan pegawai polis berkenaan dan polis mengklasifikasikan kes itu sebagai satu bentuk ugutan jenayah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Fadzil berkata, pihaknya akan menyiasat siapa yang menyebarkan dan mengaitkan gambar serta video pegawai polis wanita berkenaan di media sosial.
“Kes di siasat mengikut Seksyen 509 kerana perbuatan mengaibkan kehormatan, dan kertas siasatan berhubung kejadian berkenaan sudah dibuka,” katanya.
Sementara itu, Bahagian Komunikasi Korporat PDRM ketika dihubungi memaklumkan berita yang mengaitkan pegawai polis wanita itu dengan kejadian bunuh adalah tidak benar.
“Pegawai terbabit sudah membuat laporan polis bagi menafikannya,” katanya.
Semalam, gambar seorang wanita diikat tangan serta kakinya dan dibunuh secara kejam menjadi tular di media sosial, bersama dengan gambar pegawai wanita berkenaan, kononnya pegawai itu adalah mangsa kejadian bunuh.
Gambar dan video ngeri itu tular di laman sosial dan menerima pelbagai reaksi netizen yang mahukan kepastian berhubung kejadian.
Difahamkan kejadian berkenaan berlaku di luar negara beberapa tahun yang lalu.