Tag Archive : bpn

/ bpn

SINARPLUS percaya ramai dalam kalangan kita mampu menarik sedikit nafas lega setelah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumuman Bantuan Prihatin Nasional (BPN) 2.0 dengan peruntukan hampir RM7 bilion.

Untuk makluman, tiada golongan yang dibelakangkan oleh pihak kerajaan untuk menerima bantuan tersebut termasuklah golongan bujang.

Mereka juga akan mendapat bantuan sebanyak RM500 kepada 3.8 juta kumpulan B40 bujang yang disasarkan pihak kerajaan.

Selain itu, RM300 kepada 1.7 juta kumpulan M40 bujang.

Menariknya pula, bantuan kali ini tidak memerlukan permohonan kerana kerajaan akan menyalurkan bantuan secara terus kepada penerima yang telah diluluskan di bawah BPN sebelum ini.

Namun, bagi yang tidak berjaya pada bantuan sebelum ini, kerajaan turut memberi peluang untuk rayuan dan permohonan baharu.

Sementara itu, pasangan berkeluarga turut dapat menikmati bantuan ini.

Mereka akan diberikan sebanyak RM1,000 kepada 3.7 juta isi rumah B40 dan RM600 kepada hampir 1.4 juta isi rumah M40.

Bayaran BPN 2.0 ini akan dibuat dalam dua ansuran, pertamanya pada hujung bulan Oktober 2020 dan keduanya pada bulan Januari 2021.

Jadi, bersyukurlah kita kerana akan mendapat bantuan untuk kedua kalinya ini.

-sinarplus

“PAGI tadi Idrus Ahmad, 35, beritahu yang dia tidak sempat mengambil wang Bantuan Prihatin Nasional (BPN) yang diberi kerajaan yang dikongsinya dalam kumpulan WhatsApp kami,” kata Mohd Shafiq Shafihardin, 25.

Idrus dan seorang lagi rakan mereka, Mohd Zulkefli Kasim, 44, maut selepas disambar petir ketika berehat di bangsal di hadapan rumah di Kampung Hujung Bechah, di Sik dalam kejadian jam 5.30 petang tadi.

Menurut Mohd Shafiq, sebaik dimaklumkan mengenai kejadian Idrus dan Mohd Zulkefli, dia bersama beberapa rakan bergegas ke tempat kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kami dapati mayat mereka (Idrus dan Mohd Zulkefli) sudah ditutup.

“Kami nak tengok keadaan mereka yang ketika itu dalam keadaan terbaring namun polis tidak benarkan kami memasuki kawasan itu. Jadi kami hanya melihat dari jauh.

“Tak sangka kejadian itu berlaku dan saya dimaklumkan kedua-dua mereka sedang berehat di bangsal itu disebabkan hujan lebat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Shafiq berkata, dia mengenali Idrus dan Mohd Zulkefli sejak kecil walaupun dua rakannya itu lebih berusia darinya namun mengakui hubungan mereka sangat rapat.

Katanya, dia sudah lama tidak bertemu dengan arwah Mohd Zulkefli sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula manakala Idrus pula banyak berbual di kumpulan WhatsApp.

“Arwah abang Zul sebelum ini bekerja di bengkel besi sebelum berhenti dan mengusahakan kolam udang di kampung ini.

“Idrus pula hanya bekerja kampung dan masih belum berkahwin manakala abang Zul sudah berkahwin,” katanya.

Menurutnya, dia masih terkejut dengan kejadian itu dan mendoakan roh dua rakannya itu dicucuri rahmat.

Katanya, keluarga kedua-dua mangsa kini berada di hospital untuk melihat jenazah mereka.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sik Deputi Superintendan Abdul Razak Osman ketika dihubungi, mengesahkan kejadian berkenaan.

Katanya, kejadian berlaku ketika kedua-dua mangsa berada di bangsal berkenaan dan terkena panahan petir.

“Mereka berdua meninggal di tempat kejadian dan mayat mereka dihantar ke Hospital Sik untuk dibedah siasat,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sik, Leftenan (PA) Haisul Aishah Mohd Napiah berkata, pihaknya turut dimaklumkan berhubung kejadian membabitkan dua mangsa dipanah petir itu.

Menurutnya, setakat ini pihaknya sedang mengumpul jumlah rumah yang dilanda ribut di daerah Sik.

“Setakat ini kami dimaklumkan kejadian ribut berlaku di tiga kampung iaitu di Kampung Tanjung Sik, Kampung Sena dan Kampung Beris Jaya.

“Namun, jumlah keseluruhan rumah yang terbabit belum dapat dipastikan lagi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

hmetro

//chooxaur.com/4/2458908