Tag Archive : keluarga

/ keluarga

Johor Bahru: Jenazah isteri yang ditembak suami menggunakan senapang angin, masih belum dituntut keluarga mahupun waris terdekat Allahyarhamah.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Senior Asisten Komisioner Datuk Md Yusof Ahmad berkata, ia berikutan keluarga mahu pengesahan identiti dibuat terlebih dahulu sebelum mereka menuntut jenazah berkenaan.

“Jenazah masih berada di rumah mayat Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan belum dituntut kerana keluarga mahu identiti jenazah disahkan dahulu.

“Sampel asid deoksiribonukleik (DNA) keluarga mangsa sudah diambil semalam dan ia akan mengambil masa sebelum keputusan dikeluarkan,” katanya ketika dihubungi.

Jumaat lalu, media melaporkan, misteri kehilangan seorang isteri yang didakwa melarikan diri dari rumah terjawab apabila mayatnya ditemukan secara tragis dalam sebuah tong air yang tertanam di sebuah ladang serai, di Bandar Penawar.

Lebih memilukan, suaminya yang berusia 43 tahun, menjadi suspek utama yang dipercayai menembak isterinya yang berusia 38 tahun, ketika wanita berkenaan sedang tidur di kediaman mereka di Taman Sri Saujana, Kota Tinggi.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, dilaporkan berkata kes berkenaan dipercayai bermotifkan cemburu selain polis turut menemui surat tuntutan fasakh di kediaman berkenaan.

hmetro

Rezeki bundle, beli rumah untuk keluarga

June 12, 2020 | News | No Comments

USIANYA baru mencecah 20 tahun, namun anak muda ini dimurahkan rezeki apabila dapat membeli rumah untuk keluarga selepas kejayaannya dalam perniagaan bundle secara dalam talian dan menjadi pembeli peribadi atau personal shopper barangan bundle di Jepun.

Muhammad Asyraf Khairul Anuar yang berasal dari Klang, Selangor tidak memandang ke belakang dan kini merancang untuk menghasilkan jenama sendiri dalam perniagaan itu.

“Rumah yang saya beli tahun lalu itu sebenarnya hadiah untuk keluarga. Untuk rumah sendiri mungkin kemudian kerana saya masih bujang,” kata Muhammad Asyraf.

Menceritakan pengalamannya, Muhammad Asyraf berkata, dia menceburi perniagaan bundle selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2017 lalu dengan hanya bermodalkan RM100.

“Dengan modal yang sedikit saya beli top up (tambah nilai) untuk langgan internet dan mengkaji beberapa akaun Instagram yang menjual barangan bundle serta cara mereka mempromosikan barang.

“Baki modal itu saya beli pakaian terpakai di kedai bundle dan jual beberapa helai di Instagram, tidak sangka dalam masa seminggu habis dijual,” katanya.

Menurutnya, puncak kejayaan perniagaannya bermula selepas dia menjadi pembeli peribadi barangan bundle di Jepun dan tidak dinafikan ramai kaki bundle yang sanggup berhabis duit untuk tujuan itu.

“Pada awal 2019, saya berjaya menyimpan keuntungan RM200,000 dalam simpanan berkat sambutan hangat pelanggan yang meminati barangan bundle dari Jepun.

“Berbaloi penat lelah ‘menyelam’ (mencari barangan bundle) di negara itu, hasilnya cukup lumayan kerana nilai barangan bundle di Jepun tinggi mencecah ribuan ringgit dan ada yang sanggup membelinya,” katanya.

Perkongsian Muhammad Asyraf mengenai kejayaannya itu yang dikongsikan di Twitter setakat ini mendapat lebih dari 6,000 ulang ciap serta 22,000 tanda suka.

hmetro

Ugut keluarga dengan pisau angkara dadah

May 18, 2020 | News | No Comments

Seorang penagih dadah ditahan selepas mengugut abang dan beberapa ahli keluarganya menggunakan sebilah pisau selepas tidak memberi wang yang diminta.

Suspek berusia 26 tahun itu ditahan di hadapan sebuah rumah di Penaga di sini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, dalam kejadian, suspek dikatakan pergi ke rumah abangnya (mangsa) di Padang Temusu, Penaga untuk meminta wang.

Menurutnya, suspek dalam keadaan mengamuk meminta wang daripada ibunya dipercayai untuk membeli dadah.

“Selain abang suspek ibu dan adik lelakinya turut berada di ruang tamu rumah ketika kejadian. Abangnya menegur tindakan suspek menyebabkan lelaki itu berang lalu mengambil pisau pemotong daging di sebatang pokok di luar rumah dan terus mengacu ke arah abangnya.

“Suspek turut mengugut untuk mencederakan mangsa bersama ibu dan seorang lagi adik lelakinya jika tidak memberikannya wang.

“Mangsa cuba memujuk tetapi dia terus beredar selepas memecahkan pintu rumah mangsa,” katanya ketika dihubungi tadi.

Tambahnya, suspek sering meminta wang daripada ibunya untuk membeli bekalan dadah dan kejadian tersebut merupakan kali keenam.

“Mangsa bimbang dengan keselamatannya dan ahli keluarga kerana kejadian seperti itu kerap berlaku lalu dia membuat laporan polis.

“Susulan itu, suspek berjaya ditahan bersama sebilah pisau yang dipercayai digunakan semasa kejadian,” katanya.

Noorzainy berkata, ujian saringan awal air kencing menunjukkan suspek positif dadah dan semakan turut mendapati suspek mempunyai tiga rekod kesalahan lampau.

“Suspek dibawa ke Mahkamah Butterworth untuk mendapat perintah tahanan reman,” katanya.

SH

//ashoupsu.com/4/2458908