Tag Archive : kanak kanak

/ kanak kanak

Kanak-kanak 10 tahun mangsa cabul bapa tiri

January 21, 2021 | Crime, News | No Comments

Seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun dipercayai menjadi mangsa cabul bapa tirinya sejak lima tahun lalu.

Perbuatan terkutuk suspek berusia 37 tahun itu terbongkar selepas mangsa menceritakan kejadian itu kepada ibunya yang berusia 34 tahun.

Menurut sumber, mangsa nekad memberitahu ibunya ketika mereka berada di rumah di Kelantan, pada November tahun lalu.

“Mangsa memberitahu, suspek melakukan perbuatan terkutuk itu ketika mereka menetap di Dungun, sewaktu ibu mangsa tiada di rumah.

“Ibu mangsa yang terkejut dengan cerita anaknya, telah membuat laporan polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi pada Rabu mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan dan usaha mengesan suspek giat dijalankan.

-sh

Dua kanak-kanak disaman polis dalam Op Basikal Lajak di sekitar Taman Scientex di sini, petang semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Seri Alam Deputi Superintenden Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, dua kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun disaman kerana masing-masing menunggang basikal lajak dan motosikal dalam operasi pihaknya pada 5.30 petang.

Menurutnya, pihaknya turut mengeluarkan saman terhadap remaja berusia 14 tahun yang membonceng motosikal ditunggang kanak-kanak terbabit.

Katanya, operasi itu dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam bagi mengekang kegiatan lumba basikal lajak di jalan raya dan membanteras aktiviti basikal lajak.

“Penunggang motosikal disaman kerana tiada lesen memandu dan cukai jalan kenderaannya itu sudah tamat tempoh serta tidak memakai topi keledar.

“Pemboncengnya pula melakukan kesalahan tidak memakai topi keledar

“Kanak-kanak yang menunggang basikal lajak pula melakukan kesalahan dengan menaiki basikal yang diubahsuai, tidak mempunyai brek dan loceng,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurutnya, saman yang dikeluarkan terhadap penunggang motosikal dibuat mengikut Seksyen 26 (1) dan Seksyen 90 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Katanya, penunggang basikal lajak pula disaman mengikut peraturan 42(1)(a) LN 166/59 Kaedah-Kaedah Lalulintas 1959 kerana mengubahsuai basikal.

HM

Kanak-kanak perempuan lemas terjatuh sungai

December 22, 2020 | News | No Comments

Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun mati lemas selepas jatuh ke dalam sungai Bangingod, Tungku dekat sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, dalam kejadian 10.30 pagi itu, mangsa terjatuh ke sungai bersama kakaknya berusia empat tahun.

“Namun kakak mangsa berjaya diselamatkan selepas jeritannya didengari nenek dan ibu saudara mangsa yang sedang memetik cili di belakang rumah.

“Nenek bersama ibu saudara mangsa bergegas ke arah sungai dan menarik cucunya ke tepi sungai, manakala mangsa tidak sempat diselamatkan dan dibawa arus sungai,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, mangsa kemudian ditemui terapung kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian oleh pasukan mencari dan menyelamat.

Sementara itu, Rohan Shah berkata, polis memohon perintah tahanan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah terhadap tiga individu termasuk ibu dan bapa mangsa masing-masing berusia 26 tahun, selama tujuh hari mulai Isnin.

“Turut ditahan reman nenek mangsa berusia 49 tahun bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan di bawah Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001 (pindaan 2016) atas kesalahan membiarkan kanak-kanak tinggal tanpa pengawasan yang munasabah (cuai),” katanya dan menambah ketika kejadian, kedua ibu bapa mangsa dipercayai bekerja di ladang sawit.

Rohan Shah juga berkata, siasatan kes turut dijalankan di bawah Akta Imigresen 1959/1963 ekoran bapa mangsa yang merupakan warga Indonesia.

-SINARHARIAN

JKM siasat kanak-kanak jual kacang

December 7, 2020 | News | No Comments

Rembau: Kanak-kanak dan remaja di bawah usia 16 tahun tidak dibenarkan bekerja atau mencari nafkah untuk keluarga mengikut undang-undang mengikut Akta Kanak-kanak 2001.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan Negeri Sembilan Nicole Tan Lee Koon berkata, pihaknya menerima maklumat pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Rembau berhubung seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun menjual kacang sambal untuk membantu keluarga.

“Kanak-kanak itu ikhlas membantu keluarga tanpa paksaan dan kami mendapati ibu kanak-kanak itu, Zuratiqa Zainal Abidin, 29, yang menghantar anaknya ke stesen minyak Petronas di Rembau untuk berniaga.

“Kanak-kanak itu akan menjual kacang kepada setiap pelanggan yang mengisi minyak di situ sementara ibunya menunggu di dalam kereta berhampiran stesen minyak. Pendapatan diperolehi selepas ditolak modal sekitar RM120 sehari.

“Menurut ibunya, kegiatan itu dilakukan dua atau tiga kali seminggu sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi menambah sumber kewangan keluarga,” katanya.

Menurutnya, tindakan JKM adalah menasihati dan memaklumkan ibu kanak-kanak itu berhubung kesalahan membiarkan anak di bawah umur keluar bekerja terutama dari segi keselamatan.

“Ini termasuk cubaan eksploitasi tenaga kanak-kanak berikutan ibu bapa sepatutnya berperanan mencari nafkah untuk anak-anak dan bukan sebaliknya.

“Diingatkan juga ibu kanak-kanak itu boleh diambil tindakan kerana melanggar Akta Kanak-kanak dan dia memohon maaf kerana tidak tahu perbuatan itu menjadi satu kesalahan,” katanya.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan kegiatan kanak-kanak bernama Alif yang jual kacang sambal bagi membantu keluarga pada 3 Disember lalu.

Kisah itu mendapat pujian ramai atas usahanya membantu keluarga yang terjejas selepas bapanya hilang pekerjaan.

Nicole berkata, ibu kanak-kanak juga diberitahu boleh mohon kedai Majlis Daerah Rembau atau meletakkan kacang sambal di mana-mana premis perniagaan jika berminat.

“Mereka juga dimaklumkan boleh membuat permohonan bantuan JKM jika mengalami masalah kewangan yang serius. Sewaktu siasatan dibuat, bapa Muhammad Alif tiada di rumah kerana keluar bekerja.

“Sejak pandemik Covid-19 kedai makan tempat bapa Muhammad Alif bekerja ditutup menyebabkan dia hilang pekerjaan,” katanya.

Kesusahan keluarga ini turut mendapat perhatian selepas dikunjungi Lajnah Kebajikan PAS Negeri Sembilan yang diketuai Pengerusinya, Ishak Omar menyampaikan sumbangan berupa barangan dapur di rumahnya semalam.

Ishak berkata, keluarga itu terkesan sejak pandemik Covid-19 apabila ketua keluarga hilang pekerjaan dan kini melakukan kerja kampung, manakala anaknya membantu bagi menambah pendapatan dengan menjual kacang goreng sambal.

hmetro

Berita baik buat ibu bapa yang mempunyai bayi kelahiran 2020, pemberian suntikan vaksin Pneumokokal di Klinik KKM boleh di ambil bermula hari ini

Pemberian suntikan vaksin Pneumokokal ini percuma untuk kanak-kanak yang lahir pada 1 Januari 2020 dan seterusnya.

Menerusi perkongsian KKM di Facebook, vaksin ini akan diberikan sebanyak 3 dos iaitu 2 dos primer pada umur 4 bulan dan 6 bulan; diikuti 1 dos penggalak (booster) pada umur 15 bulan.

“Pemberian vaksin diberikan kepada kanak-kanak bertujuan untuk mengurangkan kadar morbiditi dan mortaliti akibat penyakit Pneumokokal dalam kalangan kanak-kanak bawah 5 tahun.

“Ia seterusnya dapat mengurangkan kos rawatan penyakit Pneumokokal dan komplikasinya.

“Walaupun penyakit Pneumokokal boleh dirawat dengan pemberian antibiotik, namun terdapat beberapa strain bakteria Pneumokokus yang mempunyai kerintangan terhadap antiobiotik.

“Pemberian vaksin Penumokokal adalah kaedah paling berkesan untuk menghalang jangkitan bakteria Pneumokokus dan secara tidak langsung mengurangkan kerintangan terhadap antibiotik,” katanya.

Image from Kesihatan Kementerian Kesihatan (Facebook)

Ibu bapa atau penjaga dinasihatkan untuk membuat temu janji terlebih dahulu dengan klinik kesihatan KKM bagi mengelakkan kesesakan

Ianya bagi memastikan kepatuhan kepada norma baru dalam usaha mencegah penularan penyakit Covid-19.

Ibu bapa yang mempunyai anak yang lahir bermula 1 Januari 2020 dan seterusnya yang telah mengambil satu atau dua dos suntikan vaksin Pneumokokal di fasiliti kesihatan swasta boleh memilih untuk melengkapkan jadual imunisasi Pneumokokal di fasiliti kesihatan swasta atau di klinik kesihatan KKM.

Pemberian vaksin Pneumokokal di fasiliti kesihatan swasta adalah tertakluk kepada caj yang dikenakan oleh fasiliti kesihatan swasta tersebut.

Ibu bapa yang memilih untuk melengkapkan imunisasi pneumokokal anak mereka di klinik kesihatan KKM dinasihatkan untuk membawa bersama rekod imunisasi anak mereka, bagi memudahkan urusan penjadualan imunisasi oleh anggota kesihatan di klinik kesihatan KKM.

Ibu bapa boleh juga mengunjungi mana-mana klinik kesihatan yang berdekatan untuk mendapatkan penjelasan lanjut

Sekiranya terdapat sebarang kemusykilan mengenai pelaksanaan pemberian vaksin Pneumokokal, sila hubungi KKM di talian 03-8883 4003 pada hari Isnin hingga Jumaat (tidak termasuk cuti umum) dari jam 9 pagi hingga 5 petang, atau ajukan persoalan kepada emel imunisasi@moh.gov.my

Image from Kesihatan Kementerian Kesihatan (Facebook)

Kanak-kanak trauma terperangkap

November 17, 2020 | News | No Comments

Bintulu: Kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun trauma selepas terperangkap dalam kereta dinaiki bersama ibunya yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) Tanjung Kidurong jam 7.30 malam tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Negeri Sarawak berkata, ketika kejadian, kereta Perodua Axia yang dipandu wanita berusia 36 tahun itu hilang kawalan lalu merempuh pagar salah sebuah rumah di kawasan perumahan terbabit.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian selepas menerima laporan, pasukan bomba mendapati terdapat kanak-kanak lelaki masih terperangkap dalam kereta itu.

“Ibu kanak-kanak terbabit yang tidak mengalami kecederaan berjaya keluar namun anaknya terperangkap di dalam kenderaan itu kerana terkunci dari dalam,” katanya.

Katanya, pihaknya terpaksa menggunakan ‘rescue tool’ bagi menyelamatkan kanak-kanak lelaki itu yang terperangkap pada bahagian kerusi duduk penumpang hadapan.

“Selepas hampir 15 minit, kanak-kanak itu berjaya dikeluarkan dalam keadaan selamat, namun kelihatan masih trauma dengan apa yang berlaku,” katanya.

Kanak-kanak itu kemudiannya diserahkan kepada kedua-dua ibu bapanya dan mujurlah mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan dapat dikeluarkan dalam keadaan selamat.

Mangsa kemudiannya dihantar bapanya ke Hospital Bintulu untuk diberikan rawatan lanjut.

hmetro

Kanak-kanak ditemukan lemas main dalam tali air

November 12, 2020 | News | No Comments

Keseronokan lapan kanak-kanak bermain di parit tali air bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka ditemukan lemas di Sungai Betul Bawah, Tanjung Piandang di sini semalam.

Mangsa Nur Farah Dania Abd Rahman, 12, disahkan meninggal dunia selepas ditemukan penduduk kampung pada jam 6.30 petang.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat berkata, kejadian itu disedari seorang lelaki yang kebetulan memancing di kawasan berhampiran.

Menurutnya, semasa kejadian, lelaki terbabit melihat dua kanak-kanak hampir lemas dan bertindak terjun ke dalam tali air untuk menyelamatkan mereka.

“Bagaimanapun, hanya seorang daripada kanak-kanak itu yang dapat diselamatkan, manakala seorang lagi gagal ditemui.

“Lelaki itu kemudiannya memanggil orang kampung datang untuk membantu mencari seorang lagi mangsa,” katanya.

Katanya, mangsa yang ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dibawa ke Klinik Kesihatan Tanjung Piandang untuk tindakan lanjut, namun disahkan meninggal dunia.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Parit Buntar dan hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian disebabkan lemas.

“Pemeriksaan ke atas tubuh badan mangsa tidak menemui sebarang kecederaan lain,” katanya.

-sinarharian

Kanak-kanak dijumpai selepas 65 jam tertimbus

November 3, 2020 | News | No Comments

Izmir: Seorang kanak-kanak perempuan tiga tahun yang mengalami kecederaan berjaya diselamatkan pada Isnin, beberapa hari selepas gempa berkekuatan 6.6 skala Richter melanda pantai Aegean Turki, lapor Agensi Anadolu.

Elif Perincek dikeluarkan daripada serpihan runtuhan hampir 65 jam selepas gempa menggegar daerah Bayrakli di wilayah barat Izmir.

Elif, mangsa ke-106 yang diselamatkan daripada kawasan runtuhan dan dikejarkan ke hospital.

Dalam ciapan di Twitter, Mehmet Gulluoglu, Ketua Lembaga Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD) Turki, melahirkan rasa gembira kerana dapat menyelamatkan kanak-kanak terbabit.

Kira-kira 23 jam selepas gempa itu, ibu Elif, Seher Dereli Perincek dan adik-beradik kembarnya yang berusia 10 tahun, Ezel dan Elzem Perincek, serta saudara lelakinya Umut Perincek, 7, ditarik keluar daripada runtuhan.

Bagaimanapun, Umut kehilangan nyawanya, sementara ibu dan dua adik-beradiknya masih dalam rawatan.

Turki adalah antara zon seismik paling aktif di dunia kerana ia terletak di beberapa garisan aktif dan pernah mengalami gempa bumi dahsyat sebelum ini.

hmetro

Siapa waris kanak-kanak ini

September 24, 2020 | Viral | No Comments

Kajang: Seorang kanak-kanak lelaki ditemui terbaring di kawasan loji di Taman Juara Jaya, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan kanak-kanak berusia antara dua hingga tiga tahun itu di lokasi berkenaan jam 9.40 pagi.

“Ketika ditemui, kanak-kanak itu memakai baju-T berwarna merah serta seluar putih dengan tidak memakai selipar dan dalam keadaan terbaring dalam kawasan loji terbabit.

“Tiada sebarang butiran maklumat kanak-kanak lelaki berkenaan diperolehi,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, kanak-kanak lelaki itu dihantar ke Hospital Kajang dan masih ditempatkan di Unit Kecemasan hospital terbabit untuk rawatan lanjut.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kanak-kanak berkenaan boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Mohd Faeez Norzah di talian 013-2773407 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

hmetro

EMPAT kereta dan sebuah motosikal dirempuh lori dipandu seorang lelaki di bawah pengaruh dadah, dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Jalan Sultan Azlan Shah, Gelugor di Georgetown, malam tadi.

Dalam kejadian pada 10.30 malam itu, kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun antara yang menjadi mangsa dan mengalami retak tulang dada.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, dalam kejadian itu, lori lima tan yang membawa muatan perabot dipandu lelaki berusia 38 tahun dan kelindan, 39, dari arah Bayan Lepas ke Gelugor.

Katanya, ketika tiba di persimpangan lampu isyarat terbabit, pemandu lori yang dipercayai berada di bawah pengaruh dadah masuk ke laluan bertentangan.

Beliau berkata, kenderaan itu kemudian merempuh sebuah motosikal dan empat kereta yang sedang menunggu lampu isyarat merah.

“Mangsa terdiri daripada lelaki berusia 32 tahun yang juga pemandu Volkswagen Polo serta lelaki berusia 40-an memandu Honda Jazz, masing-masing mengalami sakit badan.

“Seorang kanak-kanak perempuan yang juga penumpang Honda Jazz berusia 12 tahun retak tulang dada, manakala pemandu Mercedes berusia 56 tahun serta lelaki berusia 32 tahun yang menaiki Honda Stream tidak mengalami kecederaan.

“Polis masih lagi mengesan identiti penunggang motosikal yang dipercayai dihantar menerima rawatan di hospital swasta berhampiran sejurus kemalangan berlaku,” katanya kepada NSTP, hari ini.

Mengulas lanjut Soffian berkata, pemeriksaan terhadap lori terbabit menemukan daun kering dalam paket lutsinar di atas papan pemuka (dashboard) berhampiran tempat duduk pemandu yang dipercayai dadah jenis ganja.

Turut ditemui di bahagian belakang tempat duduk penumpang ialah cecair dalam botol mineral yang dipercayai air ketum.

“Pemandu dan kelindan lori berkenaan ditahan dan hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-duanya positif dadah jenis ganja.

“Mereka direman selama tiga hari bermula hari ini dan kes akan siasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

hmetro

//whugesto.net/afu.php?zoneid=2458908