Tag Archive : khianat

/ khianat

Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis terhadap tuduhan khianat dengan mematahkan salur paip penapis air jirannya, Ahad lalu.

Tertuduh juvana itu membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibaca dihadapan Majistret Farah Nasihah Annuar.

Mengikut pertuduhan, remaja lelaki itu didapati melakukan khianat ke atas penapis air jenis Skywater Treatment milik jirannya, dengan menolak saluran paip sehingga patah.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Pandan Jaya, pada jam 8.40 malam, 10 Januari lalu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih lima tahun, atau denda atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Shazwani Abdullah mencadangkan tertuduh tidak diberi ikat jamin.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam, Mohd Faiz Fahmy Abd Razak dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), merayu agar anak guamnya diberi jaminan dengan alasan dia perlu menjaga ibunya yang mempunyai masalah kesihatan.

“Dia tidak lagi bersekolah sejak berusia 13 tahun dan bapanya hanya bekerja sebagai buruh,” katanya.

Setelah mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Farah Nasihah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM800.

Mahkamah kemudian menetapkan sebutan kes pada 24 Mac depan untuk laporan akhlak.

-sinarharian

Seekor kucing ditemui mati dalam keadaan menyayat hati apabila tersepit di pintu ‘roller shutter’ sebuah bank di Taman Tampoi Utama di sini hari ini.

Persatuan Haiwan Malaysia dalam satu kenyataan hari ini berkata, kejadian itu disedari orang awam pada jam 3 pagi sebelum memaklumkan perkara tersebut kepada mereka.

Menurut kenyataan itu, kucing berkenaan mati tersepit di pintu ‘roller shutter’ sebuah bilik dalam bank tersebut yang menempatkan mesin pengeluaran wang automatik (ATM).

“Kita percaya ini adalah angkara perbuatan khianat. Kematian kucing itu seperti sengaja dilakukan dengan cara menahan kucing sewaktu ‘roller shutter’ sedang turun secara perlahan untuk menutup pintu ruang mesin ATM.

“Kucing tidak akan tunggu di satu lokasi jika berlaku bunyi bising. Sudah tentu bunyi ‘roller shutter’ kuat sewaktu turun akan memeranjatkan kucing dan kucing akan berlari pergi.

“Kejadian ini seolah-olah badan kucing itu sengaja ditahan hingga leher kucing tersepit,” demikian menurut kenyataan yang dimuat naik dalam akaun Facebook rasmi persatuan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, pihaknya percaya kejadian berlaku pada jam 12 tengah malam kerana itu merupakan waktu penutupan ‘roller shutter’ secara automatik.

“Setiap bank akan menutup pintu ‘roller shutter’ ATM pada jam 12 tengah malam dan hanya membukanya semula pada jam 6 pagi,” jelas kenyataan tersebut lagi.

Sehubungan itu, pihaknya mengharapkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) daripada pihak bank untuk mengetahui kejadian sebenar.

Pada masa sama, mereka memohon saksi kejadian untuk berkongsi maklumat melalui talian 011-20901097 agar pelakunya dapat dikesan.

-sinarharian

//dopansearor.com/4/2458908