Tag Archive : hanyut

/ hanyut

Dua nelayan dikhuatiri hilang ketika memancing

January 18, 2021 | News | No Comments

MELAKA – Dua nelayan yang menaiki sebuah bot dari Jeti Nelayan Padang Temu sejak empat hari lalu dikhuatiri hanyut berhampiran Pulau Udan di sini pada Ahad.

Nelayan berkenaan dikenali sebagai Ahmad Norizan, 38, dan Wan berusia dalam lingkungan 30-an.

Penolong Pengarah Operasi negeri, Penguasa Kanan Bomba ll Muhammad Izwan Arief berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu pada jam 11.26 pagi dan melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Menurutnya, SAR itu melibatkan 36 anggota termasuk polis Jabatan Laut Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Melaka Tengah.

“Berdasarkan maklumat yang diterima, kedua-dua mangsa dipercayai keluar memancing dan ada nelayan melihat mereka berada di sekitar Pulau Udan pada Rabu lalu.

“Mereka dipercayai hilang empat hari lalu sebelum keluarga membuat laporan polis pada hari ini (Ahad),” katanya.

Muhammad Izwan berkata, setakat ini operasi menyelamat masih diteruskan dalam jarak radius lapan hingga 10 batu nautika dari jeti.

Katanya, pihaknya juga tidak menolak untuk menggunakan khidmat helikopter bagi membuat pemantauan di udara.

“Kita menasihatkan orang ramai terutama nelayan agar berhati-hati ketika melakukan sebarang aktiviti dan sentiasa mengutamakan keselamatan,” katanya.

-sinarharian

Umum sedia maklum, hampir setiap tahun di tiga buah negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan pastinya dinaiki banjir ekoran fenomena air pasang setiap kali musim tengkujuh

Bagi mereka yang sudah lali dengan musim tengkujuh ini, pastinya persiapan awal telah dibuat bagi mengelak sebarang kecelakaan berlaku.

Namun begitu, lain pula ceritanya dengan kejadian yang berlaku baru-baru ini di mana tularnya sebuah video dua lelaki nyaris maut apabila motosikal yang ditunggang mereka hanyut dibawa arus.

Kejadian itu dipercayai berlaku di sebuah jalan raya berdekatan sempadan Jengka 15 dan Jengka 16 di Pahang.

Menerusi video yang dimuat naik oleh pengguna di Twitter, @emint kelihatan mereka cuba meredah jalan yang ditenggelami air meskipun arusnya deras.

Motosikal yang dinaiki mereka telah ditolak oleh arus yang deras sehingga ia dihanyutkan ke dalam sungai

Kedua-duanya cuba menarik motosikal terbabit daripada dihanyutkan arus, namun mereka terpaksa melepaskannya kerana arus sangat deras.

Malah, kelihatan salah seorang daripada mangsa juga nyaris terjatuh ketika mengharungi banjir berkenaan.

Akibat kedegilan mereka cuba untuk meredah arus deras itu, akhirnya mereka ditimpa masalah dan mengalami kerugian gara-gara motor yang telah dihanyutkan.

SAYS

Dua beradik terselamat daripada dihanyutkan air deras dalam sebuah parit di Taman Tangkak Jaya di sini hari ini.

Dalam kejadian pada jam kira-kira 3 petang, Mohd Akif Nazir, 8, dan adiknya, Mohd Aidan Nazir, 4, sebelum itu bermain di tepi parit.

Bagaimanapun selipar Mohd Aidan dihanyutkan air sebelum dia dibantu abangnya cuba mendapatkannya semula.

Kedua-dua beradik tersebut tergelincir namun seorang penduduk setempat yang melihat kejadian tersebut sempat menyelamatkan Mohd Aidan.

Mohd Akif pula dihanyutkan air deras sebelum penduduk menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangkak untuk bantuan.

Seramai 10 anggota BBP Tangkak dengan sebuah jentera Fire Rescue Team (FRT), sebuah ambulans dan satu jentera Fire Rescue Vehicle (FRV) dikejarkan ke tempat kejadian.

Komander Operasi dari BBP Tangkak, Penolong Penguasa Bomba Rafiah Aziz berkata, operasi mencari Mohd Akif dilakukan dan dalam masa kira-kira setengah jam kemudian kanak-kanak itu ditemukan.

“Kita temukan budak tersebut dalam keadaan selamat pada jam hampir jam 4 petang. Mohd Akif dijumpai pada jarak 400 meter dari lokasi yang dilaporkan hilang. Kedua-dua mangsa dilaporkan selamat.

“Parit berkenaan bersaiz 10 kaki lebar dan kedalaman sembilan kaki,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

-sinarharian

Pengantin hanyut dibawa ombak besar

July 7, 2020 | Viral | No Comments

CALIFORNIA – Sesi bergambar bertukar tragedi apabila sepasang pengantin dihanyutkan sebaik ombak besar membadai pantai Laguna di California.

Mereka yang lengkap memakai baju pengantin nyaris lemas sebelum berjaya diselamatkan oleh anggota penyelamat yang bertugas di pantai berkenaan, lapor ABC.

Kecekapan anggota penyelamat berjaya menyelamatkan dua nyawa daripada menjadi mangsa korban.

Mangsa berjaya dibawa ke darat dan tiada sebarang kecederaan serius dilaporkan.

Kejadian mendebarkan itu tular di media sosial berikutan momen berkenaan sempat dirakam oleh salah seorang pengunjung yang kebetulan berada di lokasi kejadian.

Menurut ketua bahagian keselamatan pantai, Kapten Kai Bond, pasangan itu berada di atas batu sebaik melihat kawasan tersebut selamat untuk sesi bergambar.

“Walaupun lokasi selamat jangan disangka ia petanda baik, kadang kala kita tidak jangka bila ombak besar membadai pantai.

“Sepatutnya setiap kali berkunjung ke pantai, anda harus maklumkan kepada anggota penyelamat agar keselamatan lebih terjamin terutama di kawasan berisiko,” katanya.

-sinarharian

Tangan hanyut

May 18, 2020 | News | No Comments

PENDUDUK Kampung Tengah, Dalat, di Mukah, gempar dengan penemuan bahagian tubuh, dipercayai tapak tangan manusia yang hanyut di Sungai Oya, pagi tadi.

Widia Semuli, 30-an berkata, tapak tangan itu yang tersangkut di jeti rumah mereka jam 7 pagi tadi ditemui anaknya.

Beliau yang terkejut selepas dimaklumkan dengan penemuan itu kemudian menghubungi polis untuk tindakan lanjut.

“Ketika itu anak saya ke jeti dan ternampak objek pelik seperti tapak tangan manusia dan saya segera melihatnya selepas diberitahu mengenai objek itu.

“Saya kemudiannya menghubungi polis dan mereka mengambilnya untuk pemeriksaan,” katanya ketika dihubungi.

Bagaimanapun Widia berkata, sehingga malam ini mereka belum menerima maklumat lanjut hasil pemeriksaan itu.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail mengesahkan menerima laporan berhubung penemuan itu.

“Pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dalat sudah membawa tapak tangan seakan tangan manusia itu ke Hospital Dalat untuk siasatan lanjut.

“Setakat ini tiada laporan orang hilang atau dibaham buaya diterima di IPD Dalat,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

hmetro

//nessainy.net/4/2458908