Tag Archive : Kayu gaharu

/ Kayu gaharu

Kayu gaharu bernilai RM2 juta dirampas

December 23, 2020 | News | No Comments

Kegiatan sebuah syarikat yang berselindung di sebalik aktiviti pemprosesan cuka kayu getah bagi memproses kayu gaharu secara haram terbongkar selepas polis menyerbu tiga buah premis di Taman Puncak Jalil dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razali Abu Samah berkata, syarikat memproses kayu gaharu secara haram tersebut dipercayai telah beroperasi sejak dua tahun lalu.

“Kita merampas 10 batang pokok gaharu, 16 guni habuk kayu gaharu, 37 tong cecair dan kulit kayu gaharu seberat 10 kilogram, kesemua rampasan dianggarkan bernilai RM2 juta,” katanya dalam sidang akhbar di lokasi kejadian, hari ini.

Razali berkata, pihaknya menahan empat individu termasuk sepasang suami isteri berusia 30 hingga 50 tahun dalam serbuan kira-kira jam 8.30 pagi.

“Pasangan suami isteri itu merupakan pekerja di premis berkenaan yang dibayar gaji sebanyak RM 1,400 hingga RM 1,600 sebulan,” katanya.

Beliau berkata, seorang lelaki yang merupakan pemilik premis berusia 58 tahun turut ditahan dalam serbuan itu.

“Kayu gaharu ini diproses untuk menjadi minyak wangi, arca atau colok serta dipercayai untuk dieksport,” kata beliau lagi.

Menurutnya, premis itu berselindung di sebalik pendaftaran perniagaan memproses cuka kayu getah bagi menjalankan kegiatan tersebut.

“Kegiatan syarikat ini terbongkar selepas kita menerima empat laporan berhubung aktiviti mencuri kayu gaharu pada penghujung Oktober lalu.

“Kita bersama Jabatan Perhutanan Negeri Selangor kemudian melakukan pemeriksaan di Hutan Simpan Ayer Hitam dan menemui kesan beberapa batang pokok gaharu baharu ditebang.

“Risikan kita seterusnya menemui tiga premis memproses kayu gaharu tersebut sebelum melakukan serbuan,” katanya.

Tambah Razali, pemilik premis itu gagal membuktikan dia ada kebenaran memindahkan hasil hutan.

“Dia juga mendakwa membeli kayu gaharu daripada penjual di Pahang, namun siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya.

Razali memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 84 (1) Akta Perhutanan Negara 1984.

SH


//oackoubs.com/4/2458908