Tag Archive : Homestay

/ Homestay

Lagi parti liar di homestay

April 16, 2020 | News | No Comments

POLIS menahan lapan individu termasuk dua wanita selepas dipercayai terbabit dengan parti liar dan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam serbuan di rumah inap desa di Johor Bahru, semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dalam serbuan 12.30 tengah malam itu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor menahan individu berusia 24 hingga 31 tahun.

Katanya, dalam serbuan itu, polis merampas dadah jenis ketamine dengan anggaran berat 13.5 gram, lapan biji pil erimin 5 dan tiga liter air ketum, dengan anggaran nilai dadah berjumlah RM2,175.

“Hasil saringan mendapati seorang lelaki positif ketamine. Hasil semakan rekod mendapati lima lelaki mempunyai rekod berkait jenayah dan dadah.

“Semua suspek disiasat mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

“Manakala seorang suspek disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana positif dadah. Semua suspek turut didakwa mengikut Peraturan 11 Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ayob Khan berkata, semua suspek direman selama tiga hari bermula hari ini sehingga 17 April untuk siasatan lanjut mengikut Akta Dadah Berbahaya, Akta Racun 1952 dan Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.

“Hasil serbuan dan tangkapan ini menunjukkan ada lagi sebilangan masyarakat masih degil, mementingkan diri sendiri dan sengaja melanggar PKP dikeluarkan kerajaan.

“Sehubungan itu, sekali lagi polis Johor ingin menegaskan kepada orang ramai supaya mematuhi PKP dengan berada di rumah dan dilarang menganjur sebarang pesta atau keramaian, selain tindakan tegas akan diambil bagi mereka yang tidak mematuhi PKP ini,” katanya.

hmetro

//oackoubs.com/4/2458908