Tag Archive : kes positif

/ kes positif

PUTRAJAYA – Tindakan memberi kelonggaran merentas sempadan pada 7 Disember lalu telah menjadi punca peningkatan kes positif Covid-19 yang mendadak.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, peningkatan kes dijangka terus berlaku sehingga dua minggu lagi selepas sambutan Tahun Baru Cina.

“Walaupun rakyat diseru untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP), kita lihat ada pertambahan kes sejak 31 Disember lalu,” katanya pada sidang akhbar di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), di sini pada Rabu.

Menurutnya, pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengkaji semula strategi yang dilaksanakan sejak 14 Oktober lalu.

“Memang membimbangkan KKM dengan trend terkini peningkatan kes walaupun kita mampu mengelak lonjakan sehingga 4 juta kes, tetapi tidak berjaya menurunkan R-naught (Rt) kepada 0.5,” katanya.

Beliau berkata, kedudukan Rt pada nilai 1.1, 1.2 dan lebih memerlukan strategi baharu diambil.

“Kita sedang berbincang dengan MKN dan berharap agar ia dapat diputuskan secepat mungkin,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai strategi tersebut, Dr Noor Hisham berkata, ia akan mengambil kira keadaan jangkitan semasa mengikut negeri serta melindungi kumpulan rentan dan negeri yang dikategorikan sebagai hijau seperti Sarawak dan Perlis.

“Ia lebih kepada pendekatan bersasar berbanding dengan implementasi di seluruh negara seperti yang kita lakukan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac tahun lalu,” katanya.

Sementara itu, bagi memastikan kapasiti fasiliti dalam keadaan baik, KKM mempertimbangkan untuk menempatkan pesakit Covid-19 rakyat tempatan yang tidak bergejala di pusat kuarantin yang diwartakan.

“Jika mereka berkemampuan mungkin boleh menjalani kuarantin di hotel,” katanya.

Katanya, pusat kuarantin yang diwartakan digunakan untuk kuarantin individu baru pulang dari luar negara.

“Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) akan digunakan untuk menempatkan pekerja asing yang tiada tempat yang sesuai untuk diasingkan,” katanya.

-sinarharian

Pejabat Jabatan Pelajaran Negeri Johor (JPNJ) dan Pasar Awam serta Medan Selera Larkin di sini ditutup seminggu bermula hari ini berikutan dikesan terdapat kes positif Covid-19 di sekitar premis berkenaan.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Aman Rabu berkata, langkah penutupan itu dibuat bagi memastikan tindakan pencegahan dan pengawalan dapat dilakukan dalam kadar segera.

“Berdasarkan ujian saringan dilakukan, didapati seorang kakitangan JPN dan seorang pekerja di Pasar Awam Larkin didapati positif Covid-19.

“Sehubungan itu, arahan penutupan selama seminggu dibuat setelah pegawai Jabatan Kesihatan melakukan penilaian di premis berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Berdasarkan notis yang ditampal di kedua-dua premis terbabit, arahan penutupan itu dibuat di bawah Subseksyen 18(1)(f) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Notis itu turut memaklumkan penutupan JPNJ bermula pada jam 11 pagi tadi manakala penutupan Pasar Awam dan Medan Selera Larkin bermula jam 5 petang tadi.

Kedua-kedua premis berkenaan akan dibenarkan untuk beroperasi semula pada 22 Disember ini.

Aman berkata, penutupan sementara operasi dua bangunan berkenaan bagi membolehkan kerja sanitasi dijalankan selain membolehkan individu lain terlibat menjalani saringan.

Pihaknya turut mengingatkan orang ramai untuk sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang ditetapkan untuk mengekang penularan wabak berkenaan.

-sinarharian

//cdrvrs.com/4/2458908