Tag Archive : biawak

/ biawak

Mayat terapung diheret biawak

November 30, 2020 | News | No Comments

Mayat seorang individu ditemui terapung dekat tebing Sungai Muda berdekatan Kampung Lesung Tujuh, Padang Serai, kira-kira jam 10 pagi tadi.

Mayat berkenaan ditemui nelayan yang ketika itu sedang memasang pukat sebelum ternampak seperti satu objek diheret seekor biawak.

Apabila didekati, objek berkenaan sebenarnya mayat individu yang mungkin telah meninggal dunia beberapa hari lalu berdasarkan keadaan fizikal badannya.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Azhar Hashim berkata, mayat berkenaan berada 100 meter dari tebing sungai dan tersangkut pada pokok sebelum dikeluarkan oleh Pasukan Bomba dan Penyelamat pada jam 2.35 petang tadi.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat kesan reput dipercayai berada di dalam air lebih kurang lima hari.

“Pemeriksaan juga mendapati terdapat kesan tatu di lengan kanan dan tali warna merah di tangan kiri. Bagaimanapun, wajah mangsa serta identiti tidak dapat dikenal pasti,” katanya.

Menurutnya, mayat itu dihantar ke Forensik Hospital Kulim untuk tindakan lanjut dan telah dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar untuk bedah siasat.

“Polis meminta mana-mana individu yang mempunyai sebarang maklumat tampil segera ke balai polis berdekatan bagi membantu siasatan,” katanya.

-sinarharian

Bayi baru lahir dimakan biawak

May 14, 2020 | News | No Comments

BANGKOK – Seorang bayi lelaki baru dilahirkan dimakan biawak selepas mangsa dibuang berhampiran sebuah kolam di Nakhon Si Thammarat dekat selatan Thailand.

Mayat bayi malang itu ditemui sekumpulan budak lelaki yang sedang bermain di tepi kolam terbabit Isnin lalu sebelum melaporkannya kepada pengawal keselamatan.

Salah seorang kanak-kanak, Nong Ake, 10, berkata, dia terhidu bau pelik dan menemui sebuah beg hitam yang mencurigakan di sebelah kolam.

Setelah diperhatikan dengan lebih dekat Ake menemui mayat bayi itu dalam keadaan menyayat hati dengan organ dalamannya telah hilang.

Polis yang tiba di tempat kejadian mengesahkan mangsa telah meninggal dunia selama satu atau dua hari.

Pihak berkuasa percaya luka gigitan pada mayat adalah disebabkan oleh biawak yang tinggal di kolam dan biasanya memakan ikan serta makanan dari tong sampah.

Menurut jurucakap polis, Mejar Kolonel Jittakorn Konglhue, mayat tersebut akan dibedah siasat dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) akan dilakukan untuk mencari keluarga kandungnya.

“Kami percaya ibunya yang kejam meninggalkan bayi itu di tepi kolam sebelum diserang biawak.

“CCTV di sekitar kawasan berkenaan akan diperiksa untuk mengenal pasti dan seterusnya menahan si ibu dengan segera,” katanya.

-sinarharian

//cdrvrs.com/4/2458908