Tag Archive : maut

/ maut

Seorang peniaga maut apabila kenderaan jenis Perodua Kembara yang dipandunya terbabas lalu melanggar sebuah kedai selepas mengalami serangan jantung di Kilometer (KM) 93 Jalan Kuantan – Kuala Lumpur pada Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, mangsa, Khairuman Ha’usin, 58, beralamat di Kampung Tanjung Kerayung, Mentakab meninggal dunia di tempat kejadian manakala isterinya, Darwati Hassan, 48, terselamat dan tidak mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Norzamri Abd Rahman memberitahu, siasatan awal yang dijalankan mendapati mangsa bersama isterinya dalam perjalanan dari rumahnya untuk berniaga di Pekan Sehari Maran.

Menurutnya, apabila sampai di tempat kejadian, mangsa dipercayai tiba-tiba telah hilang kawalan lalu terbabas ke kanan jalan dan melanggar sebuah kedai.

“Akibat dari kemalangan itu, mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian.

“Hasil bedah siasat oleh pegawai perubatan dari Hospital Jengka mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat serangan jantung,” katanya pada Sinar Harian,Ahad.

Jelasnya, kes masih disiasat dan pihak polis sedang mengesan saksi-saksi kejadian bagi membantu siasatan.

-sinarharian

Tiga maut struktur besi kren terjatuh

March 23, 2021 | News | No Comments

Tiga individu maut dan seorang lelaki cedera parah dalam kejadian struktur besi kren launcher terjatuh di tapak pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) berhampiran Puncak Banyan, Persiaran Alam Damai, Cheras pada Isnin.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JPBM) Kuala Lumpur, Nordin Pauzi berkata, kejadian itu melibatkan enam mangsa dengan tiga daripada mereka merupakan pekerja projek pembinaan tersebut.

Menurutnya, dua pekerja maut terjatuh dari ketinggian 40 meter, seorang maut kerana tersepit pada struktur besi manakala dua lagi terselamat.

“Pemandu kereta yang ditimpa struktur itu cedera pada leher dan sudah dihantar Hospital Canselor Tuanku Mukhriz untuk rawatan lanjut,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian pada Isnin.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 8.45 pagi.

“Sepasukan anggota bomba bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Cheras, Tun Razak dan Hang Tuah bergegas ke lokasi kejadian,” katanya.

Menurutnya, setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian didapati struktur besi ‘kren kauncher’ pembinaan lebuh raya telah jatuh ke bawah dan menghempap sebuah kereta. “Kita dapat kerjasama daripada pihak kontraktor untuk membuat angkatan kepada bebanan yang menimpa mangsa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon memaklumkan kertas siasatan berhubung kejadian tersebut telah dibuka di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan.

Mohamed Mokhsein berkata, laporan yang diterima akan diserahkan kepada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (DOSH) untuk siasatan lanjut.

“Setakat ini punca kejadian dan identiti mangsa masih belum didedahkan,” katanya.

Ini adalah insiden kedua yang melibatkan SUKE tahun ini, selepas lima orang terperangkap dalam sebuah van kilang yang sedang dalam perjalanan di Lebuhraya MRR2 dekat Bandar Tasik Selatan pada 3 Mac ketika sebahagian jejambat dalam pembinaan jatuh di atasnya sekitar jam 5.58 petang akibat dilanggar oleh treler yang membawa jentera berat.

Dalam kejadian itu yang melibatkan van kilang, dua wanita terbunuh sementara tiga orang lagi cedera parah.

-sh

Pasukan keselamatan di Myanmar menembak mati seorang penunjuk perasaan antirampasan kuasa tentera pada Ahad di bandar Monywa dan dua orang lagi cedera di Monywa, tengah negara itu.

Menurut saksi, lelaki itu terbunuh ketika berlaku pertempuran antara pasukan keselamatan dengan para penunjuk perasaan yang bersiap sedia untuk melakukan tunjuk perasaan antirampasan kuasa.

Portal berita Myanmar Now melaporkan, penunjuk perasaan itu, Min Min Zaw yang berumur 23 tahun mati ditembak di kepala, kata seorang doktor.

“Saya melihat beberapa orang mengusung seorang lelaki yang sudah ditembak dan mati,” kata seorang penduduk kepada AFP dengan menyatakan mayat penunjuk perasaan itu telah dibawa ke sebuah hospital tempatan.

“Mereka menggunakan gas pemedih mata dan bom tangan bunyi dan kemudian mula melepaskan tembakan. Saya tidak tahu lelaki tersebut mati di tempat kejadian akibat ditembak pada bahagian kepala dengan peluru getah atau peluru hidup,” ujarnya.

Letupan bom tangan bunyi itu tidak sekuat seperti bom tangan yang biasa digunakan dalam medan peperangan.

Myanmar berada dalam kekacauan sejak askar-askar negara itu bertindak menyuaraikan para penunjuk perasaan selepas pihak tentera melancarkan rampasan kuasa menggulingkan Penasihat Kerajaan, Aung San Suu Kyi dan menangkap para pemimpin parti Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD) pada 1 Februari lalu.

Rampasan kuasa itu dilakukan selepas pihak tentera mendakwa berlaku penipuan dalam pilihan raya umum negara itu pada November tahun lalu yang menyaksikan parti NLD menang besar, sekali gus berjaya membentuk sebuah kerajaan awam.

Sebahagian penduduk negara itu kemudian bertindak balas dengan melancarkan tunjuk perasaan antirampasan kuasa bagi mendesak demokrasi dikembalikan walaupun pihak tentera berjanji memerintah selama setahun sebelum menyerahkan kuasa kepada kerajaan awam melalui pilihan raya.

-sh

Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun maut dilanggar sebuah kenderaan jenis utiliti sukan (SUV) yang dipandu seorang wanita di Kampung Tok Sani di sini pada petang Ahad.

Dalam kejadian kira-kira 4.30 petang itu, mangsa, Mohamad Aqil Aimar Ismail dikatakan sedang menunggang basikal di hadapan rumahnya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini.

Beliau berkata, mangsa yang sebelum itu cedera parah dibawa pemandu kenderaan jenis Toyota Fortuner berusia 32 tahun itu ke hospital untuk rawatan, namun disahkan meninggal dunia pada jam 6.05 petang.

“Kejadian berlaku ketika pemandu wanita itu keluar dari kawasan rumahnya di kampung tersebut ke sebuah madrasah di Bagan Lalang untuk menziarah anaknya.

“Bagaimanapun, ketika dia membelok ke kiri, tiba-tiba dia terdengar dentuman kuat lalu turun dari kenderaannya untuk pemeriksaan. Wanita itu terkejut apabila mendapati dia terlanggar seorang kanak-kanak dari arah kiri jalan.

“Mangsa dan pemandu wanita tersebut merupakan jiran yang mana rumah mereka terletak berhampiran di kampung tersebut,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Noorzainy berkata, wanita berkenaan terus membawa kanak-kanak itu ke HSJ untuk rawatan selepas mendapati mangsa mengalami cedera parah.

“Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika dirawat di hospital. Punca kematian adalah disebabkan kecederaan parah pada kepala.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

-sh

Pemandu maut kereta terbabas sebelum terbakar

March 18, 2021 | News | No Comments

Seorang lelaki maut dalam kemalangan berhampiran stesen minyak di Bandar Tun Razak menghala Terminal Bersepadu Selatan (TBS) pada Rabu.

Mangsa, Ong Woei Yiap, 37, yang memandu kereta jenis Proton Persona meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan organ dalaman.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, kejadian itu dipercayai berlaku selepas kereta mangsa hilang kawalan di lorong kanan dan bergesel dengan kereta jenis Perodua Viva.

Menurutnya, selepas itu, kereta mangsa melanggar tiang projek pembinaan Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) sebelum terbakar.

“Kereta Proton Persona itu terbakar 20 peratus di bahagian enjin,” katanya dalam kenyataan media pada Rabu.

Sementara itu, Komander Operasi, PBK II Mohd Fakhrulsyakia Mamat berkata, bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.02 pagi.

Menurutnya, seramai tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Besi dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Terdapat seorang mangsa tersepit di bahagian pemandu dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik,” katanya.

Katanya, kes diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat sepenuhnya jam 6.28 pagi.

-sinarharian

Pejalan kaki maut dilanggar ketika lintas jalan

March 15, 2021 | News | No Comments

Seorang pejalan kaki maut selepas dilanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV), Toyota Avanza ketika melintas jalan berhampiran jejantas di Simpang Kuala di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, kejadian jam 8.35 pagi itu berlaku ketika mangsa yang berusia 48 tahun melintas dari kiri ke kanan jalan.

Menurutnya, ketika kejadian, Toyota Avanza datang dari pusat bandar menghala ke Simpang Kuala.

“Pelanggaran itu menyebabkan mangsa yang juga pemegang kad orang kurang upaya (OKU) masalah pembelajaran meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala, manakala pemandu kereta berusia 59 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-sinarharian

Maut akibat terlampau banyak menangis

March 12, 2021 | News | No Comments

Akibat menangis keterlaluan, seorang wanita yang baru berkahwin dari Sonepur, India meninggal dunia kerana mengalami serangan jantung.

Hindustan Times melaporkan insiden itu berlaku pada Jumaat lalu iaitu sehari selepas Gupteswari Sahoo berkahwin dengan suaminya, Bisikesan Pradhan iaitu pemuda dari Bolangir.

Gupteswari dilaporkan pengsan dengan tiba-tiba ketika keluarganya bersiap sedia untuk menghantar wanita itu berpindah ke rumah mentua.

Berikutan itu, dia dikejarkan ke Pusat Kesihatan Komuniti Dunguripallu (CHC) namun doktor mengesahkan wanita itu sudah meninggal dunia.

Penduduk kampung, Ramesh Sahu memberitahu Gupteswari mengalami tekanan sejak pemergian bapanya beberapa bulan lalu.

Malah, ibu kandung dan bapanya yang mengatur majlis perkahwinannya.

“Dia seorang gadis yang baik, tetapi nampak tertekan selepas kehilangan bapanya.

“Selepas berkahwin, dia tidak henti-henti menangis kerana perlu keluar dari rumah untuk tinggal bersama keluarga mentua.

“Saya tidak menyangka dia akan meninggal dunia dalam keadaan sedemikian rupa,” katanya.

Sementara itu, doktor di CHC memberitahu serangan jantung boleh berlaku disebabkan tekanan emosi.

Katanya, ia boleh mengganggu fungsi jantung untuk mengepam darah dengan efektif.

HM

Warga emas maut ditikam lelaki mengamuk

March 9, 2021 | News | No Comments

Kulai: Seorang lelaki warga emas maut ditikam dengan pisau dalam pergaduhan di sebuah inap desa di Jalan Pinang, Taman Kota Kulai, di sini, petang semalam.


Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pada 3.55 petang dan bergegas ke lokasi kejadian sebelum mendapati mangsa berusia 78 tahun terbaring dengan beberapa kesan kecederaan.

“Pemeriksaan awal pada tubuh badan si mati mendapati kesan tikaman di bahagian perut.

“Hasil siasatan mendapati suspek iaitu seorang lelaki mengamuk dan menikam mangsa menggunakan sebilah pisau. Punca kejadian masih disiasat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Tok, pihaknya menahan suspek berusia 35 tahun serta merampas sebilah pisau dipercayai digunakan untuk menikam mangsa.

Katanya, suspek ditahan di kaki lima kedai berdekatan kawasan kejadian pada 4.15 petang hari sama.

“Suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan kes jenayah dan penyalahgunaan dadah.

“Turut dirampas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di inap desa itu bagi membantu siasatan dan suspek dipercayai di bawah pengaruh alkohol ketika kejadian.

“Suspek direman selama tujuh hari mulai hari ini sehingga 14 Mac bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

hmetro

Kereta terbakar, lokasi sama kemalangan maut

March 8, 2021 | News | No Comments

Sebuah kereta Perodua Myvi terbakar selepas terbabit dalam kemalangan dengan kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X70 di Jalan Saujana Impian, di sini, hari ini.

Kejadian itu adalah insiden pertama yang berlaku di lokasi sama kemalangan maut membabitkan pasangan suami isteri kira-kira 4 petang tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian kebakaran kereta itu pada 8.33 pagi tadi.

“Seramai lima anggota bersama satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kajang dikejarkan ke lokasi.

“Sebaik tiba, kami mendapati sebuah kereta Perodua Myvi terbakar dalam kemalangan berkenaan.

“Difahamkan kebakaran itu dipercayai berpunca akibat hentakan daripada pelanggaran Perodua Myvi itu dengan sebuah SUV Proton X70 di lokasi terbabit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Norazam berkata, pihaknya mengambil masa beberapa minit untuk memadamkan kebakaran kereta berkenaan.

“Kedua-dua pemandu terbabit masing-masing berusia 30 dan 25 tahun sempat keluar dari kenderaan masing-masing sebelum pihak bomba tiba di lokasi.

“Tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian ini,” katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan suami isteri meninggal dunia, manakala dua anak mereka cedera selepas kereta Perodua Bezza dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah van di lokasi sama, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan memaklumkan siasatan awal mendapati kemalangan itu berpunca daripada kecuaian pemandu van berkenaan berusia 28 tahun yang memandu kenderaan itu dari arah Semenyih menghala ke Kuala Lumpur hilang kawalan.

Menurutnya, van itu kemudian melanggar pembahagi jalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta Perodua Bezza berkenaan.

-HMETRO

Hanya terbayang maut sepanjang hanyut

March 3, 2021 | News | No Comments

Melaka: Tiada apa yang terbayang dalam fikiran dua nelayan dari Pantai Puteri, Tanjung Kling, di sini yang hanyut ke Pulau Rupat, Indonesia pada 16 Februari lalu kecuali maut.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, enjin sangkut perahu gentian kaca digunakan Md Roslan Kadir, 43, dan Faizal Jailani, 38, kehabisan petrol ketika dalam perjalanan pulang selepas menangkap ikan.

Md Roslan berkata, mereka turun ke laut pada 9 pagi 16 Februari lalu dan selesai menarik rawai kira-kira jam 3 petang tetapi terpaksa melawan ombak besar dalam perjalanan pulang.

“Akibatnya, minyak habis dan kami tidak dapat berbuat apa-apa selain berserah kepada takdir apabila perahu kami dihanyutkan ombak ke Pulau Rupat.

“Sepanjang dihanyutkan ombak, kami hanya mampu berdoa dan terpaksa menahan lapar serta dahaga sebelum kami menghampiri pantai Lechah, Pulau Rupat pada jam 7 pagi, 18 Februari,” katanya ketika dihubungi di sebuah hotel di Johor Bahru, hari ini.

Bapa kepada dua anak lelaki berusia 13 dan 15 tahun itu berkata, mereka cuba melambai kapal dagang yang melalui laut Selat Melaka tetapi gagal menarik perhatian mereka.

Dia berkata, ketika menghampiri pantai itu tiba-tiba perahu mereka karam akibat dihempas ombak besar tetapi mereka terselamat selepas berjaya berenang ke pantai sebelum diselamatkan penduduk tempatan.

“Kami sangat letih kerana tidak makan dan minum kira-kira 43 jam tetapi kami gagahkan semangat untuk mendarat di pantai dan Alhamdulillah kami diselamatkan oleh penduduk kampung,” katanya.

Mereka ditahan di Imigrasi Kelas II TPI Bengkalis, Kementerian Hukum dan Hak Asasi Manusia Republik Indonesia sebelum usaha membawa mereka pulang dibuat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan dengan kerjasama Sekretariat Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI).

Turut dibawa pulang ialah Muhammad Faizul Hakimie, 21, dari Batu Berendam, dekat sini yang ditahan kerana tinggal melebihi tempoh.

Turut dibawa pulang kanak-kanak berusia 11 tahun, Ahmad Radzi Djonaidi, yang tidak sempat pulang ke Tampoi, Johor Bahru selepas dibawa bapanya ke rumah neneknya di Tanjung Balai, Riau pada Februari 2020 susulan perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 pada Mac tahun lalu.

Mereka dibawa pulang dari Batam, Indonesia pada Ahad lalu dengan kos RM20,000 untuk segala urusan berkenaan dan kuarantin selama 10 hari dibiayai oleh Nor Azman.

Sejurus tiba di terminal feri berkenaan, mereka menjalani ujian calit sebelum dibawa ke hotel itu dan hari ini menjalani kuarantin hari yang keempat.

hmetro

//iphumiki.com/4/2458908