Tag Archive : Kapal

/ Kapal

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengesan satu lagi kluster baharu Covid-19 iaitu Kluster Bunga yang dikenal pasti melibatkan empat kakitangan sebuah kapal di Pelabuhan Port Dickson, Negeri Sembilan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kapal itu mempunyai sejarah perjalanan dari Pelabuhan Singapura.

“Seramai 34 kru kapal yang bertugas dalam kapal ini telah disaring pada 28 Ogos bagi tujuan sign-in dan sign-off kapal dan daripada jumlah itu empat kes dikesan positif, enam negatif dan 24 lagi menunggu keputusan,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan Covid-19 di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, kes positif kluster itu melibatkan dua warganegara Malaysia dan dua bukan warganegara dan keempat-empat kes positif itu tidak bergejala dan pada awalnya dikuarantin di sebuah hotel di Selangor.

Menurutnya, setelah dikesan positif, mereka dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh, Selangor dan tidak membawa risiko penularan jangkitan dalam komuniti kerana ia merupakan kluster import yang terpencil iaitu di sebuah kapal.

“Langkah pencegahan dan kawalan jangkitan seperti proses nyahkuman dan proses nyahcemar telah dijalankan di kapal itu dan punca jangkitan masih dalam siasatan,” katanya.

Dr Noor Hisham turut memperincikan perkembangan status Kluster Tawar dengan pertambahan satu kes menjadikan jumlahnya 74 kes.

Menurutnya, Kluster Telaga juga mencatatkan pertambahan satu kes baharu menjadikan jumlahnya lima kes.

“Pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat masih diteruskan bagi kedua-dua kluster ini,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham mengucapkan selamat menyambut Hari Kebangsaan Ke-63 kepada semua warga Malaysia dan menzahirkan penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan negara.

“KKM ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pejuang barisan hadapan dan petugas balik tabir yang telah bertungkus lumus berjuang menentang musuh negara yang juga sedang mengancam dunia, iaitu Covid-19.

“Semoga kita terus cekal dan bersatu hati, berganding bahu bagi berjuang membebaskan Malaysia daripada sebarang ancaman virus ini dan segala jenis ancaman yang lain. Bersama-samalah kita menjaga ibu pertiwi kita ini,” katanya.

-sinarplus

Kapal Rohingya gagal masuk

June 10, 2020 | News | No Comments

SEBUAH lagi kapal yang membawa kira-kira 300 pelarian Rohingya dikesan berselindung di Pulau Koh Adang, Laut Andaman di selatan Thailand selepas gagal memasuki perairan negara ini.

Difahamkan, kapal yang dikendalikan sindiket membawa masuk pendatang terbabit sudah berada di perairan Thailand sejak empat bulan lalu selepas bertolak dari Cox Bazar, Bangladesh pada Februari lalu.

Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, kapal berkenaan sudah puluhan kali cuba untuk masuk ke perairan negara, namun gagal kerana dikesan penguat kuasa APMM.

“Kini mereka didapati berselindung di belakang Pulau Koh Adang dan dipercayai sedang menyusun strategi untuk masuk semula ke perairan negara.

“Sebanyak dua kapal yang membawa pelarian ini bergerak pada Februari lalu, namun salah satu kapal mengalami masalah enjin dan bocor di perairan Malaysia semalam (kelmarin),” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Mohd Zubil berkata, sindiket dari Myanmar akan berhubung dengan sindiket di Thailand untuk membekalkan makanan dan minyak untuk kapal berkenaan.

“Memang tidak ada kapal yang mampu bertahan selama empat bulan di laut kecuali dibekalkan dengan semua keperluan termasuk makanan, minyak dan keperluan lain.

“Ejen ini didapati mempunyai hubungan yang kuat dengan sindiket di Thailand dan Myanmar,” katanya.

Menurut beliau, pihaknya percaya sindiket terbabit dalam memperdagangkan orang dan kos membawa masuk semua pelarian berkenaan di tanggung oleh ejen.

“Ejen akan menanggung kos sebelum semua pelarian ini mendapat pekerjaan dan akan mengambil wang hasil pekerjaan mereka sebagai timbal balas.

“Pemantauan, rondaan dan operasi akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan tiada individu yang terlepas masuk ke perairan negara,” katanya.

INFOGRAFIK

Hantar semua pelarian terkandas

“Saya akan minta Kementerian Luar berbincang dengan kerajaan Bangladesh. Kita akan hantar semula pelarian Rohingya ini ke Cox’s Bazar atau pulau Bashan Char di selatan negara itu,” kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau mengulas mengenai kes 269 pelarian Rohingya yang menceroboh perairan Langkawi kelmarin hingga mencetuskan kegusaran orang ramai berhubung tahap keselamatan dan kawalan perairan negara.

Selain itu katanya, Kementerian Luar juga diminta mengadakan perbincangan bersama Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) untuk menghantar pelarian terbabit ke negara ketiga.

“Banyak negara yang mempersoalkan bagaimana Malaysia menguruskan Rohingya ini. Ada negara kata kita tidak berperikemanusiaan.

“Jadi, kita minta mereka menerima pelarian Rohingya daripada Malaysia kerana mereka juga adalah ahli Konvensyen Mengenai Pelarian 1951.

“Kita tegas…kali ini tidak boleh terima lagi dan akan bincang untuk hantar balik Rohingya. Kalau negara ketiga dapat terima pelarian Rohingya ini. Kita harap dapat selesaikan,” katanya pada sidang media harian.

Ditanya mengenai tindakan penguatkuasa yang membenarkan 269 pelarian Rohingya terbabit masuk ke Langkawi, Ismail Sabri berkata, ia dilakukan adalah atas dasar kemanusiaan sebelum urusan penghantaran pulang dilakukan.

Beliau berkata, ketika pelarian terbabit memasuki perairan negara ada antaranya bertindak terjun ke laut, selain bot dibocorkan dan enjin dirosakkan sebagai modus operandi mereka untuk memasuki negara ini.

“Kita tidak mempunyai banyak pilihan sama ada kita nak membiarkan mereka mati di laut atau selamatkan atas dasar kemanusiaan.

“Saya percaya ramai menganggap mengapa kita terlalu baik, tetapi atas dasar kemanusiaan tak kan kita nak biarkan anak kecil dan orang tua mati di dalam laut di depan mata tanpa kita selamatkan mereka,” katanya.

Kapal AS pula

April 24, 2020 | News | No Comments

KEHADIRAN dua kapal perang Amerika Syarikat (AS) berlayar di Laut China Selatan berhampiran lokasi pertikaian di antara China dan Malaysia mencetuskan tanda tanya.

Bagaimanapun Malaysia berpendirian sebarang masalah, perbezaan dan pertikaian di Laut China Selatan harus ditangani menerusi dialog dan jalan perundingan.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menegaskan Laut China Selatan perlu kekal sebagai perairan keamanan dan perdagangan.

Katanya, sebarang permasalahan membabitkan perairan berkenaan perlu diselesaikan berdasarkan prinsip undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) 1982.

“Pendirian Malaysia mengenai Laut China Selatan amat jelas dan konsisten. Semua pihak perlu bekerjasama mengekalkan keamanan, keselamatan dan kestabilan di perairan terbabit serta meningkatkan usaha, keyakinan dan saling mempercayai antara satu sama lain.

“Sebagai bekas Menteri Pertahanan, Saya sedar mengenai situasi dihadapi. Kita perlu mengelakkan insiden sama ada disengajakan atau tidak di perairan berkenaan,” katanya.

Hishammuddin berkata, walaupun undang-undang antarabangsa menjamin kebebasan pelayaran, kehadiran kapal perang di Laut China Selatan berpotensi meningkatkan ketegangan yang akan menggugat keamanan, keselamatan dan kestabilan.

hmetro

//nessainy.net/4/2458908