Tag Archive : kereta mewah

/ kereta mewah

GAYA hidup mewah luar biasa mana-mana individu selalunya akan mengundang rasa syak wasangka sesiapa sahaja.

Tambahan pula jika individu tersebut hanya sekadar ‘makan gaji’.

Sebagai contoh, gaji minimum seorang kakitangan kerajaan Gred KP19 ialah sebanyak RM1,360 manakala pendapatan maksimum sehingga RM4,052 tidak termasuk bayaran elaun tidak memungkinkan seseorang itu mengamalkan gaya hidup mewah.

Apatah lagi memiliki kereta berjenama seperti Roll Royce Phantom, Mustang dan Range Rover serta Audi.

Bertitik tolak pada keraguan itu, siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati, pemilikan kenderaan-kenderaan tersebut oleh seorang kakitangan Jabatan Imigresen membawa kepada tumpasan sindiket pemalsuan cap sempadan.

Benar kata pepatah, “sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga”!

Anggota berkenaan kini ditahan oleh SPRM bagi membantu kes yang kini sedang disiasat.

Menurut sumber portal media tempatan, siasatan SPRM dalam OP SELAT mendapati sindiket membelanjakan jutaan ringgit bagi menyogok pegawai dan anggota Jabatan Imigresen sejak beberapa tahun.

“Apa yang mengejutkan ialah bagaimana seorang anggota imigresen Gred KP 19 mampu memiliki empat buah kereta mewah iaitu Roll Royce Phantom, Mustang, Range Rover dan Audi.

“Kereta-kereta ini didaftarkan atas nama dua warga China yang dipercayai ejen pekerja asing China yang beroperasi di Malaysia dan dua ejen lelaki tempatan,” kata sumber itu.

SPRM telah mengenal pasti identiti keempat-empat warga China itu dan rakyat tempatan yang terbabit serta sedang mengesan kesemua mereka.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Norazlan Mohd Razali juga tidak menolak kemungkinan lebih ramai lagi akan ditangkap dan siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 16 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Akta Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001.

Setakat ini, seramai 50 orang telah ditahan dalam OP SELAT dan 28 daripada mereka merupakan pegawai imigresen, 17 ejen pekerja asing dan lima orang awam.

SPRM turut merampas wang tunai berjumlah lebih RM800,000, 26 buah kereta mewah dan empat buah motosikal berkuasa tinggi.

Rampasan juga tidak termasuk nilai rumah, tanah, barangan kemas dan sebagainya.

Oleh itu, adalah baiknya sekiranya jika kita merasakan syak wasangka dan perasaan curiga terhadap mana-mana individu, laporkan sahaja kepada pihak berkuasa yang berkaitan seperti pihak PDRM ataupun SPRM untuk siasatan lanjut dilakukan dengan lebih teratur dan teliti mengikut peruntukkan undang-undang sedia ada dalam negara kita.

Sekiranya terdapat bukti yang mencukupi, pihak berkuasa boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang disyaki di dalam mahkamah.

Awas! Rasuah itu adalah jenayah yang mampu merosakkan bangsa dan negara. Jika perlu, segera bertindak!

-sinarplus

Beri kereta mewah ‘beli’ hati anggota imigresen

November 20, 2020 | News | No Comments

Putrajaya: Hadiahkan ‘koleksi’ kereta mewah kepada segelintir kakitangan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang terbabit dengan sindiket penyalahgunaan pengesahan cop keluar dan masuk di pintu utama negara.

Ini dibuktikan apabila pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi operasi Ops Selat bertindak merampas 21 kenderaan mewah pelbagai model miliki kakitangan JIM yang diberkas sejak Isnin lalu.

Antara model kereta dirampas membabitkan Nissan Skyline R35, Subaru, Toyota Alphard, Hyundai Starex, Honda Accord, Mitsubishi Lancer dan pelbagai kenderaan import lain.

Sumber berkata, semua 21 kenderaan mewah bernilai jutaan ringgit itu kini disita di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya untuk siasatan lanjut.

“Turut disita 4 motosikal berkuasa tinggi milik kakitangan JIM ditahan reman terbabit.

“Siasatan susulan dilakukan SPRM turut menemui wang tunai berjumlah RM132,000 selain turut menyita wang di dalam akaun bank milik kakitangan JIM berjumlah RM616,499,” katanya.

Menurutnya, SPRM amat serius dalam membongkar kegiatan rasuah susulan penahanan 27 anggota JIM, 14 ejen pekerja asing dan lima orang awam.

“Siasatan mendapati ejen atau orang tengah ini menggunakan wang dan kenderaan mewah untuk ‘membeli’ hati kakitangan terbabit bagi memudahkan urusan keluar masuk pekerja warga asing bermasalah dari negara ini sejak 2017,” katanya.

Sumber berkata, siasatan SPRM menerusi operasi khas mendapati sindiket ejen warga asing ini sudah membelanjakan RM14.5 juta untuk menyogok pegawai imigresen sejak 4 tahun lalu.

“Ini dibuktikan apabila ada antara kakitangan JIM berpangkat rendah ditahan memiliki wang simpanan dalam jumlah tidak masuk akal serta kenderaan mewah. Bagi mengaburi pihak berkuasa, individu dikenal pasti sebagai orang tengah atau ejen kegiatan haram ini mendaftarkan kenderaan mewah menggunakan nama individu lain.

“Ini jelas melangkaui pendapatan individu terbabit yang hanya menduduki Gred KP19,” kata sumber itu kepada Harian Metro.

Mengikut laman web rasmi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), gaji minima gred KP19 bagi klasifikasi perkhidmatan keselamatan dan pertahanan awam adalah RM1,360 dan maksimum RM4,052 tidak termasuk bayaran elaun.

“Malah, siasatan turut menjurus kepada kehidupan mewah dikecapi termasuk kerap melancong ke luar negara,” katanya.

Menurutnya, SPRM kini meneruskan usaha memburu dua lelaki yang dikehendaki bagi membantu siasatan kes rasuah berkenaan dapat dikesan.

“Sehingga kini (semalam), lelaki terbabit Yuen Hon Loong, 49, dan Teo Hun Siang, 36, masih gagal ditemui,” katanya.

Menerusi Op Selat, SPRM berjaya memberkas 46 individu pada Isnin lalu.

Melalui laporan Harian Metro bermula Rabu lalu, kakitangan JIM itu disogok susulan banyak permintaan daripada majikan untuk melanjutkan tempoh izin berada di negara ini dan permintaan pekerja asing atau migran untuk pulang ke negara asal mereka.

hmetro

//ashoupsu.com/4/2458908