Tag Archive : Berlumba

/ Berlumba

9 mat rempit pamer aksi bahaya ditahan

March 23, 2021 | News | No Comments

Tindakan sembilan lelaki yang berlumba dan melakukan aksi berbahaya di jalan raya mengundang padah apabila mereka ditahan polis dalam serbuan berasingan, awal pagi tadi.

Aktiviti lumba haram yang dilakukan di Lebuhraya Pantai Baru (NPE) dan Lebuhraya Grand Saga itu dikesan Unit Risikan dan Operasi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman ketika menjalankan Op Samseng Jalanan pada 1.20 pagi.

Timbalan Pengarah JSPT Bukit Aman Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, operasi berkenaan disertai oleh dua pegawai dan 15 anggota.

Menurutnya, ketika operasi itu polis melihat dua penunggang motosikal bersaing sesama sendiri dan melakukan aksi zig-zag serta menundukkan badan di Kilometer (KM) 8.5 hingga KM7.3 Lebuhraya NPE arah Petaling Jaya.

“Kedua-dua penunggang terbabit kemudian ditahan polis sebaik berhenti di bahu Jalan PJS 1/2 Petaling Jaya.

“Pada 2.40 pagi, pasukan mengekori tiga penunggang motosikal yang melakukan aksi sama di Lebuhraya Grand Saga. Suspek berjaya ditahan ketika berhenti di sebuah stesen minyak di Batu 9 Kajang dekat lebuh raya berkenaan.

“Selepas penahanan itu, empat lagi penunggang dan pembonceng yang disyaki berlumba dengan melakukan aksi sama di lebuh raya berkenaan turut ditahan semasa berhenti di kawasan Flat Sri Indah, Taman Sri Indah, Kajang pada 3.40 pagi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kesemua suspek bersama motosikal mereka dibawa ke Balai Polis Trafik Petaling Jaya dan Kajang untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-hmetro

‘Terima kasih benarkan kami berlumba semula’

December 22, 2020 | News | No Comments

Kuala Lumpur: Kebenaran untuk membuka semula sektor sukan sesuatu yang ditunggu oleh penggiat sukan yang sememangnya menantikan berita itu demi karier dan masa depan masing-masing.

Antara yang gembira dengan keputusan itu adalah barisan pelumba Cub Prix negara yang sudahpun meneruskan aksi hari ini, pada aksi pusingan kelima perlumbaan Cub Prix Malaysia.

Biarpun tunggangan pelumba sedikit kekok dan ada yang mengambil pendekatan berhati-hati terutama selepas lebih dari tiga bulan tidak beraksi, namun ia dilihat satu permulaan terbaik yang mana baki empat pusingan akan diadakan secara berturut-turut.

“Terima kasih kepada MKN (Majlis Keselamatan Negara) dan KBS (Kementerian Belia dan Sukan) kerana prihatin dan mendengar rintihan komuniti sukan.

“Terima kasih juga kepada Litar Antarabangsa Sepang (SIC) kerana memberi kebenaran untuk meneruskan perlumbaan dilitar ini dan biarpun jadual perlumbaan tidak mengikut apa yang dirancang sebelum ini namun apa yang penting adalah saingan diteruskan,” kata pelumba Petronas Sprinta Yamaha CKJ Racing, Affendi Rosli yang menamatkan perlumbaan ditempat keenam.

Terdahulu pada saingan CP150 di Litar Utara SIC, Md Helmi Azman daripada Hi Rev SCK Honda Racing muncul juara, Ahmad Afif Amran (Petronas Sprinta Yamaha CKJ Racing) dan Azroy Hakeem Anuar (Idemitsu Honda Yuzy Racing) masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.

Biarpun perlumbaan terpaksa dilakukan berturut-turut namun ia sebenarnya memberi kelebihan buat pelumba dan krew bertugas kerana mempunyai masa untuk membuat pelarasan terbaik tanpa perlu masa yang lama.

“Biarpun jadual perlumbaan padat tapi bagi saya ia satu yang menggembirakan sebab kami tak meninggalkan motosikal terlalu lama.

“Kami ada masa untuk mencuba barang-barang baru dan menukar pelarasan dengan lebih mudah,” katanya.

hmetro

‘Benarkan kami berlumba’

December 1, 2020 | News | No Comments

Kuala Lumpur: Barisan pelumba Cub Prix negara memohon simpati daripada Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) membenarkan perlumbaan itu berlangsung semula.

Tegas seorang pelumba yang terbabit, Affendi Rosli, sebahagian besar pelumba permotoran negara kini berdepan masalah kewangan selepas tidak dibenarkan berlumba kerana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Kata Affendi, ramai pelumba Cub Prix kini kesempitan duit hingga terpaksa menjadi penghantar makanan, bekerja sebagai pencuci kereta dan ada yang terpaksa bergolok-gadai berikutan tiada gaji kerana tiada perlumbaan.

“Kami pelumba Cub Prix perlu berlumba kerana inilah kerja kami. Bila perlumbaan ditunda kebanyakan penaja tidak memberikan tajaan kerana mereka juga bergantung kepada perlumbaan.

“Kami tidak boleh bekerja dari rumah. Kalau mekanik yang buat segala pelarasan jentera motosikal di rumah pun ia tetap perlu diuji di atas litar.

“Macam mana kami nak dapat gaji kalau kerajaan tidak membenarkan kami berlumba. Tidak berlumba maka kami tak dapatlah gaji,” katanya.

Difahamkan, pelumba Cub Prix memperoleh pendapatan antara RM10,000 hingga RM30,000 semusim bergantung kepada status, prestasi dan pasukan.

Jelas Affendi yang pernah bergelar juara pada 2009 dan berlumba bersama Harian Metro Y-TEQ SCK, kebanyakan pelumba Cub Prix negara kini amat terkesan apabila kerajaan tidak membenarkan perlumbaan berlangsung.

Katanya, pada empat pusingan perlumbaan sebelum ini, segala peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi dengan teliti, malah tiada sebarang penonton dibenarkan untuk menyaksikan perlumbaan.

Kawalan ketat juga diadakan dengan setiap pasukan akan melakukan ujian calitan terhadap semua pelumba yang terbabit sebelum dibenarkan memasuki kawasan perlumbaan.

Terdahulu Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas ditunda bermula pusingan kelima yang sepatutnya berlangsung di Litar Utara Sepang dari 10 dan 11 Oktober lalu berikutan peningkatan kes Covid-19.

Pusingan keenam yang sepatutnya berlangsung dari 31 Oktober dan 1 November dan 21 dan 22 November di Litar Sepang juga turut ditunda susulan langkah kerajaan melanjutkan PKPB.

Manakala status baki pusingan terakhir iaitu di Tangkak pada 12 hingga 13 Disember kini masih lagi menjadi persoalan.

hmetro

//benoopto.com/4/2458908