Tag Archive : dilanjutkan

/ dilanjutkan

Kementerian Wilayah Persekutuan akan melanjutkan pemberian lesen percuma serta diskaun kadar sewaan premis kepada penjaja dan peniaga dalam tempoh darurat dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di ibu negara dan Putrajaya, sehingga 31 Julai ini.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, pihaknya sebelum ini mengumumkan memberi lesen perniagaan percuma serta diskaun kadar sewaan premis di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) kementerian itu sehingga 31 Mac ini.

“Mengambil kira beberapa faktor seperti pertukaran status daripada PKP kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang membolehkan banyak aktiviti dibenarkan, kementerian bersetuju untuk melanjutkan tempoh pemberian lesen serta sewaan premis.

“Selain itu, kami mengambil kira bahawa Mac dan April adalah bulan bagi orang ramai terpaksa berbelanja untuk persiapan Ramadan serta Aidilfitri dan pembukaan sekolah baru-baru ini yang menyebabkan tanggungan kos kepada rakyat.

“Menerusi lanjutan pemberian lesen percuma serta diskaun kadar sewaan premis, ia boleh meringankan beban penjaja serta peniaga,” katanya pada sidang media di Program MyBeras@Wilayah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, semalam.

Annuar berkata, secara keseluruhannya, penjaja dan peniaga kecil masih bergelut daripada perniagaan sedikit malap berbanding keadaan biasa.

Beliau berkata, walaupun Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan PBT terpaksa menanggung kesusutan hasil, pihaknya merasakan langkah melanjutkan tempoh pembaharuan lesen percuma itu adalah perlu.

“Langkah ini akan memberi manfaat kepada lebih 40,000 penyewa premis termasuk hampir 10,000 peniaga dan penjaja selain 5,000 peniaga yang sedang mengambil bahagian dalam program Wilayah Bebas Berniaga,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kementerian berkenaan akan mengemukakan permohonan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mempertimbangkan pembukaan bazar Ramadan dan Aidilfitri nanti.

“Setakat ini, kami menerima kira-kira 2,000 permohonan daripada penjaja bagi pembukaan bazar Ramadan dan Aidilfitri nanti.

“Jika ia dibuka nanti, ia akan membuka peluang kepada ramai penjaja baharu sepanjang tempoh itu (Ramadan dan Aidilfitri),” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, keputusan kebenaran itu bergantung kepada rekod displin kepatuhan prosedur operasi standard (SOP) penjaja ketika ini.

“Perlu diingatkan bahawa kita belum lagi keluar daripada zon selamat walaupun program vaksinasi sudah bermula.

“Kepatuhan pada SOP masih perlu dipertingkatkan dan komuniti memainkan peranan penting berhubung perkara itu,” katanya.

HM

PKPB di Selangor dan Kuala Lumpur dilanjutkan

December 29, 2020 | News | No Comments

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kuala Lumpur, Selangor dan Sabah serta beberapa lokaliti di negeri-negeri lain dilanjutkan sehingga 14 Januari 2021.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan dibuat selepas mendapat nasihat dan penilaian risiko daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berdasarkan trend dan peningkatan kes positif Covid-19 di kesemua kawasan berkenaan selain kewujudan kluster baharu di Kuala Lumpur.

Pelaksanaan PKPB di tiga negeri berkenaan dan beberapa lokaliti di negeri-negeri lain sebelum ini dijadualkan tamat pada 31 Disember.

Ismail Sabri berkata, bagi negeri Selangor, PKPB dilaksanakan di seluruh negeri itu termasuk Sabak Bernam, Hulu Selangor dan Kuala Selangor yang sebelum ini diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Di negeri-negeri lain, PKPB turut dilanjutkan melibatkan Mukim 12 Barat Daya dan Mukim 13 Timur Laut di Pulau Pinang; Seremban, Negeri Sembilan serta Johor Bahru dan Batu Pahat, Johor.

Bercakap pada sidang akhbar perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini pada Isnin, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata, kerajaan atas nasihat KKM turut membuat keputusan menamatkan PKPB di beberapa lokaliti pada hari ini iaitu lebih awal daripada dijadualkan pada 31 Disember susulan berlaku pengurangan kes di kawasan terbabit.

Antara lokaliti yang ditamatkan PKPB adalah Ipoh dan Chemor (Perak), Port Dickson (Negeri Sembilan) dan Kulai (Johor), katanya.

Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), Ismail Sabri berkata, kerajaan memutuskan untuk melanjutkan perintah berkenaan di beberapa lokaliti sehingga 14 Januari termasuk di Depoh Tahanan Imigresen Langkap dan kuarters di Hilir Perak serta Penjara Kluang dan kuarters di Johor.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan turut memutuskan untuk melaksanakan PKPD di Madrasah Daril Naim, Mukim Padang Halban, Daerah Peringat di Kota Bharu, Kelantan mulai Selasa sehingga 11 Januari 2021 selepas terdapat peningkatan mendadak kes positif Covid-19 di lokaliti itu.

“Sehingga 25 Disember, KKM telah melaksanakan sebanyak 99 saringan dan 29 disahkan positif Covid-19,” katanya.

Beliau berkata, PKPD turut dilaksanakan di Kampung Paginatan dan Kampung Maringkan di Ranau, Sabah bermula Selasa sehingga 11 Januari 2021 atas nasihat dan penilaian risiko oleh KKM.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua penduduk di kedua-dua lokaliti ini yang melibatkan seramai 865 orang penduduk,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan juga bersetuju untuk menamatkan PKPD di beberapa lokaliti antaranya Penjara Seremban dan Kuarters Penjara Seremban yang ditamatkan hari ini serta Kampung Desa Balau dan Kampung Dasar Baru di Lahad Datu, Sabah yang tamat esok.

Dalam pada itu, beliau berkata, 297 individu ditahan pada Ahad atas pelbagai kesalahan ingkar arahan prosedur operasi standard (SOP), dengan 294 daripadanya dikompaun manakala tiga lagi direman.

Antara kesalahan itu membabitkan aktiviti pusat hiburan (103), tidak memakai pelitup muka (95), gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri (75), gagal mematuhi arahan penjarakkan fizikal (21) dan lain-lain (tiga).

Mengenai Operasi Benteng, beliau berkata, seramai 22 pendatang asing tanpa izin dan empat tekong ditahan pada Ahad, manakala empat kenderaan darat dirampas dalam operasi yang diadakan di seluruh negara.

SH


//zikroarg.com/4/2458908