Tag Archive : Kossan

/ Kossan

Kossan Rubber Industries Bhd hari ini mengumumkan terdapat kes Covid-19 yang dikesan di kilangnya.

Ini berlaku selepas pengeluar sarung tangan Hartalega dan Top Glove mengumumkan kes Covid-19 di kalangan pekerjanya.

Kes-kes di Kossan dikesan melalui pemeriksaan saringan Covid-19 ke atas lebih daripada 8,000 pekerja, yang dijangka selesai pada 18 Disember.

“Kami mengambil maklum terdapat kes yang dikesan di salah satu kilang kami dan kami bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan dalam usaha pencegahan dan membendung penularan secara bersepadu dan kolektif,” kata jurucakap Kossan kepada¬†Malaysiakini.

Kossan, syarikat senaraian awam di bursa itu enggan mendedahkan berapa banyak kes yang telah dikesan.

Bagaimanapun, firma itu mengesahkan pekerja yang dijangkiti telah dihantar untuk rawatan atau pengawasan di fasiliti Kementerian Kesihatan manakala kontak rapat mereka telah diasingkan di kemudahan Kossan.

Kossan terletak di Jalan Sungai Putus di Klang.

Minggu lalu, Kementerian Kesihatan mengumumkan kluster Sungai Putus, yang hingga kini mempunyai 434 kes.

Menurut KKM, kluster itu dikesan melalui pemeriksaan di tempat kerja.

Sementara itu, jurucakap Kossan berkata kilang yang terlibat sedang menjalani prosedur pembasmian kuman dan pembersihan.

“Kami ingin menjamin semua pihak berkepentingan bahawa Kossan memandang serius situasi pandemik dan kesihatan awam, serta kesihatan dan keselamatan semua pekerja kami menjadi tumpuan utama.

“Pelaksanaan program penyaringan secara sukarela yang dilakukan Kossan adalah salah satu metodologi dalam membantu usaha negara dan kerajaan kami dalam mengurangi, membendung dan mencegah penyebaran wabak ini,” katanya.

Semalam, Hartalega mengumumkan 35 daripada 8,772 pekerja yang disaring telah diuji positif Covid-19.

Kluster Teratai, kebanyakannya terdiri daripada pekerja Top Glove, mempunyai 5,540 kes hingga kini. Ia adalah kluster aktif terbesar di Malaysia.

Perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di kawasan asrama pekerja Top Glove di Klang berakhir semalam.

-malaysiakini

//cdrvrs.com/4/2458908