Tag Archive : elak

/ elak

Kerajaan mewujudkan Garis Panduan Penetapan Senarai Barisan Petugas Hadapan bagi mengelakkan isu ‘potong barisan’ untuk program vaksinasi Covid-19, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin.

Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, keputusan itu dibuat pada Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) yang mana dokumen garis panduan terbabit memperincikan mengenai petugas barisan hadapan.

Katanya, beliau dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba sudah menandatangani dokumen garis panduan itu yang akan dimuat naik di laman sesawang https://www.vaksincovid.gov.my/, Kementerian Kesihatan serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi bagi menjelaskan takrifan barisan hadapan.

“Jadi, soal queue cutting tidak lagi timbul di pusat pemberian vaksinasi kerana ada garis panduan yang jelas dan mereka diminta untuk ikut garis panduan tersebut. Garis panduan ini akan menyatakan secara jelas siapa yang layak dan siapa yang belum layak untuk menerima vaksin dalam fasa satu,” katanya dalam sidang media bersama Dr Adham selepas menghadiri mesyuarat JKVAV di sini, semalam.

Khairy berkata, kerajaan juga mempertimbangkan tindakan kompaun kepada mana-mana individu yang didapati melangkau giliran untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

HM

Buat laporan palsu elak bayar denda Mykad

December 7, 2020 | News | No Comments

Gara-gara tidak mahu membayar denda untuk memperbaharui Mykad, seorang jurujual kedai telefon bimbit sanggup membuat laporan polis palsu kononnya diragut.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan polis yang dibuat lelaki berusia 27 tahun itu pada jam 9.30 malam, Ahad lalu yang mendakwa dia diragut di Kota Shahbandar hingga mengalami kerugian kira-kira RM3,000.

Menurutnya, bertindak atas maklumat, sepasukan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah memanggil lelaki terbabit bagi menjalankan siasatan lanjut mengenai kejadian itu.

Katanya, hasil keterangan yang diperoleh, lelaki itu mendawa kejadian ragut terbabit merupakan satu ‘prank’ yang dirancang oleh isterinya.

“Kita telah menahan isterinya bagi menjalankan siasatan di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

“Namun hasil siasatan lanjut mendapati ‘prank’ tersebut adalah satu rekaan dan lelaki terbabit membuat laporan palsu untuk mengelak daripada dikenakan denda oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk membuat MyKad baharu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, lelaki itu akan diambil tindakan di bawah Seksyen 182 kerana membuat laporan polis palsu manakala isterinya diambil tindakan di bawah Seksyen 182/109 Kanun Keseksaan.

Sementara itu katanya, sebanyak 59 laporan polis palsu yang diterima dan telah dituduh di mahkamah bermula Januari hingga November lalu.

“Kita sangat memandang serius perbuatan ini dan orang ramai diingatkan tidak membuat laporan polis palsu,” katanya.


SH


SYARIKAT  keselamatan siber yang berpangkalan di Singapura CYFIRMA baru-baru ini melaporkan bahawa kumpulan penggodam yang disokong oleh Korea Utara merancang kempen pancingan data berskala besar di enam negara, termasuk India.

Peretas merancang sasaran terhadap negara-negara yang mana pemerintah telah mengumumkan bantuan kewangan kepada individu dan perniagaan untuk menstabilkan ekonomi mereka yang dilanda wabak.

Menurut CYFIRMA, kempen phishing Lazarus Group dirancang untuk menyamar sebagai agensi kerajaan, jabatan dan persatuan perdagangan yang ditugaskan untuk mengawasi pengeluaran bantuan fiskal.

Penggodam mengaku memiliki dua juta ID e-mel India.

“Rancangannya adalah untuk menghantar e-mel mengenai ujian covid-19 percuma untuk semua kediaman Delhi, Mumbai, Hyderabad, Chennai dan Ahmedabad, yang mendorong mereka untuk memberikan maklumat peribadi,” menurut catatan dari CYFIRMA.

Berikutan amaran itu, Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer India (CERT-In) memberi amaran bahawa mungkin ada kempen serangan pancingan data berskala besar terhadap individu dan juga syarikat.

Pada 22 Jun lalu, Reserve Bank of India (RBI) juga mengeluarkan nasihat mengenai cara melakukan transaksi digital dengan selamat. Pihak bank telah mula memberi amaran kepada pelanggan mengenai kemungkinan serangan siber.

Menurut CERT-In, e-mel yang dirancang oleh penggodam dirancang untuk mendorong penerima ke laman web palsu yang mana mereka tertipu memuat turun fail berniat jahat atau memasukkan maklumat peribadi dan kewangan. ID e-mel yang diharapkan dapat digunakan untuk kempen pancingan data di India dijangka berasal dari e-mel seperti ncov2019@gov.in.

Satu-satunya cara untuk memerangi serangan siber seperti itu adalah berjaga-jaga.

“Sebagian besar, ini adalah penipuan pancingan data. Penjenayah menggunakan kerentanan manusia untuk menipu orang. Tidak ada penyelesaian teknikal untuk ini. Kita perlu lebih peka dan sedar,” kata Amit Dubey, seorang pakar keselamatan siber.

Berikut adalah beberapa perkara yang boleh dilakukan.

Jangan menjadi mangsa penipu

Berhati-hatilah ketika membuka lampiran e-mel walaupun lampiran itu diharapkan dan pengirimnya nampaknya seperti diketahui. Jangan buka lampiran dalam e-mel yang tidak diminta, walaupun ia berasal dari orang dalam senarai kenalan anda. Jangan sekali-kali klik pada pautan yang terdapat dalam e-mel yang tidak diminta.

“Sekiranya anda tidak yakin dengan fail yang dilampirkan atau pautan yang diterima, anda boleh menggunakan perkhidmatan dalam talian disediakan khususnya oleh pihak berkuasa untuk mengesahkannya,” saran Dubey.

Berhati-hati dengan pemindahan wang dan pembelian dalam talian. Pastikan memindahkan wang ke akaun yang betul dan hanya membeli dari entiti yang telah ditetapkan.

Jangan sekali-kali berkongsi kata laluan anda atau maklumat sulit lain melalui telefon dengan eksekutif syarikat mana pun atau di laman web mana pun.

“Pada masa ujian ini, hindari panggilan yang tidak diketahui dari bank atau kakitangan insurans yang mengaku bekerja dari rumah. Elakkan mengisi semula di laman web yang tidak diketahui.

Jangan membuat pembelian di kedai dalam talian yang tidak diketahui,” kata Prashant Mali, seorang peguam dan pakar keselamatan siber. 

-sinarplus

Elak anak tahan kencing

June 9, 2020 | News | No Comments

SITUASI anak yang masih kecil jarang ke tandas untuk membuang air kecil pastinya pernah dilalui kebanyakan ibu bapa.

Kadangkala dalam sehari hanya sekali mereka membuang air kecil kerana terlalu leka bermain atau menonton televisyen.

Hanya apabila ditegur beberapa kali, baru mereka ke tandas sebelum kembali bermain.

Bagi kanak-kanak masa bermain mereka adalah terlalu berharga dibazirkan untuk ke tandas.

Perkara ini sudah pasti merisaukan ibu bapa kerana dibimbangi tabiat berkenaan boleh memberi kesan terhadap kesihatan anak mereka.

Pakar Bedah Pediatrik Hospital Pantai Kuala Lumpur (PHKL), Dr Nadarajan Sudhakaran berkata, ramai dalam kalangan kanak-kanak sanggup menahan kencing terlalu lama kerana terlalu leka bermain.

MENAHAN kencing boleh mengakibatkan jangkitan pada pundi kencing. FOTO Sumber Google

“Mereka hanya terdorong untuk membuang air kecil hanya ketika pundi kencing hampir penuh sebelum bergegas ke tandas.

“Sekiranya mereka tidak berjaya ke tandas tepat pada waktunya, ada kebarangkalian mereka akan terkucil,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Beliau yang juga pakar pembedahan lubang kunci berkata, jika kanak-kanak minum air secukupnya mengikut keperluan umur dan berat badan mereka, kekerapan membuang air kecil sepatutnya antara tiga hingga empat jam sekali.

“Secara purata, mereka sebolehnya kencing sebanyak empat atau lima kali sehari,” katanya.

Tambahnya, kesan terlalu lama menahan kencing dan air besar, berkemungkinan mengakibatkan jangkitan pada saluran kencing.

“Urin stasis adalah keadaan di mana proses ekskresi pundi kencing secara semula jadi terganggu dan tidak dapat dikosongkan dengan baik, sekali gus memberi peluang kepada bakteria untuk membiak,” katanya.

Menurutnya, selain itu, ia turut memberi kesan terhadap kepekaan pundi kencing mereka.

PASTIKAN anak minum air secukupnya. FOTO Sumber Google

“Ini akan menjadikan pundi kencing lebih besar daripada yang kebiasaannya untuk kanak-kanak.

“Kesan lainnya, tekanan terhadap pundi kencing akan bertambah seiring waktu dan ini akan mengganggu aliran kencing dari ginjal ke pundi kencing dalam jangka panjang. Jangkitan pada pundi kencing akan memudahkan jangkitan pada ginjal dan menyebabkan kecederaan pada ginjal,” katanya.

Mengulas lanjut antara simptom kanak-kanak terkena jangkitan adalah sakit di bahagian abdomen bawah, sakit apabila membuang air kecil, demam, kencing berbau kuat atau kencing keruh.

“Jika ada tanda jangkitan, sila berjumpa doktor untuk menganalisis jangkitan dan diberi rawatan,” katanya.

Antara rawatan yang akan diberikan adalah diberi antibiotik bersesuaian atau jika ini adalah kali pertama berlaku, maka ultra-sound untuk mengenal pasti anatomi ginjal dan pundi kencing dilakukan.

Beliau berkata, ibu bapa perlu memainkan peranan untuk melatih anak supaya membuang air kecil sebagai tabiat.

“Ibu bapa boleh menetapkan masa selang empat jam sekali untuk kencing. Ketika berada di sekolah, nasihat anak ke tandas ketika waktu rehat atau ketika di rumah anda boleh tetapkan jam loceng untuk mengingatkan mereka untuk membuang air kecil.

“Kaedah terbaik adalah mengenal pasti corak pembuangan air dan najis anak anda. Sebagai tambahan, pastikan mereka minum air secukupnya dan mengambil makanan berserat untuk menolong melancarkan perkumuhan najis mereka,” katanya.

hmetro


Vaksin BCG mampu elak Covid-19? [METROTV]

April 9, 2020 | News | No Comments

TIADA dalil kukuh bahawa vaksin BCG boleh mengelak jangkitan Covid-19 dan kajian mengenainya sedang dilakukan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, penyelidikan keberkesanan vaksin itu terhadap wabak berkenaan perlu dilakukan terlebih dahulu dan ia mengambil masa antara enam hingga sembilan bulan.

“Setakat ini tiada dalil kukuh bahawa vaksin BCG boleh mengelak jangkitan tetapi kajian sedang dilaksanakan bersama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan negara-negara lain untuk melihat keberkesanannya.

“Kita berharap tempoh setahun sehingga setahun setengah boleh dapat vaksin di pasaran,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Menurutnya, Malaysia dikenal pasti sebagai negara untuk penyelidikan dan penggunaan ubat-ubatan merawat Covid-19 kepada pesakit.

“Banyak ubat kita tengah lihat sebagai satu kajian untuk digunakan kepada pesakit dan sekarang ini kita menggunakan ubat anti malaria dan HIV.

“Apa yang penting perlu ada penyelidikan untuk melihat kesan sampingan dan keberkesanan ubat tertentu,” katanya.

Katanya, kajian bersepadu yang sedang dijalankan itu diharap membuahkan hasil dan hasil penyelidikan serta data diperolehi itu dapat diguna pakai pada masa depan.

hmetro

Seorang penganggur sanggup menyamar sebagai jemaah tabligh yang menghadiri ijtimak di Masjid Sri Petaling bagi mengelak ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, lelaki berusia lingkungan 20-an itu ditahan selepas dia didapati berkeliaran di sebuah pangsapuri di Balakong kira-kira jam 2 pagi, kelmarin.

“Kita dapati lelaki berkenaan mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan kerana enggan pulang ke rumah selepas dinasihatkan anggota bertugas yang melakukan rondaan.

“Ketika dalam tahanan, suspek memaklumkan dia adalah salah seorang daripada jemaah tabligh yang menghadiri perhimpunan di Sri Petaling,” katanya pada sidang media di Dewan Serbaguna Orang Ramai Sungai Lui di sini, hari ini

Menurutnya, pihaknya terus membuat pengasingan terhadap suspek dan memaklumkan perkara itu kepada Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum proses sanitasi dilakukan di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.

“Bagaimanapun hasil siasatan lanjut yang dilakukan terhadap ahli keluarga dan rakan suspek mendapati, dia bukan jemaah tabligh. Malah, ahli keluarga dan rakannya juga menafikan dia menghadiri perhimpunan berkenaan.

“Suspek kemudian mengaku dia memberi keterangan palsu kepada pihak polis kerana tidak mahu ditahan,” katanya.

Beliau berkata, suspek direman selama empat hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Peraturan 7 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Sementara itu dalam perkembangan sama, Ahmad Dzaffir memaklumkan, seramai 44 individu ditahan kerana melanggar arahan PKP di daerah Kajang sejak 18 Mac lalu hingga semalam.

“Sebanyak 22 kertas siasatan dibuka membabitkan 44 tangkapan dengan dua kes sudah dituduh pada minggu lalu dan semalam.

“Sepanjang tempoh PKP ini, terdapat tujuh sekatan jalan raya dilakukan di daerah ini membabitkan laluan masuk dan keluar dari Kajang,” katanya.

SH

//nessainy.net/4/2458908