Tag Archive : ganja

/ ganja

Sindiket edar ganja ‘terjerat’

September 29, 2020 | Crime | No Comments

Kegiatan sindiket pengedaran dadah tumpas dengan rampasan ganja berjumlah RM154,250 dalam serbuan berasingan di sekitar ibu negara, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Rajab Ahad Ismail berkata, dalam serbuan pertama pada Khamis lalu, seorang lelaki ditahan dengan rampasan lima ketulan mampat disyaki ganja di Taman Melati kira-kira jam 3.40 petang.

Katanya, soal siasat kemudian membawa tangkapan empat lelaki termasuk seorang warga Indonesia dalam serbuan kira-kira jam 11 malam hari yang sama di Kampung Baru selain rampasan sebanyak 20 ketulan mampat disyaki ganja.

“Susulan itu, sebuah kereta utiliti sukan jenis Grand Cherokee yang dipercayai dijadikan sebagai tempat simpanan dadah berjaya ditemui di Kampung Baru kira-kira jam 12.45 tengah malam.

“Pemeriksaan di dalam kenderaan menemui 35 ketulan mampat disyaki ganja dengan anggaran berat lebih 35 kilogram (kg) sebelum penahanan seorang lagi suspek lelaki yang disyaki adalah pemilik kenderaan terbabit,” katanya pada sidang akhbar di Balai Polis Setiawangsa, di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau percaya sindiket yang aktif sejak Ogos tahun lalu itu memperoleh bekalan ganja dari negara jiran sebelum diedar kepada tokan. Siasatan masih dijalankan untuk mengesan saki baki ahli sindiket terlibat.

Rajab berkata, jumlah keseluruhan rampasan dadah adalah seberat kira-kira 61.2 kg dengan anggaran nilai RM154,250.

Tambahnya, ujian saringan air kencing juga mendapati kesemua suspek berusia 42 hingga 57 tahun itu positif dadah jenis syabu dan ganja.

“Kesemua suspek direman selama tujuh hari sehingga 2 Ogos depan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya, Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1956/63,” katanya.

-sinarharian

2 wanita edar, tanam pokok ganja dicekup

June 26, 2020 | Crime, News | No Comments

DUA wanita yang terbabit dalam pengedaran dadah dan menanam pokok ganja di rumah mereka ditahan ketika menaiki kereta Proton Waja di Jalan SS 5A/9 Kelana Jaya di Petaling Jaya, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, dalam kejadian 5 petang itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya menahan kereta dinaiki suspek berusia 25 tahun kerana disyaki terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah.

Menurutnya, hasil pemeriksaan di dalam kenderaan menemui satu paket plastik lutsinar disyaki ganja seberat 125 gram disimpan di ruang tengah bahagian brek tangan.

“Siasatan awal polis kemudian salah seorang suspek mengaku ada menanam pokok ganja di rumahnya dan polis kemudian menyerbu kediamannya di Jalan SS 3/80 Kelana Jaya, di sini.

“Pemeriksaan lanjut merampas tiga botol plastik hitam ditanam dengan empat pokok disyaki pokok ganja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nik Ezanee berkata, semakan mendapati kedua-dua suspek tidak memiliki rekod jenayah lampau direman seminggu dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6B akta sama.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi melihat pembabitan mereka dalam kes pengedaran dadah di kawasan Petaling Jaya,” katanya.

hmetro

Lelaki bawa tin berisi ganja ditahan

April 28, 2020 | News | No Comments

Polis menahan seorang lelaki kerana memiliki ganja di sebuah pasar raya di Rawang semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, suspek berusia 22 tahun itu ditahan ketika menaiki motosikal dalam keadaan mencurigakan pada jam 10.30 pagi.

“Kita menjumpai satu bekas tin berisi ketulan mampat tumbuhan kering disyaki dadah ganja serta satu batang rokok gulung,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Arifai berkata, suspek juga gagal memberi alasan munasabah kerana berada di luar rumah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak untuk tindakan lanjut dan akan direman bagi membantu siasatan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 269 Kanun Keseksaan serta Peraturan 11 Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengisytiharaan Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020,” katanya.

SH

//mauchopt.net/4/2458908