Tag Archive : kuarantin

/ kuarantin

KOTA TINGGI – Seramai 14 warganegara asing yang sedang menjalani perintah kuarantin ditahan kerana berkeliaran di bandar ini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, mereka yang ditahan itu terdiri daripada 12 warga Nepal; seorang lelaki warga India dan seorang warga Bangladesh berusia antara 22 tahun hingga 34 tahun.

“Hasil rondaan gabungan Pasukan Task Force Covid-19, Balai Polis Kota Tinggi dan pihak Kementerian Kesihatan berjaya menahan mereka di beberapa tempat sekitar bandar Kota Tinggi.

“Siasatan awal mendapati mereka menunggu giliran untuk dipotong gelang kuarantin namun perbuatan berkeliaran sebelum tamat arahan perintah kuarantin merupakan satu kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurutnya, mereka disiasat di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan kerana perbuatan cuai dan berbahaya yang boleh mengakibatkan penyakit berjangkit.

-sinarharian

Polis periksa individu jalani kuarantin di rumah

February 5, 2021 | News | No Comments

Polis memeriksa antara 200 hingga 300 individu yang menjalani kuarantin di rumah setiap hari menerusi Ops Kuarantin di Selangor.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata, pemeriksaan itu dijalankan oleh pasukan JSJ Selangor menerusi 16 daerah di seluruh Selangor.

“Polis ada menerima senarai individu yang diarahkan untuk menjalankan kuarantin di rumah dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mana pengawasan ini tertakluk mengikut Seksyen 15 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“JSJ Selangor melawat individu ini di rumah masing-masing, setiap ibu pejabat daerah polis di Selangor ada pasukan khas yang menerima senarai dan melawat dari rumah ke rumah dengan lengkap memakai pakaian perlindungan diri (PPE).

“Setiap hari, kita akan melawat tidak kurang 200 hingga 300 rumah individu, polis akan minta mereka tunjukkan pengenalan diri.

“Sekiranya mereka tiada di rumah, ia menjadi kesalahan maka satu laporan polis akan dibuat dan siasatan akan dijalankan,” katanya dalam sidang media menerusi Google Meet di sini, semalam.

Fadzil berkata, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac tahun lalu sehingga semalam, pihaknya membuka 36 kertas siasatan kerana melanggar arahan kuarantin.

“Siasatan dibuat mengikut Seksyen 22(b) Akta Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Jadi, saya menasihatkan mana-mana individu yang diberikan arahan kuarantin di Selangor agar mematuhi arahan dan berada di alamat kuarantin masing-masing, jangan keluar ke sana sini,” katanya.

HM

Perbicaraan kes bunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Zulfarhan Osman Zulkarnain, yang sepatutnya bersambung hari ini dilapangkan berikutan empat tertuduh dalam kes itu menjalani kuarantin akibat positif Covid-19.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya N Joy Jothi ketika dihubungi pemberita pada Khamis berkata, perbicaraan kes itu akan bersambung esok (5 Februari).

“Perbicaraan sepatutnya bersambung hari ini, namun dilapangkan kerana keempat-empat tertuduh akan selesai menjalani kuarantin hari ini (4 Februari),” katanya yang turut memaklumkan empat tertuduh kini berada di Penjara Alor Setar, Kedah.

Hari ini juga sepatutnya ditetapkan untuk pemeriksaan balas oleh pihak pendakwaan terhadap saksi pembelaan ke-19, Ketua Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh Dr Rohayu Shahar Adnan.

Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mod Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat dan Mohamad Shobirin Sabri berdepan pertuduhan membunuh Zulfarhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, manakala Abdoul Hakeem Mohd Ali didakwa bersubahat membunuh mengikut Seksyen 109 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara 4.45 pagi dan 5.45 pagi pada 22 Mei 2017.

Mereka bersama-sama 12 lagi individu iaitu Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri, Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif, Muhammad Adib Iman dan Mohamad Syazwan turut diperintah membela diri atas pertuduhan mencederakan mangsa.

Mereka didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Zulfarhan, untuk mendapatkan pengakuan bahawa mangsa telah mencuri komputer riba, mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di bilik 03-05, blok penginapan asrama Jebat UPNM di Kem Perdana, Sungai Besi antara 2.30 pagi dan 5.30 pagi pada 21 Mei 2017.

-sinarharian

142 individu ingkar kuarantin di rumah

January 29, 2021 | News | No Comments

Seramai 5,730 individu telah menjalani proses kuarantin di rumah di negeri ini sehingga ini.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R Vidyananthan berkata, daripada jumlah itu, seramai 3,406 individu telah diperiksa.

“Jumlah kumulatif individu yang dikenakan tindakan kerana ingkar perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah bermula 29 Januari 2020 ialah seramai 142 orang.

“Selain itu jumlah keseluruhan tangkapan bagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bagi tempoh 18 Mac lalu hingga Selasa melibatkan 4,772 orang,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Dalam pada itu, beliau berkata, seramai 3,752 individu telah dituduh di mahkamah sepanjang tempoh berkenaan manakala 44 dikenakan kompaun pada Selasa.

Vidyananthan turut memaklumkan terdapat pertambahan satu kes kematian Covid-19 dilaporkan pada Selasa di negeri ini.

“Mangsa merupakan lelaki berumur 84 tahun, warganegara tempatan yang tidak mempunyai sebarang latar belakang penyakit. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Johor sebanyak 66 kes,.

“Pada Selasa, Johor mencatatkan 516 kes baharu positif Covid-19 iaitu 174 kes daripada kluster sedia ada manakala 57 kes daripada kluster baharu.

Menurut Vidyananthan, terdapat dua kluster baharu iaitu Kluster Platinum dan Kluster Jalan Padi Mahsuri.

“Sebanyak 125 kes daripada saringan kontak rapat kes positif Covid-19, 160 kes daripada lain-lain saringan Covid-19.

“Sehingga hari ini (Rabu), kes positif Covid-19 di Johor yang melibatkan warganegara sebanyak 10,283 kes manakala kes positif Covid-19 yang melibatkan bukan warganegara sebanyak 6,993 kes,” ujarnya.

-sh

Polis sedang menyiasat kes tular seorang individu yang mendakwa dirinya keluar ke tempat umum walaupun disahkan positif Covid-19.

Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, pihaknya menerima satu laporan polis oleh seorang kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Saya sahkan kita ada terima satu laporan yang dibuat seorang doktor.

“Kita akan siasat kes ini di bawah Seksyen 12 (1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Seksyen 269 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Terdahulu, satu hantaran di Facebook baru-baru ini yang dipercayai dimuat naik seorang lelaki memaklumkan dirinya disahkan positif Covid-19 selepas melakukan saringan di sebuah klinik di Pandan Perdana, Ampang pada 20 Januari lalu.

Lelaki itu bagaimanapun mendakwa dia tidak dihubungi Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat selepas tiga hari disahkan positif.

Dalam nada marah, lelaki itu memberitahu sepanjang tempoh berkenaan, dia bebas keluar rumah termasuk membeli makanan dan membeli-belah, sekali gus menyebarkan virus terbabit kepada orang ramai.

Sementara itu, tinjauan di media sosial mendapati rata-rata netizen amat tidak bersetuju dengan tindakan lelaki berkenaan kerana boleh merisikokan individu lain terutama golongan tua serta anak kecil.

-sh

Dah nama pun penyamun, semua dia…

October 19, 2020 | News | No Comments

Kuala Lumpur: Seorang daripada dua penjenayah yang sepatutnya menjalani kuarantin sanggup melanggar arahan itu untuk mencuri motosikal di parkir motosikal di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), di sini.

Namun, niat dua penjenayah terbabit menjadi sia-sia apabila mereka bukan sahaja gagal mencuri motosikal sebaliknya ditahan ketika melakukan cuba melarikan kenderaan itu, semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd Zainuddin @ Hilmi berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian curi motosikal itu pada 4.24 petang, semalam.

“Pemilik motosikal yang juga anggota polis bantuan bertugas di PPUM memaklumkan dia melihat dua lelaki tidak dikenali cuba curi motosikalnya jenis Yamaha 125Z ketika dalam perjalanan ke tempat letak motosikal berkenaan selepas selesai tugas.


“Mangsa meminta bantuan rakan setugasnya sebelum berjaya menahan kedua-dua suspek masing-masing berusia 19 dan 26 tahun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Zairulnizam berkata, hasil pemeriksaan dilakukan menemui beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk mencuri motosikal termasuk pemutar skru dan sarung tangan.
“Pemeriksaan suhu badan terhadap dua suspek berkenaan mendapati seorang daripada mereka mencatatkan suhu tinggi iaitu 38.5 selsius sebelum dia ditahan di wad kerana mempunyai simptom demam dan batuk.
“Suspek itu memaklumkan bahawa dia adalah kontak rapat kepada seorang individu dalam pengawasan (PUS) yang memakai gelang pink yang dikuarantinkan di sebuah rumah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi.
“Difahamkan suspek berkenaan sudah menjalani ujian saringan Covid-19, namun keputusan belum diperolehi,” katanya.
Beliau berkata, suspek pertama pula sedang dirawat ke unit kecemasan hospital berkenaan kerana mengalami luka di bibir akibat pergelutan ketika tangkapan dilakukan.
“Semakan mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod berkaitan kes dadah. Sehingga kini, kedua-dua suspek berkenaan belum dapat disoal siasat. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan,” katanya.
Katanya, menasihatkan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian jenayah di daerah ini supaya terus menghubungi talian kecemasan atau hubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields di talian 03-22979222 untuk mendapatkan bantuan daripada polis.

hmetro

Covid-19: Risiko besar kuarantin di rumah

October 2, 2020 | News | No Comments

UMUM mengetahui sejak beberapa hari yang lalu, kes Covid-19 yang direkodkan kembali mencecah tiga angka.

Semalam sahaja kita sudah dimaklumkan beberapa kes yang melibatkan orang-orang ternama.

Pada masa sama, kita juga baru sahaja tamat Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang meperlihatkan percambahan kluster-kluster baru di sana. Bilangan kes bagi setiap kluster tersebut agak tinggi.

Tidak terlepas daripada situasi itu termasuklah mereka yang telah melakukan pergerakan keluar masuk ke negeri berkenaan sama ada atas tujuan PRN atau urusan peribadi.

Rentetan daripada itu, SinarPlus mendapatkan pandangan Pakar Perubatan Kesihatan Awam dan Pensyarah Perubatan Universiti Sultan Zainal Abidin, Dr Safiya Amaran.

Katanya, kes baru yang direkodkan sejak kebelakangan ini sangat membimbangkan apabila berulang kali merekodkan lebih 100 kes dalam masa satu hari yang mana sejak 7 September, sebahagian besar peningkatan adalah berpunca dari Kluster Benteng LD di Sabah.

Walaupun mulanya kes hanya tertumpu di Sabah, tetapi sejak 20 September yang lalu, telah ada 88 kes Covid-19 import dari Sabah telah dikesan di seluruh negeri di Semenanjung Malaysia.

Ini tidak termasuk kes penularan tempatan yang berpunca daripada kes import dari Sabah. Corak sebegini membuatkan kita rasa risau jika ia adalah permulaan kepada gelombang yang lebih besar.

Daripada pengamatan Dr Safiya sendiri, perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO) bagi mengawal penularan Covid-19 melibatkan mereka yang baru pulang dari Sabah adalah sangat berisiko.

“Kluster PUI Sivagangga membuka mata kita tentang satu perkara penting iaitu, kuarantin di rumah ternyata tidak berkesan kerana akan ada orang yang tidak patuh kepada arahan tersebut. Walaupun cuma seorang yang tidak patuh, ia sudah cukup untuk memulakan satu gelombang wabak yang besar. Ini yang kita lihat berlaku di negeri Kedah sejak akhir Julai lalu yang mana hingga kini wabak di Kedah masih belum berakhir.

“Jika orang ramai bertanya mengenai langkah terbaiknya, ingin saya tegaskan kaedah yang paling baik adalah dengan melakukan kuarantin di pusat kuarantin seperti yang dilakukan oleh KKM kepada pengembara yang pulang dari luar negara.” katanya.

Satu lagi isu penting ialah berkenaan tempoh kuarantin.

14 hari ni adalah tempoh yang krikital.

Kenapa?

Ujian pengesahan Covid-19, RT-PCR tidak akan dapat mengesan jangkitan pada hari pertama (100 peratus gagal kerana semua ujian pada hari pertama jangkitan akan jadi negatif) manakala pada hari keempat jangkitan, ujian ini hanya mampu mengesan 67 peratus sahaja orang yang telah dijangkiti.

Kata lainnya, bagi 33 peratus orang yang buat ujian PCR pada hari keempat, keputusan akan keluar sebagai negatif walaupun sebenarnya mereka telah dijangkiti.

Ujian pada empat hari pertama jangkitan adalah tidak memadai untuk kita mengesahkan seseorang itu bebas Covid-19 atau tidak. Jadi jika mereka tidak perlu kuarantin andai keputusan ujian hari pertama dan ketiga negatif, ini adalah keputusan yang amat berisiko dan mereka ini mungkin menjadi penyebar virus tanpa disedari.

Tempoh inkubasi bagi penyakit Covid-19 untuk kebanyakan orang ialah kira-kira 8 hari. 10 peratus daripada orang dijangkiti ada tempoh inkubasi yang lebih panjang iaitu kira-kira 14 hari manakala 1 peratus daripada orang dijangkiti ada tempoh inkubasi yang jauh lebih lama iaitu melebihi 20 hari.

Jadi tempoh kuarantin selama 14 hari membolehkan kita mengesan 99 peratus daripada orang yang telah dijangkiti dan menghalang mereka daripada menyebarkan virus ini tanpa disedari.

Mengenai soalan, wajar tak kita rasa risau kalau kita tahu rakan sekerja balik dari Sabah sebelum 27 hari bulan dan tidak buat screening tetapi datang kerja seperti biasa?

“Ya, ia adalah berasas kerana sudah terang lagi sejarah pernah berada di Sabah adalah salah satu risiko dijangkiti Covid-19,” jawabnya.

Walaupun KKM kata tidak perlu kuarantin apabila saringan awal pada hari pertama atau hari ketiga negatif, tetapi majikan berhak untuk bersikap proaktif dan mengarahkan pekerja mereka untuk kerja dari rumah dalam masa 14 tempoh setelah tiba dari Sabah berdasarkan Seksyen 15, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

Itu adalah sebahagian dari tanggungjawab majikan untuk mengelakkan berlakunya penularan Covid-19 di tempat kerja.

Apa yang penting ialah semua pihak termasuk setiap individu mesti bersikap proaktif dalam menangani wabak ini dan tidak menunggu sahaja keadaan menjadi semakin parah. Setiap daripada kita boleh memainkan peranan utama dalam memutuskan rantaian wabak Covid-19 itu.

-sinarplus

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah selesai menjalani kuarantin diri selama 14 hari dan disahkan bebas koronavirus (Covid-19).

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka berdua dan ahli keluarga berada dalam keadaan sihat walafiat dan menzahirkan penghargaan kepada rakyat atas doa dan keprihatinan semua terhadap kesejahteraan dan kesihatan Seri Paduka sekeluarga.

Seri Paduka berdua dan keluarga menjalani kuarantin diri di Istana Negara seperti dinasihatkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) susulan pengesahan beberapa kakitangan Istana Negara positif Covid-19 oleh pihak KKM dua minggu lepas.

“Berikutan kes-kes positif tersebut, sejumlah 116 kakitangan Istana Negara turut diarahkan oleh KKM menjalani saringan dan kuarantin diri selama 14 hari yang juga berakhir pada hari ini (Khamis, 9 April 2020),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Fadil berkata, Al-Sultan Abdullah yang amat prihatin terhadap perkembangan terkini wabak Covid-19, mengulangi titah agar rakyat mematuhi semua nasihat dan perintah yang dikeluarkan KKM dan pihak berkuasa, khususnya perintah kuarantin diri dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Seri Paduka turut menzahirkan perasaan amat sedih kerana masih ada rakyat Malaysia yang ingkar Perintah Kawalan Pergerakan atas kepentingan diri sendiri. Ini menyebabkan peningkatan kes-kes Covid-19 positif dan pertambahan kawasan-kawasan zon merah.

“Marilah kita bersama memainkan peranan membantu meratakan lengkungan jangkitan Covid-19 ini dengan terus berada di rumah. Jika perlu keluar untuk membeli barang keperluan, pakailah penutup hidung dan mulut serta amalkan jarakan sosial,” katanya.

Ahmad Fadil berkata Seri Paduka menzahirkan penghargaan dan sanjungan tinggi kepada KKM, Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia, khususnya para wira dan wirawati di barisan hadapan atas ketabahan dan pengorbanan menjalankan tanggungjawab tanpa mengira penat lelah.

Peratusan tinggi pesakit Covid-19 yang pulih dan peratusan kematian di Malaysia yang rendah membuktikan bahawa kerajaan mempunyai tatacara pengendalian pandemik di antara yang terbaik di dunia.

Seri Paduka berdua turut menzahirkan ucapan takziah kepada semua ahli keluarga mangsa-mangsa Covid-19 dan berharap mereka tabah menghadapi dugaan.

“Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan harapan agar rakyat terus bersama berdoa memohon ihsan ALLAH SWT semoga Malaysia sentiasa di dalam lindungan dan rahmat-Nya dan pandemik ini diakhiri dengan segera,” kata Ahmad Fadil.

-sinarharian

//usounoul.com/4/2458908