Tag Archive : Kasino

/ Kasino

Kuala Lumpur: Polis menunggu maklumat daripada pihak berkuasa Korea Selatan berhubung pencarian wanita warga Malaysia yang dipercayai ada kaitan dengan kehilangan RM52 juta dari sebuah kasino yang popular di Pulau Jeju di negara itu.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Risikan/Operasi Bukit Aman Datuk Dev Kumar berkata, polis sudah mengambil maklum berhubung kejadian itu susulan beberapa laporan berita yang disiarkan.

Menurutnya, pihaknya sudah berhubung dengan Interpol Korea Selatan untuk mendapatkan maklumat terperinci dan identiti wanita terbabit.

“Kami sedang menunggu maklum balas daripada mereka dan akan membantu selepas diminta oleh pihak berkuasa di sana,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu semalam Wall Street Journal (WSJ) melaporkan Jeju Shinhwa World, satu daripada pusat peranginan terbesar di Pulau Jeju, melaporkan kepada polis awal bulan ini bahawa lebih daripada 14 bilion won (RM52 juta), hilang dari kasino itu.

WSJ melaporkan bahawa pengendali kasino yang berpangkalan di Hong Kong, Landing International Development Ltd meminta polis untuk mencari pekerja wanita dari Malaysia yang bertanggungjawab atas wang tunai itu tetapi belum kembali bekerja selepas bercuti pada akhir Disember lalu.

Bagaimanapun, laporan itu tidak memberikan identiti wanita Malaysia itu, malah usaha pengusaha kasino untuk mencari wanita itu tidak berjaya.

WSJ menyatakan polis percaya bahawa dua atau lebih orang terbabit dalam operasi itu.

Minggu lalu, polis melakukan perburuan besar-besaran ke atas wanita itu selepas meninjau rakaman kamera keselamatan dari kasino.

hmetro

Serdang: Ubah suai sebuah unit pangsapuri kos rendah untuk dijadikan ‘kasino’ untuk golongan warga asing Indonesia, Bangladesh dan Myanmar bertaruh judi dalam talian.


Helah itu bagaimanapun terbongkar selepas pihak polis membuat serbuan Op Dadu di sebuah pangsapuri di Taman Sri Puchong, di sini.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Razali Abu Samah berkata, pihaknya membuat serbuan di lokasi itu pada 10.56 malam kelmarin.

“Dalam serbuan ini, kami menahan seorang lelaki Indonesia dan dua lelaki Myanmar yang dipercayai bekerja dengan sindiket itu selain tiga lelaki warga Bangladesh yang sedang bertaruh judi.

“Kami merampas telefon bimbit yang dijadikan sebagai alat kawalan utama, empat komputer riba, dua modem serta wang tunai berjumlah RM200 dalam serbuan itu,” katanya.

Razali berkata, pihaknya mendapati modus operandi sindiket itu adalah beralih menyewa pangsapuri kos rendah selepas pihak polis aktif menjalankan serbuan kegiatan judi dalam talian di premis perniagaan.

“Semua suspek berusia lingkungan 20-an hingga 50-an itu direman sehingga 17 Disember ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963,” katanya.

Dalam operasi berasinga, Razali berkata, seramai 46 individu berkunjung ke sebuah bar di Bandar Puchong Jaya, Puchong, dikenakan kompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), semalam.

Beliau berkata, pihaknya menjalankan operasi pemantauan SOP PKPB di premis berkenaan kira-kira 9 malam selepas menerima aduan orang awam.

“Seramai 54 individu termasuk lapan pekerja di premis berkenaan dikenakan kompaun kerana didapati melanggar SOP PKPB yang sedang dikuatkuasa kini.

“Tindakan itu diambil mengikut Peraturan 11 dan 3 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) No 8 (2020),” katanya.

Katanya, semua individu berkenaan yang juga warga tempatan dibebaskan selepas kompaun dikeluarkan.

hmetro

//dooloust.net/4/2458908