Tag Archive : minum

/ minum

Hanya mampu beri anak minum susu manis

March 8, 2021 | News | No Comments

 “Sudah lama tiada orang panggil kemas rumah menyebabkan duit untuk beli makanan pun tak ada,” kata Siti Asmahul Husnah Maarof, 27, dari Kampung Mersing Kanan di sini.

Katanya, sebelum ini dia dan suami, Muhamad Firdausi Nasaruddin, 33, menerima upah mengemas rumah penduduk sekitar dengan bayaran antara RM30 hingga RM50 untuk menyara keluarga.

Namun, disebabkan pandemik Covid-19, dalam sebulan suaminya hanya menerima dua kerja sekali gus menjadikan kehidupan sentiasa bergelut kesempitan wang untuk perbelanjaan keluarga empat beranak itu.

Menurut Siti Asmahul Husnah, oleh kerana tiada pendapatan, dia terpaksa memberikan anak sulungnya yang menghidap autisme, Muhammad Furqan Dzulkarnain, 8, minum susu manis.

Katanya, lebih memburukkan keadaan dia tidak dapat membantu suaminya membuat pekerjaan itu akibat mengalami penyakit gangguan kebimbangan (anxiety disorder) dan kemurungan.

“Selepas empat bulan mengandungkan anak kedua, Muhammad Arjuna Muttaqin yang kini usianya dua bulan, suami mula bekerja seorang.

“Tidak banyak upah yang dia dapat kerana pandemik Covid-19 sedangkan perbelanjaan bulanan yang diperlukan sekurang-kurangnya RM700.

“Pergerakan kami terhad kerana kalau mahu ke kedai, suami akan pinjam motosikal jiran. Jika rawatan Furqan di Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru, kami perlu menaiki bas,” katanya yang kini mendapatkan rawatan di Pusat Kesihatan Mental Masyarakat (MENTARI) di sini, selain kebergantungan kepada tiga jenis ubat dan sesi kaunseling.

Menurutnya, disebabkan tidak boleh tertekan kerana mudah menggigil dan gelisah, malah terlalu bimbang dengan orang yang tidak dikenali, suaminya terpaksa menumpukan perhatian kepada keluarga.

“Furqan yang sentiasa agresif itu pernah cedera lutut kanan ketika usianya empat tahun, selain memerlukan perhatian sepenuhnya daripada suami.

“Selepas menjalani pembedahan dan fisioterapi, Furqan boleh berjalan semula,” katanya Furqan turut menerima bantuan kanak-kanak dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM150 sebulan.

Kata Siti Asmahul Husnah, selain penduduk setempat, ahli keluarga turut sering menghulurkan bantuan sekadar yang mampu.

Dalam pada itu, Siti Asmahul Husnah dan suami kini sedang berusaha mendapatkan bantuan pakar psikiatri di Johor Bahru kerana dia mengharapkan terapi berbanding kebergantungan dengan ubat.

Sementara itu, Pegawai Pentadbiran Jejak Asnaf Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Nasir Ishak berkata, Muhamad Firdausi pernah membuat permohonan pada 2018 namun gagal.

Katanya, pihaknya menasihatkan Muhamad Firdausi membuat permohonan baharu untuk dipertimbangkan.

Bagi yang ingin membantu, boleh hubungi Siti Asmahul Husnah di talian 014-924 8227 atau menyumbang terus melalui akaun Bank Islam 0109 60202 89743.

HM

Minum air kencing sendiri ‘rawat’ koronavirus

February 18, 2021 | News | No Comments

 Gara-gara mempercayai mesej berantai kononnya air kencing mampu merawat Covid-19, satu keluarga tergamak minum air kencing mereka sendiri.

Portal Evening Standard melaporkan, seorang ibu dan anak-anaknya mengamalkan minum air kencing sendiri selama empat hari berturut-turut akibat taasub dengan berita palsu disebarkan menerusi WhatsApp.

Wanita itu mendakwa dia mempercayai mesej berantai yang disebarkan rakan dan ahli keluarga terdekat.

Dia juga percaya vaksin Covid-19 dimanipulasi jutawan, Bill dan Melinda Gates serta berbahaya buat keluarganya.

Wanita itu mendakwa ada video dihantar kepadanya oleh seorang rakan di WhatsApp dengan menyuruhnya minum air kencing sendiri setiap pagi.

Dia yang dirahsiakan identiti juga memberitahu pegawai penyiasat dari Pusat Pengawasan Kesihatan London Barat beberapa rakaman video yang diterimanya menceritakan mengenai keberkesanan amalan minum air kencing setiap pagi sebagai ubat untuk menyembuhkan Covid-19.

Amalan itu dikuatkan lagi dengan mesej ‘palsu’ daripada rakan untuk merawat Covid-19.

“Saya percaya kepada kuasa penyembuhan rawatan tradisional dan enggan mengambil suntikan vaksin kerana lebih berbahaya kepada keluarga saya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pengawasan Kesihatan London Barat, Olivia Clymer berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai penyebaran mesej rawatan Covid-19 palsu yang tersebar melalui WhatsApp.

“Situasi ini, bertambah serius kerana orang ramai kurang percaya pada saluran maklumat rasmi kerajaan. Ini menimbulkan masalah,” katanya.

Ketua Perubatan sebuah hospital di England, Simon Stevens pula berkata, negara itu masih dalam peperangan melawan maklumat palsu berhubung pandemik itu.

“Negara menghadapi wabak berganda iaitu harus melawan virus dan maklumat palsu,” katanya.

HM

Minum arak je….

April 7, 2020 | News | No Comments

PERBUATAN dua lelaki melepak sambil meminum arak ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menerima padah apabila ditahan polis di kawasan awam di Taman Mutiara, Bebuloh, di Labuan, pagi tadi.

Kedua-dua suspek berusia lingkungan 20 tahun ditahan anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan ketika menjalankan pemantauan di kawasan berkenaan, pada 2.55 pagi.

Ketua Polis Daerah Labuan Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, kedua-dua lelaki terbabit dikatakan sedang melepak sambil meminum arak.

“Ketika pemantauan dijalankan, polis menahan dua lelaki tempatan yang sedang melepak di kawasan awam terbuka.

“Suspek gagal memberikan alasan yang munasabah ketika di soal dan mereka hanya duduk sambil meminum arak,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Muhammad Farid berkata, kedua- dua suspek kemudian dibawa ke IPD Labuan untuk tindakan lanjut.

“Kedua-dua suspek ditahan kerana melanggar PKP fasa 2 mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Berjangkit) (No.2) 2020.

“Suspek juga akan disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan sebarang perbuatan yang dilakukan menyebabkan merebaknya penyakit yang membahayakan kepada nyawa,” katanya.

Menurutnya, polis mengingatkan orang ramai dengan tegas supaya mematuhi PKP fasa 2 yang berkuatkuasa 1 April hingga 14 April ini.

“Polis tidak akan berkompromi sama sekali kepada orang awam yang melanggar PKP fasa 2 ini,” katanya.

hmetro

//usounoul.com/4/2458908