jenayah – Apa Pun Share

Tag Archive : jenayah

/ jenayah

BUKIT MERTAJAM – Dua beradik perempuan antara empat individu yang diberkas polis awal pagi tadi selepas dipercayai aktif melakukan jenayah samun dan ragut.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, keempat-empat suspek berusia di antara 19 hingga 31 tahun itu ditahan jam 1 pagi di sebuah rumah di Taman Angsana, Kulim.

Menurutnya, sebelum ini polis menerima laporan daripada seorang pekerja kedai serbaneka di Jalan Ushaniaga di sini yang disamun kumpulan berkenaan dalam kejadian pada 23 Oktober lalu.

Dalam kejadian jam 4.30 pagi itu, dua suspek lelaki dan perempuan masuk ke dalam kedai berkenaan kononnya sebagai pelanggan sebelum suspek lelaki mengacukan besi panjang ke arah mangsa dan mengarahkannya membuka laci kaunter serta menyerahkan telefon bimbit.

“Bimbang dicederakan, mangsa berusia 20 tahun hanya mengikut kehendak suspek dan mereka kemudiannya melarikan diri selepas menyedari ada pelanggan lain masuk ke kedai berkenaan.

“Suspek sempat mengambil wang tunai sebanyak RM36 serta sebuah telefon bimbit milik mangsa sebelum melarikan diri dengan kereta jenis Perodua Viva,” katanya ketika dihubungi di sini.

Nik Ros Azhan berkata, kesemua suspek berjaya ditahan bersama rampasan pelbagai barangan di sebuah rumah di Kulim, selain turut mengaku terlibat dengan kejadian samun di kedai serbaneka berkenaan.

Katanya, berdasarkan modus operandi kumpulan terbabit, dua daripada mereka masuk ke dalam kedai untuk mendapatkan wang tunai dan barangan berharga, manakala dua orang lagi bertindak sebagai pemantau dan bersiap sedia dalam kereta Perodua Viva yang disewa untuk melarikan diri.

“Selain kedai serbaneka, mereka juga pernah samun kedai telefon bimbit, mengumpil peti wang di kedai dobi layan diri, curi bateri kenderaan, curi besi dan ragut,” katanya.

Nik Ros Azhan berkata, semakan dibuat mendapati dua suspek lelaki mempunyai rekod lampau bersabit jenayah dan penyalahgunaan dadah.

Menurutnya, kesemua suspek yang tidak bekerja itu direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut.

-sinarharian

Share and follow us

Seorang remaja ditikam mati selepas bergaduh dipercayai merebutkan teman wanita, namun kira-kira 80 pelajar yang menyaksikan kejadian langsung tidak membantu sebaliknya sibuk merakam termasuk untuk dimuat naik ke media sosial.

Khaseen Morris, 16, parah ditikam selepas diserang sekumpulan budak lelaki lain ketika berjalan pulang ke rumah bersama rakannya di Oceanside, New York, Isnin lalu, lapor Daily Mail.

Polis di daerah Nassau dikerahkan selepas pergaduhan besar tercetus membabitkan 10 pemuda di luar restoran piza pada jam 3.45 petang (waktu tempatan).

Rakaman mengejutkan menunjukkan Morris dilemparkan ke tanah sebelum kemudian dilihat berdarah di dada, dipercayai akibat ditikam.

Namun tidak seorangpun tampil membantu menghentikan pergaduhan itu sebaliknya jurucakap polis Leftenan Stephen Fitzpatrick berkata: “Mereka lebih sibuk merakam kejadian. Mereka merakam kematiannya, bukan membantunya.

“Saya tidak faham perkara ini. Perbuatan seperti ini tidak boleh berterusan. Kawan kamu sedang nazak dan kamu sekadar mengambil video. Amat menjijikkan.”

Sementara itu, detektif Vincent Garcia berkata, tiada tangkapan dibuat, tetapi beberapa klip video kemudian dimuat naik ke Snapchat.

“Walaupun mereka lebih sibuk merakam dan bukannya membantu mangsa, sekurang-kurangnya kami kini mempunyai beberapa suspek yang boleh diburu,” katanya.

Sementara itu, kakak Morris yang enggan dinamakan berkata, adiknya baru berpindah ke sekolah itu untuk memulakan hidup baru.

Dia mendakwa adiknya ditikam semata-mata kerana meneman seorang gadis pulang dari sebuah majlis pada Ahad lalu.

“Dia sangat baik dan penyayang, tidak patut mati sebegini. Gadis itu sengaja memberitahu bekas kekasihnya dia diiring pulang, kononnya untuk membuatkan lelaki itu cemburu,” katanya.

Harian Metro

Share and follow us

Seorang wanita yang sedang mengandung mati ditikam ketika mangsa sedang tidur di sebelah suami dan anaknya semasa mereka sedang bercuti.

Wanita malang tersebut, Karen Turner, 31, sedang menginap di rumah percutian mewah di Afrika Selatan bersama ahli keluarganya yang lain ketika dia dan suaminya diserang pada pukul 3 pagi.

Dua orang lelaki bersenjatakan pisau telah memecah masuk ke bilik pasangan tersebut yang mengadap laut di Tanah Rizab Semulajadi Hluleka. Malangnya, kandungan Karen yang berusia 3 bulan, turut terkorban akibat tikaman itu.

Karen dan Matthew semasa hari perkahwinan mereka

Suaminya, Matthew, yang turut menerima beberapa tikaman berjaya melawan penyerang tersebut dan terselamat. Turut terselamat ialah anak mereka yang berusia 23 bulan yang sedang tidur bersama pasangan tersebut.

Serangan ke atas pasangan ini yang berlaku beberapa hari sebelum kedatangan Putera Di Raja British, Putera Harry dan isterinya, Meghan serta anaknya, Archie, bakal memberi bayangan yang buruk ke atas Afrika Selatan yang menyaksikan, jumlah jenayah bunuh dan rogol meningkat di luar kawalan dengan lebih 21,000 kes bunuh dan 45,000 kes rogol dilaporkan tahun lepas.

Polis Afrika Selatan berkata mereka sedang mengesan salah seorang suspek yang mana tangkapannya bakal dilakukan dalam masa terdekat. Manakala suspek kedua bakal dikesan tidak lama selepas tangkapan suspek pertama dilakukan.

Jurucakap polis, Captain Dineo Koena, turut mengesahkan yang mangsa berusia 31 tahun dibunuh pada awal pagi hari Selasa manakala suami mangsa, menerima tikaman teruk di bahagian perut.

Menurut abang Karen, Ian Crouch, yang memberitahu media News24, dia berjaya bercakap dengan adik iparnya sejurus selesai pembedahan dilakukan di Hospital Pietermaritzburg.

Ian berkata, “Berdasarkan ingatan Matther, dia dikejutkan akibat tikaman di perut oleh salah seorang suspek, manakala seorang lagi suspek menikam isterinya.”

Rumah percutian mewah di mana kejadian berlaku

“Dia berkata yang dia berjaya bergelut dengan suspek sebelum jatuh tangga akibat pergelutan itu.” Crouch yang pergi ke tempat kejadian sejurus insiden berlaku berkata, pintu dan tingkap balkoni bilik mangsa dibiarkan terbuka semasa mereka tidur akibat cuaca malam yang panas. Dia juga berkata, adiknya, baru sahaja menyambut ulang tahun kelahiran yang ke 31 di situ.

Kedua-dua pasangan, Karen dan Matthew tinggal di Underberg di mana mereka baru sahaja membeli rumah dan ladang di sana yang diuruskan Matther. Mereka telah berkahwin dari Julai 2017 dan dikurniakan seorang anak.

Mirror.co.uk

Share and follow us

Sebuah mangkuk tandas dibuat daripada emas tulen 18 karat bernilai £5 juta (RM26 juta) telah dicuri dari Istana Blenheim di Oxfordshire, England pagi kelmarin, lapor akhbar Daily Mail.

Kejadian tersebut berlaku hanya dua hari selepas hasil rekaan pakar seni Itali, Maurizio Cattelan berkenaan dipasang sebagai sebahagian daripada pameran di istana kelahiran bekas Perdana Menteri Britain, Winston Churchill itu.

Pelawat istana itu sebelum ini dibenarkan menggunakan mangkuk tandas tersebut tetapi dihadkan kepada tiga minit setiap kali, kebiasaannya untuk peluang mengambil gambar swafoto.

Polis Lembah Thames mengesahkan kejadian itu dan menahan seorang lelaki berusia 66 tahun berhubung kes kecurian tersebut.

“Kakitangan istana sedar serta-merta kehilangan mangkuk tandas itu dan polis tiba tidak lama kemudian. Kami mempunyai sistem keselamatan yang sangat canggih dan kejadian seperti ini tidak pernah berlaku sebelum ini,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif istana berkenaan, Dominic Hare.

“Memang ada risiko tertentu setiap kali satu bahan seni bernilai tinggi dibuka kepada umum, tetapi risikonya berbaloi walaupun selepas kecurian tersebut,” tambahnya.

Mangkuk tandas yang dinamakan ‘America’ itu berfungsi sepenuhnya dan dicipta Cattelan pada tahun 2016 untuk Muzium Solomon R. Guggenheim di New York di mana lebih 100,000 orang beratur untuk menunggu peluang merakam gambarnya, sebelum dibawa ke England awal minggu lalu.

Kosmo

Share and follow us

Seorang ibu tergamak menyembelih dua anak kembarnya yang berusia lima tahun semata-mata terlalu kecewa dengan suaminya enggan memberi wang untuk membeli tuala wanita.

Selepas membunuh dua anak kembarnya, Dewi Regina Ano cuba membunuh diri dengan menikam perut dan mengelar lehernya dengan menggunakan parang.

Kompas.com melaporkan, Dewi, 24, ditemui tidak sedarkan diri bersama mayat dua anaknya, Angga Masus dan Angkri Masus di sebuah bilik pekerja hotel di Oesapa Barat pada 5 September lalu.

Pada mulanya polis mengesyaki tiga beranak itu diserang tetapi selepas beberapa hari dirawat di hospital, Dewi mengaku bertanggungjawab membunuh anaknya.

Jurucakap polis Kupang, Bobby Mooy Nafi memberitahu, Dewi membunuh anaknya kerana mahu membalas dendam terhadap suaminya yang sering mengabaikan dan mendera mereka.

“Wanita ini mengaku suaminya tidak pernah memenuhi kehendaknya sebagai isteri dan kurang memberi perhatian kepadanya serta anak-anaknya.

“Suspek bertambah kecewa kerana suaminya langsung tidak mahu memberi wang termasuk membelikan tuala wanita untuknya pada setiap bulan,” katanya.

Bobby berkata, motif pembunuhan kejam itu adalah dendam si isteri yang terlalu mendalam hingga dia sanggup mengorbankan anaknya sendiri.

“Ketika disoal siasat Dewi mengaku bersalah dan dia menangis tidak berhenti-henti,” katanya

Harian Metro

Share and follow us

ENGGAN rujuk semula dipercayai menjadi punca seorang wanita dibunuh dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Prima Damansara di sini, kelmarin.

Mayat mangsa Nor Hidayah Ahmad, 30, yang bekerja sebagai kerani di syarikat pengiklanan ditemui dibungkus dengan selimut dan ditutup dengan timbunan bantal jam 6 petang.

Sumber berkata, sebelum ini bekas suami mangsa didakwa sudah beberapa kali datang memujuk wanita itu untuk merujuk kembali hubungan mereka.

“Namun, mangsa enggan rujuk semula sebelum berlaku pergaduhan dan mangsa dibunuh. Suspek kemudian melarikan diri dan kini sedang giat dikesan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, hasil bedah siasat di Hospital Sungai Buloh, semalam mendapati mangsa mengalami kecederaan di kepala akibat hentakan objek tumpul.

“Pemeriksaan luaran mendapati mangsa cedera di kepala akibat hentakan objek tumpul namun tidak serius dan terdapat beberapa kesan lebam pada jari tangan kanannya.

“Punca kematian mangsa adalah lemas akibat ditutup saluran pernafasan atau asphyxiation due to smothering,” katanya.

Menurutnya, pihaknya masih mengesan bekas suami mangsa, Zulkifli Joned, 40, berasal dari Johol, Negeri Sembilan bagi membantu siasatan.

Katanya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Difahamkan mangsa sudah bercerai dengan lelaki berkenaan sejak beberapa bulan lalu.

Berdasarkan keadaan mayat mangsa ketika ditemui, dia dipercayai sudah meninggal dunia dalam tempoh 24 jam.

Bergaduh hingga buat laporan polis

“Beberapa hari sebelum kejadian, saya nampak ada anggota polis datang ke rumah wanita itu selepas menerima aduan, namun tiada apa yang berlaku.”

Begitu kata jiran kepada ibu tunggal Nor Hidayah Ahmad, 30, apabila mayatnya ditemui dibungkus dengan selimut tebal dan ditutup dengan timbunan bantal di sebuah pangsapuri di Prima Damansara di sini, kelmarin.

Mayat mangsa yang bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat pengiklanan ditemui oleh bapanya berusia 61 tahun ketika berkunjung ke rumah sewa anaknya kira-kira jam 6 petang.

Menurut jiran mangsa yang enggan dikenali berkata, sebelum ini, dia sering melihat mangsa bersama bekas suaminya dan tidak mengesyaki hubungan mereka bermasalah.

Katanya, sebelum ini ada jiran mengadu mendengar bunyi pergaduhan dari rumah sewa mangsa hingga ada laporan polis dibuat berhubung perkara itu.

“Pagi semalam (kelmarin), saya terserempak dengan beberapa individu memperkenalkan diri sebagai rakan wanita itu.

“Mereka memaklumkan mahu menjemput anaknya (anak mangsa) selepas menerima panggilan telefon daripada wanita itu yang minta berbuat demikian pada malam sebelumnya.

“Bagaimanapun, rakan mangsa memaklumkan bekas suaminya enggan membenarkan mereka masuk ke rumah sewa itu untuk menjemput anaknya,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

-Harian Metro

Share and follow us

Seorang ibu yang baru melahirkan anak, mencampak bayi yang baru dilahirkannya ke luar tingkap wad bersalin selepas mengetahui yang bayi itu berkemungkinan besar mengalami kecacatan.

Wanita yang berusia 23 tahun itu kemudiannya mencampak seorang lagi bayi yang berada di dalam wad hospital yang sama pada ketinggian 5 meter untuk menutup jenayah yang baru dilakukannya.

Wad bersalin tempat kejadian berlaku

Kejadian tersebut yang berlaku di Namangan, Uzbekistan hanya disedari jururawat bertugas yang tertidur selepas sejam kejadian berlaku apabila menyedari bayi dari wad bersalin itu hilang.

Kedua-dua bayi itu kemudiannya dijumpai dalam keadaan parah dan meninggal dunia selepas dimasukkan ke unit rawatan rapi. Wanita tersebut yang hanya dikenali sebagai D.Kh berdasarkan laporan media bakal berdepan hukuman penjara 15 ke 25 tahun jika didapati bersalah.

Berdasarkan sumber polis, wanita tersebut sebelum ini pernah melahirkan anak sebanyak dua kali, namun anak dari kedua-dua kelahiran tersebut mengalami kecacatan dan meninggal dunia.

Hospital Namangan, Uzbekistan

Menurut sumber polis lagi, apabila dia melahirkan bayinya untuk kali ketiga, doktor mengesahkan bahawa bayinya kali ini juga mengalami kecacatan dan kemungkinan hal ini menyebabkan wanita tersebut melakukan jenayah yang menyedihkan ini.

Selain pertuduhan membunuh ke atas D.Kh, jururawat bertugas yang tertidur semasa kejadian berlaku juga bakal menghadapi tuduhan berasingan akibat kecuaian ketika malakukan tugas.

Mirror.co.uk

Share and follow us

AKIBAT cemburu, lelaki warga Sri Lanka parah selepas kemaluan dan lehernya dikelar dengan pisau oleh isteri di Jelapang, Meru, Ipoh, malam tadi.

Pada kejadian 12.36 tengah malam itu, suspek, wanita Sri Lanka berusia 48 tahun terbabit dipercayai melakukan perbuatan itu ketika mangsa sedang tidur di bilik tidur di rumah sewa mereka.

Pemangku Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mohd Nordin Abdullah berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada orang awam sebelum sepasukan polis dikejarkan ke lokasi kejadian.

Katanya, siasatan awal polis mendapati suspek dan mangsa sebelum itu berselisih faham.

Beliau berkata, suspek kemudian mengelar mangsa yang berusia 40 tahun dengan pisau di bahagian kemaluan dan leher lelaki itu.

“Isterinya melarikan diri. Mangsa kemudian meminta pertolongan orang awam sebelum dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk menerima rawatan.

“Bagaimanapun, keadaannya dilaporkan stabil ketika ini,” katanya.

Mohd Nordin berkata, polis sudah menemui pisau yang digunakan suspek di lokasi kejadian.

Beliau berkata, pihaknya sedang mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga.

“Siasatan juga mendapati pasangan itu memasuki negara ini secara sah sebagai pelancong dan hidup secara berpindah-pindah dari satu negeri ke satu negeri yang lain,” katanya.

Harian Metro

Share and follow us

Seorang wanita Ukrain telah didakwa melakukan pembunuhan apabila dia memotong kemaluan dan memenggal kepala suaminya selepas tidak tahan bertahun didera.

Suspek yang hanya dikenali sebagai Maria juga dipercayai memberi kemaluan yang telah dipotong itu kepada anjing untuk dimakan di Obariv.

Keadaan tempat kejadian

Berdasarkan kenyataan media, Maria yang berusia 48 tahun telah menyerang suaminya, Oleksandr, 49, di bilik tidur mereka selepas suaminya pulang dari kerja syif malam, 23 Ogos lepas.

Maria kemudiannya mencekik mangsa hingga mati dengan tangannya sebelum memenggal kepalanya dengan kapak. Dia kemudiannya menggunakan pisau untuk memotong kemaluan mangsa sebelum memberinya kepada anjing.

Karpet dalam rumah mangsa yang berlumuran darah

Menurut polis, Maria berkata dia telah bertahun didera secara fizikal dan mental, dan tidak tahu cara lain untuk menghentikan penderaan tersebut.

Selepas cuba memotong badan mayat suaminya, Maria melarikan diri dari rumahnya dan terserempak dengan jirannya, Nadezhda Opanasiuk.

Nadezhda memberitahu media,” Tangan, kaki dan pakaiannya berlumuran darah. Dia kemudia berkata,’Saya telah membunuh suami saya’.

Nadezhda Opanasiuk, jiran Maria yang menjumpainya dalam berlumuran darah

Nadezhda yang pada mulanya tidak percaya kemudiannya masuk ke rumah Maria sebelum menemui mayat Oleksandr. Maria telah mengaku melakukan pembunuhan tersebut kepada polis apabila mereka tiba di tempat kejadian. Dia juga menceritakan butiran pembunuhan tersebut sebelum ditangkap.

Jurucakap polis, Vadim Artiukhovich, berkata Maria mengaku melakukan pembunuhan tersebut selepas tidak tahu cara lain untuk menghentikan penderaan dihadapinya. Polis juga berkata jiran-jiran Maria juga mengesahkan sering melihat Maria didera selain dikejar suaminya dengan kapak. Walaubagaimana pun, perkara ini tidak pernah dilaporkan kepada polis.

Anak Maria, Viktor Fesianov

Walaupun Maria mengatakan didera dengan teruk, anaknya, Viktor Fesianov, berkata dia tidak dapat memaafkan perbuatan ibunya itu. Siasatan masih dijalankan.

Ladbible

Share and follow us

Apa yang menimpa wanita ini memang betul-betul sudah jatuh ditimpa tangga. Rumah dah kena rompak, si perompak pula melepaskan hajat di ruang tamu dan tinggalkan najisnya di situ.

Kejadian malang ini menimpa Annalise Oram, 19, selepas pulang dari rumah ibunya pada 3 Semptember. Annalise yang tinggal berseorangan berkata, “Saya tidak tahu siapa yang melakukan perkara sebegini. Saya terus rasa jijik dan tidak sedap badan apabila melihat dan terbau najis itu.”

Post Facebook dimuat naik Annalise

Annalise kemudian memuat naik video berkenaan ke Facebook yang sudah ditonton lebih 47,000 kali. Perompak tersebut berjaya melarikan tv dan konsol PS4 milik sepupunya.

Annalise berkata beliau segera pulang ke rumah apabila menerima panggilan dari jirannya apabila melihat lampu rumah Annalise menyala, selain melihat kelibat orang yang tak dikenali di dalam rumahnya.


Annalise Oram, 19

Apabila pulang, Annalise mendapati perompak telah menyelinap masuk dari tingkap bilik air rumahnya yang telah dipecahkan. Setelah memeriksa lebih lanjut, seketul najis manusia dijumpai di ruang tamunya yang membuatkan rompakan ini antara rompakan yang menjijikkan.

Polis Cleveland berkata telah menerima laporan berkaitan rompakan ini dan siasatan masih dijalankan.

Ladbible

Share and follow us