Tag Archive : kelas ‘online’

/ kelas ‘online’

Bapa pukul anak ketika kelas online

November 6, 2020 | Crime | No Comments

Polis menahan seorang lelaki kerana disyaki memukul anak perempuannya berusia 12 tahun di sebuah rumah di sini pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, kejadian itu disedari seorang guru di sebuah sekolah rendah di Shah Alam yang membuat kelas dalam talian bersama pelajarnya.

“Guru berusia 36 tahun itu mendakwa telah melihat mangsa berusia 12 tahun telah dipukul oleh suspek dengan menggunakan sebatang kayu atau tongkat di belakang badannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nik Ezanee berkata, guru berkenaan kemudian membuat laporan polis pada jam 3.16 petang.

“Bertindak atas maklumat tersebut, kita menahan suspek di tempat letak kereta di Seksyen 8 di sini.

“Siasatan mendapati tindakan suspek memukul anaknya supaya lebih peka dalam kelas online (dalam talian),” katanya.

Nik Ezanee berkata, suspek berkenaan bagaimanapun tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

“Suspek telah diberi jamin polis atas faktor kesihatan,” katanya.

Selain itu, katanya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah melakukan penilaian dan membuat keputusan agar mangsa diserahkan kembali kepada keluarganya.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

-sinarharian

Kantoi tumbuk bawang masa kelas ‘online’

April 24, 2020 | Funny | No Comments

Seorang gadis yang sedang mengikuti kelas dalam talian kantoi menumbuk bawang dengan lesung dipercayai sedang membantu ibunya memasak.

Perkara itu dikongsi rakannya, Nurul Yasmin Yusman menerusi ciapan di laman Twitternya yang memaparkan gadis berkenaan iaitu Amira terlupa menutup kamera dan mikrofon komputer riba semasa kelas dalam talian sedang berlangsung.

Keadaan itu bukan sahaja mencuit hati netizen, malah Nurul Yasmin Yusman turut memberitahu semua rakan kelas dan pensyarahnya juga tidak memarahi Amira, sebaliknya terhibur dengannya.

“Masa dia tengah menumbuk tu dia tidak perasan dirinya telah menyertai kelas atas talian, semua orang nampak apa dia buat,” kata Yasmin kepada Sinar Harian.

Yasmin juga berkata, semua rakan kelas dan pensyarahnya tidak memarahi Amira memandangkan dia tidak sengaja, malah mereka terhibur dengannya.

“Kelas saya ada 20 orang pelajar sahaja dan kami memang rapat. Waktu itu kami dalam kelas ‘Intro to World Cultures’,” tambahnya lagi.

“Hai, boleh saya kongsikan video ini pada Instagram saya? Nak tunjuk kepada pelajar saya kegigihan seorang pelajar,” komen pengguna Twitter, Danial Baharudin.

Ciapan Yasmin mendapat 29,900 ulang kicau dan 35,200 tanda suka sejak semalam.

SH

//thaudray.com/4/2458908